PENDAKWAAN ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bukanlah satu kejutan berikutan kenyataan Istana Selangor sendiri yang memberi maklum balas negatif atas permohonan maaf Menteri Besar Kedah itu. Jika dilihat kempen politik sejak dua... Klik di sini untuk terus membaca

PENDAKWAAN ke atas Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bukanlah satu kejutan berikutan kenyataan Istana Selangor sendiri yang memberi maklum balas negatif atas permohonan maaf Menteri Besar Kedah itu.

Jika dilihat kempen politik sejak dua bulan lalu, Muhammad Sanusi adalah antagonis utama kerajaan Persekutuan.

Gaya kepimpinan seperti api lawan dengan api yang dipamerkan oleh beliau ibarat duri dalam daging kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN).

Muhammad Sanusi akan sentiasa menjawab apa sahaja serangan menteri-menteri Persekutuan terhadap Kedah.

Justeru, apabila ucapan beliau telah ditafsir sebagai menghina Istana Selangor, ia umpama orang mengantuk disorong bantal kepada kerajaan Persekutuan.

Tidak sampai seminggu selepas laporan polis dibuat, satu tangkapan jam 3 pagi dan pendakwaan atas Muhammad Sanusi dengan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan telah dibuat di Mahkamah Sesyen Selayang.

Pokok pertuduhan utama ialah menghina institusi kesultanan Selangor dan ucapan itu dibuat bertujuan memperlekeh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari yang sebelumnya berucap memperlekehkan pentadbiran Muhammad Sanusi di Kedah.

Oleh sebab perkara tersebut telah menjadi kes mahkamah, maka mahkamah adalah tempat paling sesuai untuk mentafsirkan sama ada ucapan tersebut memenuhi kesalahan di bawah Akta Hasutan.

Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Sanusi didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong kerana mempertikai pembentukan Kerajaan Perpaduan. Ia juga terserah kepada mahkamah untuk menilainya.

Badan bukan kerajaan (NGO) peguam hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) misalnya, menganggap pertuduhan kedua itu lebih kepada penggunaan Akta Hasutan ke atas seteru politik yang lantang mengkritik perdana menteri.

Memperlekehkan pelantikan menteri besar atau perdana nenteri bukanlah perkara baharu kerana ia juga dilakukan oleh hampir semua parti politik utama negara ini.

Pada 2014, Sultan Selangor menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dikurniakan kepada Anwar berikutan tindakan dan perlakuan yang mempersoalkan kewibawaan Sultan Selangor dalam menyelesaikan kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor dan hal berkaitan isu agama Islam.

Namun, yang menarik dalam isu pelantikan perdana menteri atau menteri besar, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri memaktubkan klausa yang jelas.

Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai perdana nenteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri, seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.

Sementara, Undang-Undang Tubuh Negeri juga hampir kesemuanya menggunakan klausa hampir sama iaitu sultan dan Yang di-Pertuan Negeri hendaklah melantik seorang ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baginda percaya mempunyai sokongan majoriti ahli dewan untuk menjadi menteri besar atau ketua menteri.

Perlembagaan tidak memberi kuasa memilih kepada Yang di-Pertuan Agong atau sultan dalam menentukan siapa perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri.

Kuasa baginda adalah sebagai hakim yang menentukan pihak mana mempunyai cukup sokongan majoriti ahli dewan untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Dalam keadaan sesebuah parti mempunyai majoriti mudah, pencalonan satu nama daripada parti tersebut sudah memenuhi kehendak undang-undang.

Dalam keadaan tiada parti memenangi majoriti mudah, sudah tentu tugas baginda untuk menentukan pihak mana mempunyai cukup sokongan majoriti ahli dewan.

Tujuan perlembagaan kita digubal sedemikian rupa bukan sahaja untuk menjaga kepentingan sistem demokrasi tetapi bagi melindungi institusi diraja daripada kritikan dan cemuhan rakyat pada kemudian hari.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar).

Klik di sini untuk terus membaca