SELAIN dirancakkan oleh kempen-kempen politik, pilihan raya juga diserikan dengan tinjauan pendapat yang membuat pelbagai ramalan - parti politik mana yang akan membentuk kerajaan, calon dijangka menang atau tewas dan isu-isu semasa lain yang menarik perhatian pengundi.
Di negara-negara demokrasi, amalan membuat tinjauan pendapat menjelang hari pengundian sudah menjadi perkara biasa dan telah lama diamalkan.
Ia bagi membolehkan orang politik dan parti-parti siasah yang mereka wakili memahami mood pengundi supaya dengan itu strategi betul untuk memenangi hati serta minda mereka boleh dirangka bagi mendapatkan undi.
Mengikut rekod, tinjauan pendapat pertama dilakukan semasa Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 1824 oleh Harrisburg Pennslyvanian, sebuah akhbar tempatan di ibu negeri Pennslyvania.
Sejak itu, setiap kali pilihan raya diadakan di AS, sama ada untuk pemilihan presiden, senator, gabenor dan ahli-ahli dewan perwakilan dikenali sebagai Kongres, tinjauan pendapat meramalkan calon bakal menang atau parti politik yang akan membentuk kerajaan menjadi satu tradisi menghidupkan pilihan raya menjelang berlangsungnya hari pengundian.
Bukan sahaja di AS, amalan melakukan tinjauan pendapat itu turut diimport atau ditiru di negara demokrasi lain termasuk Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malah untuk menjamin tinjauan pendapat itu berwibawa, kaedah atau metodologi sewaktu membuat tinjauan pendapat itu sendiri turut diperbaiki untuk memastikan dapatan diperoleh boleh meramalkan hasil sebenar pengundian pada pilihan raya itu sendiri.
Pada masa sama, muncul badan-badan khusus profesional untuk mengendalikan tinjauan pendapat.
Antara yang terkenal di AS ialah Gallup Poll, Literary Digest dan pelbagai lagi. Badan tinjauan pendapat di AS turut mengembangkan perniagaan masing-masing ke negara-negara demokrasi yang lain dengan pelbagai nama.
Yang menarik, dapatan dihasilkan oleh agensi penyelidikan tinjauan pendapat untuk meramalkan siapa menang, siapa tewas semasa pilihan raya turut menjadi makanan ruji media yang melaporkannya sebagai berita dan analisis.
Malah, di Barat bukan rahsia lagi bahawa lama sebelum pilihan raya diadakan, ada organisasi media mengupah syarikat-syarikat penyelidikan itu melakukan tinjauan pendapat untuk mereka.
Dapatan daripada tinjauan pendapat akan digunakan untuk membuat pelbagai ramalan mengenai populariti sesebuah parti atau calon yang menawarkan diri bertanding.
Tentu ada bertanya, sejauh mana dapatan hasil tinjauan pendapat itu dipercayai? Dalam konteks pilihan raya Presiden di AS, ramalan dibuat oleh badan penyelidikan itu ada yang betul, ada yang salah.
Misalnya, tinjauan pendapat oleh Literary Digest untuk pilihan presiden pada 1920, 1924, 1928 dan 1932 dengan tepat meramalkan calon yang menang tetapi bagi pemilihan 1936, ramalan yang dilakukan meleset.
Gallop Poll juga salah dalam ramalan pada pemilihan presiden 1948 yang meramalkan Thomas Dewey akan menewaskan Harry Truman tetapi pemenang sebenarnya ialah Truman.
Mengapa berlaku kesilapan ramalan? Jawapannya ada kaitan dengan sampel pengundi yang dipilih sewaktu tinjauan pendapat dilakukan, yang dikatakan tidak mencerminkan pengundi sebenarnya dari segi kecenderungan politik, usia, kelas dan sebagainya.
Selain itu, ada juga pengundi sewaktu survei dilakukan tidak memberi jawapan jujur.
Ada sampel pengundi yang dipilih mengubah fikiran pada saat-saat akhir hari pengundian menyebabkan apa yang diramalkan tidak menjadi kenyataan.
Dengan kata lain, dalam menghadam pelbagai hasil tinjauan pendapat menjelang pilihan raya, kita sebagai pengundi jangan terpengaruh dengan dapatan-dapatan yang disogokkan kepada kita secara membuta tuli.
Hal itu kerana tinjauan pendapat tidak dilakukan dalam kekosongan. Jika tinjauan pendapat itu ditaja oleh parti politik tertentu akan terdapat keserongan yang memihak kepada mereka.
Justeru gunakan fikiran waras kita untuk memangkah. Orang politik dan parti-parti yang diwakili akan menjanjikan bulan bintang untuk mendapatkan undi tetapi kita tahu ada antara janji itu tinggal janji selepas mereka berkuasa.
* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI).
Klik di sini untuk terus membaca