MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan. Pendakwaan tersebut melibatkan ceramah beliau yang berbau penghinaan terhadap institusi diraja. Saya menghormati mahkamah untuk tidak... Klik di sini untuk terus membaca

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan. Pendakwaan tersebut melibatkan ceramah beliau yang berbau penghinaan terhadap institusi diraja.

Saya menghormati mahkamah untuk tidak membincangkan tentang perbicaraan tersebut. Saya percaya berlandaskan prinsip Rukun Negara, kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersikap taat dan setia kepada institusi diraja.

Sebuah akta baharu sepatutnya digubal untuk menggantikan Akta Hasutan, yakni akta ‘menyeksa’ mereka yang menunjukkan sikap biadab terhadap institusi diraja, selari dengan kebebasan-kebebasan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia adalah unik dan berbeza dengan negara-negara lain. Contohnya, Thailand mempraktikkan perundangan Lese Majeste yang berat atau negara mengamalkan sistem raja mutlak seperti Arab Saudi.

Setelah pendakwaan dijalankan ke atas Menteri Besar Kedah, kumpulan peguam Lawyers for Liberty telah mengeluarkan kenyataan untuk menyelar penggunaan Akta Hasutan oleh pihak kerajaan.

Namun, yang menakjubkan saya ialah Majlis Peguam Malaysia masih tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi setakat hari ini. Pada Oktober 2014, Majlis Peguam Malaysia telah menganjurkan perarakan bantah Akta Hasutan 1948.

Ketika itu, Perdana Menterinya ialah Datuk Seri Najib Tun Razak. Majlis Peguam Malaysia mengulangi pendirian mereka pada 28 November 2014 menggesa Perdana Menteri untuk kotakan janji memansuhkan Akta Hasutan dan menggantikannya dengan Akta Keharmonian Negara.

Selain itu, antara janji Pakatan Harapan (PH) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah untuk memansuhkan Akta Hasutan. Pada 10 Mei 2019, kerajaan PH 1.0 juga menjanjikan pemansuhan Akta Hasutan menjelang akhir tahun 2019.

Kini terbukti bahawa janji tersebut adalah kosong semata-mata. Ketika itu, PH tidak menjanjikan untuk mengubah isi kandungan Akta Hasutan atau memansuhkan sepenuhnya akta tersebut. Sehingga kini tiada cadangan atau bil-bil Dewan Rakyat yang praktikal untuk menggantikan Akta Hasutan dengan akta-akta lain.

Dari sudut Perikatan Nasional (PN) pula, ramai penyokong PN menyuarakan bahawa pihak kerajaan telah menyekat kebebasan bersuara. Ada juga yang menyindir bahawa tindakan kerajaan itu telah menunjukkan kononnya kerajaan ‘takut’ dengan PN.

Perihal ini, seorang kartunis bernama Fahmi Rezza telah disiasat berbulan-bulan dan didakwa di bawah Akta Hasutan kerana kartun yang diciptanya berbau menghina sebuah parti dalam PN pada 2021. Ketika itu Perdana Menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak kelihatan pemimpin-pemimpin utama mahu pun penyokong-penyokong PN menampilkan diri untuk mempertahankan Fahmi Rezza, mempertahankan ‘kebebasan bersuara’.

Kepada PH, PN mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan, adakah Akta Hasutan hanya diperlukan atau dimansuhkan sekiranya akta tersebut menyebelahi atau menyangkal agenda politik?

Kebebasan bersuara bukannya kebebasan mutlak. Ia terbatas sekiranya menyentuh hak-hak pihak lain. Kebebasan bersuara tidak sesekali membenarkan fitnah kerana gejala ‘memfitnah’ itu telah mencemari reputasi pihak lain dengan niat tidak murni.

Kebebasan bersuara juga terhad kepada kebebasan yang tidak mengancam ketenteraman awam.

Paling mustahak, integriti dan kesucian institusi diraja harus diutamakan. Jangan sesekali ahli-ahli politik di Malaysia memperalatkan institusi diraja semata-mata untuk mencapai kepentingan politik dan bersembunyi di belakang prinsip ‘kebebasan bersuara’ setelah mengundang kemarahan rakyat jelata.

*Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik

Klik di sini untuk terus membaca