SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) digesa tegas menyenarai hitam artis luar negara yang mempunyai rekod melakukan aksi tidak senonoh dan menyokong Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) secara terang-terangan.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata, agensi di bawah KKD iaitu Unit Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) perlu membuat tapisan awal sebelum membenarkan mana-mana artis luar membuat persembahan di negara ini.
"Tapisan awal perlu dibuat oleh Puspal dengan meneliti secara terperinci latar belakang artis berkenaan dan juga mengambil kira persepsi masyarakat terhadap individu yang bakal membuat persembahan serta penggambaran di negara ini.
"Kita perlu bertegas dalam memberikan permit kepada mereka (artis luar negara) dan hanya memilih golongan yang tidak menyokong LGBT, memaparkan sikap terlalu kebaratan seperti meminum arak di atas pentas kerana Malaysia merupakan negara Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Zed Zaidi berkata demikian berikutan perbuatan biadab kumpulan rock dari Britain, The 1975 ketika beraksi dalam konsert The Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada malam Jumaat sehingga mendapat kecaman rakyat Malaysia.
Raat-rata meluahkan rasa marah dan kesal atas tindakan penyanyi kumpulan itu, Matty Healy yang secara terbuka melakukan aksi bercium sesama jenis dan meneguk minuman keras.
Matty yang dipercayai mabuk ketika membuat persembahan pada konsert itu turut lantang menyuarakan rasa tidak puas hatinya berhubung undang-undang LGBT di Malaysia dan menunjukkan protes dengan mencium mulut pemain bass kumpulan itu, Ross McDonalds.
Walaupun persembahan tersebut dihentikan selepas insiden itu berlaku, ramai pihak menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap kumpulan berkenaan dan pihak penganjur.
Sementara itu, Zed Zaidi berkata, perbuatan anggota kumpulan The 1975 itu jelas menghina negara kerana tidak menghormati undang-undang dan budaya yang diamalkan rakyat Malaysia.
Malah, katanya, kelakuan jelik tersebut membawa pengaruh tidak baik terhadap golongan berumur 18 hingga 29 tahun atau generasi Z.
"Anak muda kita cepat terpengaruh melalui media sosial dan saya boleh menjangkakan perbuatan terkutuk yang dilakukan The 1975 itu akan tersebar di semua platform.
"Tidak mustahil golongan belia boleh terpengaruh dengan perkara itu. Ini sebabnya kita perlu menghalang dan mengawal secara ketat kemasukan artis luar negara,” ujarnya.
Tambah beliau, susulan insiden tersebut, tidak mustahil ramai artis luar yang membuat persembahan di dalam negara ini akan melakukan perkara sama.
Zed Zaidi pada masa sama turut menggesa kerajaan mengutamakan artis tempatan mengadakan persembahan di dalam negara.
Ujar beliau, apabila tindakan mempromosikan artis luar dilakukan secara berlebihan, ia akan memberi impak kepada anak seni tanah air yang mahu mencari rezeki.
"Sekiranya ada peluang untuk melakukan persembahan, mohon ia diberikan kepada artis tempatan kerana kebanyakan mereka hilang punca pendapatan akibat Covid-19.
"Kita tidak boleh menafikan bahawa dunia kini agak mencabar apabila kebanyakan masyarakat menyokong artis luar negara. Bagaimanapun, kita perlu memperkuatkan jati diri untuk menyokong artis tempatan terlebih dahulu,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca