SHAH ALAM - Sikap pengguna jalan raya memandu laju dan melanggar lampu isyarat merah merupakan dua punca utama berlaku peningkatan kes kemalangan jalan raya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Pakar keselamatan jalan raya, Tengku... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sikap pengguna jalan raya memandu laju dan melanggar lampu isyarat merah merupakan dua punca utama berlaku peningkatan kes kemalangan jalan raya dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pakar keselamatan jalan raya, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berkata, kegagalan mengawal kelajuan menyebabkan pengguna melebihi had laju sehingga berlakunya kemalangan.

"Faktor utama kemalangan yang selalu kita lihat adalah disebabkan memandu laju yang mengakibatkan pengguna gagal mengawal dan sukar memberhentikan kenderaan pada masa yang betul dan selamat.

"Yang kedua kerana melanggar lampu isyarat merah. Ia sering berlaku di persimpangan jalan dan kesalahan ini lazimnya dilakukan penunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tengku Ahmad Marwan yang juga Ahli Bersekutu Keselamatan Jalan Raya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) berkata, ramai penunggang motosikal tidak berhenti ketika lampu isyarat merah terutama pada waktu pagi.

"Saya boleh katakan kira-kira 99 peratus penunggang motosikal tidak berhenti di lampu isyarat merah, kecuali kalau lampu isyarat itu dilengkapi kamera yang boleh merakam sesiapa yang melanggar lampu isyarat,” ujarnya.

Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor itu berkata, kemalangan juga berlaku akibat perbuatan pengguna jalan raya memotong di garisan berkembar, mahu cepat dan mementingkan diri apabila mengekori satu-satu kenderaan di jalan raya.

"Pemandu yang tidak sabar ini mungkin tahu yang memotong di garisan berkembar itu berbahaya tapi mereka tetap melakukannya disebabkan sikap sikap-sikap tersebut sehingga mereka meletakkan soal keselamatan di tempat kedua.

"Selain itu, sikap pengguna terutama penunggang motosikal yang tidak menjaga ruang selamat ketika mencelah antara kenderaan turut menjadi punca kemalangan. Kira-kira 60 peratus mangsa kemalangan adalah penunggang motosikal,” jelasnya.

KAJI SEMULA KEBERKESANAN KEMPEN KESELAMATAN JALAN RAYA

Sementara itu, Tengku Ahmad Marwan berkata, kajian perlu dilakukan bagi mengesan tahap keberkesanan pelaksanaan kempen atau kursus berkaitan keselamatan jalan raya yang dianjurkan pelbagai pihak selama ini.

Beliau berkata, kajian berkenaan termasuklah dari segi silibus pengajaran di sekolah-sekolah memandu yang mungkin perlu dirombak.

"Kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan setiap tahun khususnya pada musim perayaan perlu dilihat semula sama ada memberi kesan atau sebaliknya.

"Apa yang kita lihat sekarang, kempen dan program keselamatan jalan raya selama ini tidak memberi impak besar kepada masyarakat. Kalau tidak, sudah tentu kes-kes kemalangan di negara ini mencatatkan penurunan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca