BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap mengenai rancangan menaikkan taraf prasarana penanaman padi di seluruh negara. Dalam lawatan ke jelapang padi Kedah, beliau dilaporkan berkata, kira-kira RM3 bilion... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap mengenai rancangan menaikkan taraf prasarana penanaman padi di seluruh negara.

Dalam lawatan ke jelapang padi Kedah, beliau dilaporkan berkata, kira-kira RM3 bilion diperlukan bagi mempertingkatkan infrastruktur tanaman padi di Malaysia.

Ia bukanlah kali pertama Anwar bercakap mengenai hal itu.

Ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1990-an, beliau mengatakan hal yang sama ketika melawat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). Saya ada di situ untuk membuat lipatan.

Sejak itu, ramai lagi Perdana Menteri dan Menteri Pertanian yang membuat lawatan, menabur janji serta melepaskan batuk di tangga.

Lebih 30 tahun telah berlalu tetapi tidak banyak yang dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan pun untuk benar-benar menaikkan taraf prasarana dan teknologi pertanian.

Di Rancangan Pengairan Muda misalnya, hampir tiada sebarang perubahan prasarana berlaku sejak ia dibina pada akhir 1960-an.

Jadi apabila Perdana Menteri ketika melawat Kedah berkata, penaiktarafan prasarana itu 'diyakini mampu meningkatkan pendapatan pesawah', saya harap ia bukan menanam tebu di tepi bibir.

Maaflah kalau saya kata curiga apabila janji-janji seperti sawah pintar berskala besar (Smart SBB) dan penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun akan menjadi kenyataan selagi tidak berlaku di depan mata.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu boleh membantu mengesahkan hal itu kerana seperti saya, beliau juga berasal dari kawasan bendang.

Dalam kempen beliau sebagai pemimpin Angkatan Belia Islam (Abim), Pas dan Amanah sejak 1970-an, beliau banyak bergaul dengan orang kampung.

Maaf juga kalau saya kata 'Abang Mat' tidaklah kosmopolitan macam bosnya, Anwar. Justeru, saya harap beliau lebih berpijak di bumi nyata.

Tidak ada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian yang tidak berikrar serta berjanji langit dan bumi kepada masyarakat tani tetapi amat sedikit dilaksanakan seperti diserlahkan oleh kemiskinan luar bandar serta kegagalan mencapai matlamat kecukupan makanan.

Satu dunia tahu bahawa padi boleh ditanam lima musim dalam pusingan dua tahun. Di Malaysia pun, pemimpin politik, ahli pertanian dan petani telah berbuih mulut bercakap mengenainya.

Malah, pernah dibuat pelbagai projek perintis berkaitan pengairan tertiary atau dalam loghat Utara dipanggil parit gila atau pida (feeder), penanaman berkelompok dan persawahan berskala besar.

Malah, pada 2006, kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjanji membelanjakan sebahagian penjimatan penarikan balik beperingkat subsidi petrol bagi menaikkan taraf prasarana ekonomi luar bandar.

Pada 2015, saya bertanya kepada Najib yang ketika itu menjadi Perdana Menteri, kenapa kerajaan tidak tunaikan janji tersebut, sedangkan berpuluh bilion ringgit sedang dibelanjakan ke atas prasarana bandar. Jawab beliau, kosnya terlalu tinggi.

Beliau turut memberikan anggaran peruntukan diperlukan bagi menyediakan sistem perparitan lengkap di kawasan MADA sama seperti terdapat di Sekinchan, Selangor.

Anggaran yang beliau nyatakan itu tidak banyak berbeza dengan RM3 bilion yang Anwar sebutkan. Jadi, ada kemungkinan jumlah yang Perdana Menteri hebahkan itu tidak memadai lagi.

Kesimpulannya, sejak pembinaan Rancangan Pengairan Muda dimulakan lebih 50 tahun lalu dengan hutang daripada Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia, tidak banyak pembaikan prasarana pertanian dilakukan.

Dalam tempoh sama, kualiti tanah merosot dan musuh tanaman bertambah akibat amalan pertanian tidak lestari seperti penggunaan baja kimia serta racun berlebihan dan penggunaan jentera terlalu berat.

Saya harap Perdana Menteri dan Menteri Pertanian faham apa yang mereka ucap serta janjikan kerana sudah terlalu lama kerajaan demi kerajaan bermain kata-kata dengan masyarakat tani, sementara negara terus ketidakcukupan makanan.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara.

Klik di sini untuk terus membaca