BUKAN sahaja berkemahiran mengendalikan kes melibatkan kebakaran, malah terlatih dalam menghulurkan bantuan kecemasan ketika tragedi runtuhan dan operasi menyelamat di kawasan luas.
Itulah keistimewaan Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), satu unit elit disertai anggota berkemahiran tinggi bagi menggalas tugasan mencabar dalam tempoh pantas.
Menyingkap pengalaman anggota Storm, Sinar Harian bertemu Penolong Bahagian Latihan Bomba Dan Penyelamat Negeri Sembilan, Penguasa Bomba Mohd Hafiz Mohd Sharif yang banyak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di hutan dan gunung.
Menurut Mohd Hafiz, faktor muka bumi dan kawasan hutan yang luas merupakan antara kesukaran dihadapi pasukan Storm ketika SAR bagi mengesan individu yang hilang.
"Ketika itu, pasukan bomba menerima laporan seorang lelaki pengsan di puncak gunung setinggi 1,200 meter pada jam 1.57 petang,” katanya ketika ditemui dalam Ujian Pengoperasian dan Atur Gerak Storm Zon Tengah, JBPM di Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, baru-baru ini.
Beliau yang juga salah seorang penasihat pasukan Storm berkata, anggaran tempoh perjalanan untuk sampai ke puncak gunung itu mengambil masa selama kira-kira lima jam.
Ujarnya, seramai 15 anggota Storm di Negeri Sembilan telah dipanggil untuk terlibat dalam operasi berkenaan.
"Kita pernah membuat latihan SAR di sekitar gunung tersebut, secara tidak langsung kita sudah mengetahui selok-belok dan keadaan trek di kawasan itu,” kata beliau.
Mohd Hafiz berkata, dengan bantuan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jelebu, mangsa berjaya dibawa turun, biarpun pasukan berdepan jarak pendakian yang jauh serta berliku.
"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Jelebu pada kira-kira jam 1 pagi untuk bedah siasat,” katanya.
Mohd Hafiz sehubungan itu menasihatkan orang ramai terutama yang mahu terlibat dengan aktiviti pendakian supaya mempelajari ilmu asas teknik pertolongan cemas, selain kaedah membuat pengusung daripada kain atau baju serta kayu.
"Ilmu ini boleh digunakan apabila berlaku kecemasan ketika melakukan aktiviti riadah secara berkumpulan di dalam hutan. Apabila salah seorang daripada mereka cedera dan tidak mampu untuk berjalan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafiz turut berkongsi pengalaman terlibat dalam operasi SAR melibatkan seorang lelaki yang sesat ketika pendakian di Gunung Berembun, Negeri Sembilan.
"Lelaki tersebut dipercayai meninggalkan tiga rakannya ketika menuruni gunung tersebut sebelum tersasar dari trek,” katanya.
Tambah beliau, mangsa bagaimanapun dapat dihubungi sebelum pasukan SAR digerakkan untuk menyelamatkan lelaki terbabit.
"Kita dapat menghubungi mangsa melalui WhatsApp. Kita meminta dia share location menerusi aplikasi itu, selain menasihatkan mangsa jangan meninggalkan lokasi berkenaan.
"Namun, setelah pasukan SAR tiba di lokasi, kita mendapati mangsa sudah bergerak ke tempat lain dan gagal dihubungi,” katanya.
Mohd Hafiz berkata, mangsa yang hanya berbekalkan satu botol air bagaimanapun berjaya ditemui pada hari kedua, di sekitar kawasan sungai dalam keadaan selamat namun keletihan.
Ujar pegawai yang telah berkhidmat dalam pasukan sejak 14 tahun lalu itu, sesiapa yang mahu melakukan aktiviti pendakian dalam kawasan hutan simpan kekal perlu mendapat permit kemasukan hutan daripada Pejabat Hutan Daerah masing-masing terlebih dahulu.
"Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang berdaftar di Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia juga memberikan khidmat jurupandu kepada golongan penggiat rekreasi khususnya pendaki di dalam hutan simpan kekal,” katanya.
Walaupun mencabar, Mohd Hafiz bagaimanapun menggalakkan orang ramai terlibat dalam aktiviti riadah di dalam hutan seperti mendaki bukit atau gunung, perkhemahan dan jungle trekking untuk melihat keindahan alam semula jadi, flora dan fauna.
"Negeri Sembilan juga mempunyai beberapa lokasi tumpuan orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah seperti Gunung Berembun, Gunung Angsi dan Gunung Datuk,” katanya.
Malah, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan dalam usaha memastikan keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti riadah di dalam hutan.
"Kita juga ada menerima panggilan kecemasan seperti mangsa yang kekejangan kaki serta sesak nafas ketika melakukan aktiviti lasak di dalam hutan,” ujarnya.
TIDAK TERLEPAS TUGAS HAKIKI
Sementara itu, Pegawai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Penguasa Kanan Bomba I Alimaddia Bukri berkata, seramai 72 anggota termasuk dua wanita JBPM terlibat dalam Ujian Pengoperasian dan Atur Gerak Storm Zon Tengah.
