SHAH ALAM - Malaysia mencatatkan purata sebanyak 66 kes dalam tempoh setiap satu jam atau 1,573 kes kemalangan sehari bermula 1 Januari sehingga 30 Jun tahun ini. Jumlah itu sekali gus mencatatkan purata kadar kemalangan sebanyak 11,795 kes... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia mencatatkan purata sebanyak 66 kes dalam tempoh setiap satu jam atau 1,573 kes kemalangan sehari bermula 1 Januari sehingga 30 Jun tahun ini.

Jumlah itu sekali gus mencatatkan purata kadar kemalangan sebanyak 11,795 kes bagi setiap minggu.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, jumlah kemalangan yang dicatatkan itu turut menyaksikan peningkatan sebanyak 13.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Kes kemalangan jalan raya di negara ini bermula 1 Januari sehingga 30 Jun lalu ialah sebanyak 294,197 kes yang mana 3,065 daripadanya merupakan kemalangan maut manakala cedera sebanyak 15,638 kes."Bagi tempoh sama pada tahun 2022, sebanyak 283,065 kes kemalangan dicatatkan.

"Kes kemalangan maut turut meningkat sebanyak 8.1 peratus daripada 2,939 kes pada enam bulan pertama tahun lalu kepada 3,065 kes pada tempoh sama tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 3,293 kenderaan pula didapati terlibat dalam kemalangan maut pada tahun ini.

"Motosikal merupakan antara penyumbang tertinggi kepada jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut iaitu sebanyak 1,884 buah.

"Selain itu, antara kategori lain yang menjadi penyumbang ialah kereta (971) dan pejalan kaki (173),” katanya.

LELAKI LEBIH RAMAI MAUT

Menurutnya, dari segi jantina, statistik kemalangan maut yang direkodkan melibatkan mangsa lelaki iaitu 3,065 individu dan wanita seramai 558 individu.

"Mangsa yang berumur antara 21 hingga 40 tahun mencatatkan bilangan tertinggi terlibat dalam kemalangan maut iaitu sebanyak 1,153, mangsa diikuti 41 hingga 60 tahun (757 mangsa) dan 20 tahun ke bawah (655 mangsa).

"Ia diikuti golongan warga emas iaitu mangsa yang terdiri daripada mereka yang berumur 61 hingga 100 tahun iaitu seramai 586 mangsa,” katanya.

Ujar Mat Kasim, berdasarkan kajian yang dijalankan pihaknya, faktor kecuaian selain tidak mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan antara penyumbang kepada berlakunya kemalangan maut dan parah.

"Ketidakpatuhan kepada peraturan jalan raya selain melakukan beberapa kesalahan utama misalnya memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar dan memotong barisan menjadi punca berlakunya kemalangan.

"Selain itu, kesalahan utama lain dikesan menjadi faktor kemalangan turut melibatkan sikap pengguna yang memandu di lorong kecemasan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya mengambil langkah drastik dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dengan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang kerap.

"Langkah diambil melibatkan operasi terutamanya ketika musim perayaan dengan menjalankan Op Selamat, Op Sikap, Op Lancar dan pelbagai operasi lain di seluruh negara.

"Selain itu, kehadiran serta rondaan oleh anggota polis trafik bertugas di lokasi-lokasi dikesan sebagai hotspot berlakunya kemalangan turut ditingkatkan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.

Tegas beliau, masa sama pengguna turut perlu memainkan peranan dengan sentiasa mementingkan aspek pemanduan dan penunggangan selamat ketika di jalan raya.

"Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa menitik berat aspek keselamatan dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan.

"Sentiasa patuh peraturan jalan raya yang ditetapkan demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain,” nasihatnya.

Klik di sini untuk terus membaca