PEREBUTAN hak jagaan anak selalu dilaporkan di media sosial dan akhbar arus perdana yang menunjukkan sikap ego serta baran kedua-dua pihak dalam menangani isu penjagaan dan lawatan anak berkenaan.
Malah, sering kita membaca berita disensasikan - pertikaian di Mahkamah Syariah atau di luar mahkamah apabila pasangan bercerai. Perebutan anak menjadi isu utama yang hangat diperkatakan.
Anak seolah-olah menjadi komoditi bagi ibu bapa yang bercerai atau diambang perceraian. Tidak kurang juga anak dijadikan alat untuk membalas dendam antara satu sama lain.
Secara umumnya, mengikut hukum syarak walau sesiapa pun yang mendapat hak jagaan anak, pihak yang tidak mendapat hak jagaan berhak melawat anak itu mengikut kesesuaian.
Ia kerana kebajikan anak tersebut mendapat kasih sayang ibu dan bapa amat penting.
Itulah sebabnya jika bapa tidak mendapat hak jagaan anak, bapa masih perlu memberi nafkah anaknya. Hubungan itu pula tidak hanya setakat memberi nafkah tetapi juga melawat anak tersebut.
Sebagai seorang Peguam Syarie, saya telah melihat ramai bapa dipenjarakan oleh Mahkamah Syariah kerana gagal membayar nafkah anak.
Tidak kurang juga ibu yang dipenjara kerana enggan memberikan hak kepada bapa menziarahi anak tanpa sebab munasabah.
Jika suami dan isteri bercerai, hanya mereka yang bercerai. Hubungan anak dengan ibu atau bapa tidak putus. Oleh itu, jangan sesekali mencipta alasan dengan tujuan tidak membenarkan bapa atau ibu menziarahi.
Bawalah berbincang bersama agar kebajikan anak tersebut dapat dibela walaupun ibu bapa bercerai.
Pasangan yang bercerai perlu menyediakan minda positif bagi menghadapi perceraian. Walaupun rumahtangga tidak dapat diselamatkan, janganlah ada dendam antara mereka.
Jika benar-benar sayangkan anak, maka berusahalah berbincang dan memberikan yang terbaik buat anak.
Walaupun telah bercerai, mereka masih boleh menjadi kawan dengan menyantuni batas-batas telah ditetapkan oleh hukum syarak.
Ibu lazimnya diberikan keutamaan mendapat hak jagaan anak, sementara bapa masih menanggung nafkah anak.
Dengan cara itu, hubungan kedua-duanya berkekalan. Namun, jika ibu misalnya, menghalang bapa menziarahi anak tanpa sebab munsabah atau mempengaruhi anak agar enggan berjumpa bapa mereka, sudah pasti si bapa akan bertindak balas tidak mahu memberikan nafkah kepada anaknya.
Akhirnya kebajikan anak itu dinafikan kerana kedegilan ibu bapa mereka.
Sebagai Peguam Syarie juga, saya amat memahami penderitaan wanita yang diceraikan, khususnya tanpa sebab munasabah.
Namun, wanita itu mempunyai remedi yang dibenarkan mengikut undang-undang untuk menuntut di Mahkamah Syariah.
Anak kecil yang kadangkala belum mumaiyiz, tidak tahu hak mereka di sisi undang-undang. Anak kecil itu hanya bergantung harap ihsan ibu bapa mereka.
Sebagai ibu yang biasanya diberikan hak jagaan dan bertanggungjawab membentuk peribadi mulia anak, seharuslah ibu mengambil langkah bijak memberi perspektif positif kepada anak atas penceraian yang dilalui.
Saya perhatikan amat jarang perkara sebegitu berlaku. Sering sahaja anak menjadi mangsa persengketaan ibu bapa.
Justeru, ibu bapa mesti berperanan memberikan terbaik kepada anak, bukan menjadikan anak sebagai alat membalas dendam.
Bayangkan jika gambar atau video yang ditularkan disebar sehingga anak membesar. Sudah pasti mereka akan berasa malu dengan masalah yang dihadapi itu dan boleh mendatangkan trauma.
Ingatlah, anak-anak bukan sahaja bakal pemimpin pada masa hadapan tetapi mereka adalah harapan pada hari ini.
Jika sejak kecil mereka menghadapi pelbagai masalah, sudah pasti apabila besar kelak mereka tidak berupaya menjadi pemimpin yang baik, apatah lagi untuk mengharungi liku-liku hidup lebih mencabar pada masa mendatang.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
Klik di sini untuk terus membaca