Jelas beliau, objektif ujian tersebut adalah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan Storm.
"Peserta terdiri daripada anggota bomba Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.
Alimaddia berkata, pihaknya memberi peluang kepada anggota wanita untuk menyertai pasukan Storm dan setakat ini lima anggota wanita menyertai pasukan elit berkenaan.
Namun begitu, anggota pasukan Storm tidak terlepas daripada tanggungjawab hakiki mereka sebagai anggota bomba biasa dalam menyelamat nyawa, harta benda serta memadamkan kebakaran.
"Setiap anggota Storm hanya akan berkumpul sebagai satu pasukan apabila ada panggilan membabitkan sesuatu kejadian yang memerlukan kecekapan khusus dalam kerja-kerja menyelamat,” katanya.
Tambah Alimaddia, pengalaman yang tidak boleh beliau lupakan ialah insiden seorang lelaki warga Britain yang dilaporkan hilang di kawasan Air Terjun Lubuk Teja, Pulau Tioman pada 27 Mei 2014.
"Pasukan SAR menemui mayat seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di Kampung Juara, seminggu selepas dia dilaporkan hilang.
"Mayat itu ditemui dalam keadaan hanya berseluar pendek tanpa baju kira-kira 50 kilometer dari pantai,” katanya.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat dilakukan sejurus selepas kehilangannya dilaporkan pada 29 Mei 2014 dan melibatkan 154 anggota merangkumi polis Pahang, polis marin, anggota tentera darat serta bomba Pahang.
Dalam kes berlainan, kata beliau, pengalaman yang menyayat hati pula ialah insiden tiga pekerja warga China maut serta seorang pemandu cedera parah susulan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan di Cheras pada 22 Mac 2021.
"Saya yang mengeluarkan mayat terakhir akibat komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan sebuah lebuh raya.
"Pekerja pembinaan warga China yang tersepit di antara struktur besi itu dikeluarkan pada jam 3.58 pagi,” katanya yang telah berkhidmat dalam pasukan Bomba dan Penyelamat sejak 2010.
Sehingga kini, terdapat 438 anggota Storm JBPM di seluruh negara dengan negeri paling ramai menyertai pasukan elit khas itu adalah Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Sabah dan Sarawak, iaitu keanggotaan melebihi 40 orang.
CABARAN ANGGOTA WANITA
Penyertaan anggota wanita dalam pasukan Storm yang ditugaskan dalam operasi berskala besar dan mencabar, membuktikan mereka juga setanding anggota lelaki.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah di Kuala Lumpur, Norazizah Nordin, 28, berkata, pasukan Storm memberi kelebihan kepada dirinya apabila diberikan kepercayaan terlibat dalam 20 operasi berskala besar sejak empat tahun lalu.
"Pada awalnya, keluarga tidak percaya saya mahu sertai pasukan Storm kerana saya perempuan. Namun, mereka banyak memberikan semangat agar saya tidak berputus asa,” ujarnya.
Norazizah yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, pengalaman tidak dilupakan ialah insiden perancah besi pembinaan hempap van kilang di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada 3 Mac 2021.
"Seorang daripada mangsa yang berjaya diselamatkan dalam insiden tersebut, sempat menghubungi suaminya untuk memaklumkan mengenai keadaannya,” ujarnya.
Dalam kejadian pada jam 5.58 petang itu, katanya, dua wanita pekerja kilang maut, manakala dua lagi rakan mereka bersama seorang lelaki yang juga pemandu van itu dilaporkan terselamat namun mengalami kecederaan.
"Mangsa pertama iaitu pemandu van dibawa keluar pada jam 8.55 malam, manakala penumpang dibawa keluar pada jam 9.15 malam sehingga 9.27 malam,” katanya.
Seorang lagi anggota Bomba dan Penyelamat, Lowena Crystalynn William, 23, berkata, tugas sebagai anggota Storm bukan mudah, namun dia berjaya membuktikan wanita juga mampu menyertai pasukan elit itu.
"Saya memang minat dengan badan beruniform sejak sekolah lagi. Hasrat itu tertunai apabila berjaya menjadi seorang anggota Bomba dan Penyelamat pada tahun 2019,” katanya.
Lowena Crystalynn berkata, latihan dan ujian yang dilalui untuk melayakkan diri sebagai anggota skuad elit Storm sangat mencabar.
"Walaupun saya wanita, namun tiada keistimewaan diberikan, ujian yang dilalui sama seperti anggota Bomba dan Penyelamat lelaki,” katanya.
Bertugas di Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Lowena Crystalynn berkata, pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah insiden tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember tahun lalu.
"Saya menjumpai mayat dua beranak berpelukan di bawah runtuhan. Jauh di sudut hati tersentuh melihat keadaan mangsa, namun demi tugas saya perlu cekalkan diri,” katanya.
Kejadian tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember lalu melibatkan 92 mangsa dengan 31 orang terkorban dan 61 orang lagi terselamat.
Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa seramai 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C di kawasan perkhemahan tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca