ISU pendapatan isi rumah rakyat Malaysia yang rata-ratanya masih rendah dan tidak mencukupi untuk mengimbangi kos sara hidup yang tinggi khususnya perbelanjaan bagi keperluan asas menjadi tumpuan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad... Klik di sini untuk terus membaca

ISU pendapatan isi rumah rakyat Malaysia yang rata-ratanya masih rendah dan tidak mencukupi untuk mengimbangi kos sara hidup yang tinggi khususnya perbelanjaan bagi keperluan asas menjadi tumpuan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh.

Di samping itu, isu-isu mengenai kemudahan infrastruktur melibatkan pembangunan jalan dan capaian internet yang masih lemah terutama di kawasan dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu juga menjadi antara fokus pemimpin berkenaan.

Ia bagi membolehkan rakyat Besut menikmati pembangunan mampan setanding dengan kawasan maju di daerah-daerah lain serta dapat membantu mereka membaiki taraf kehidupan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, Norhaspida Yatim bersama Che Mohamad atau lebih mesra digelar YB Abe Zul bagi mengetahui lebih lanjut hasrat dan agenda yang dibawa beliau melalui ruangan AGENDA YB kali ini.

SINAR HARIAN: YB merupakan pemimpin baharu dari Pas yang diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu, apakah antara isu dan permasalahan rakyat yang menjadi fokus YB ketika ini?

ABE ZUL: Isu utama rakyat yang terkini sudah tentulah berkisar mengenai kos sara hidup yang sangat-sangat membebankan dalam kehidupan mereka seharian. Dalam perkara ini, saya akan terus membangkitkan isu-isu seumpama ini agar membuka mata banyak pihak.

Pihak kerajaan khususnya perlu mengambil langkah-langkah yang aktif dalam mengatasi masaalah kenaikan harga barang yang semakin meningkat. Kos sara hidup memerlukan tindakan yang lebih berkesan daripada kerajaan. Tindakan menurunkan harga barang mesti disandarkan kepada inisiatif di titik awal rantaian bekalan, bukan di titik akhir rantaian iaitu di peringkat pengeluar.

Kerajaan juga perlu memperketatkan lagi penguatkuasaan terhadap harga barang. Kerajaan juga perlu berusaha mewujudkan pendapatan selesa dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai langkah mengimbangi isu kos sara hidup yang semakin meningkat dan dihadapi rakyat ketika ini.

Selain itu, saya juga memfokuskan terhadap masalah infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya Keruak ke Gua Musang yang telah dihentikan pembinaannya, pembinaan fly over Jambatan Jertih, Jalan Jertih – Keruak dan Jalan Tok Has ke Kuala Besut, pembinaan hospital baharu, Stesen Bas Jertih dan lain-lain lagi yang melibatkan keperluan rakyat jelata.

Di samping itu, saya juga memberi fokus terhadap isu capaian internet yang masih lemah kerana masih ada beberapa kawasan di tempat saya yang perlu dinaik taraf iaitu melibatkan kawasan pedalaman di Besut.

SINAR HARIAN: Setelah hampir tujuh bulan bergelar Ahli Parlimen, apakah antara pencapaian penting yang YB boleh kongsikan sama ada di peringkat kawasan YB sendiri di Besut atau di peringkat nasional?

ABE ZUL: Setakat ini, ada beberapa isu yang saya telah bangkitkan di Parlimen dan kepada agensi-agensi dan kementerian terbabit. Alhamdulillah saranan saya telah diberi maklum balas, perhatian dan dalam tindakan pihak-pihak terbabit. Antara isu yang saya bangkitkan dan telah mendapat perhatian ialah mengenai kemudahan infrastruktur jalan di Besut.

SINAR HARIAN: Pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) mempunyai tawaran bagi meminda Seksyen 41-45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi melaksana hukuman lebih berat kepada pemandu mabuk. Setakat ini apa perkembangan terbaharu yang boleh YB kongsikan?

ABE ZUL: Pada 23 Februari 2020, Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45. Berkaitan pemandu mabuk, pindaan telah dilakukan terhadap Seksyen 44 melibatkan kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Hukuman yang dikenakan jika sabit kesalahan ialah penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 selain hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun untuk sabitan pertama.

Saya berpendapat bahawa peruntukan Seksyen 44 itu sudah cukup untuk memberi pengajaran kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kerana hukuman tidak kurang daripada 10 tahun adalah memadai sekiranya disabitkan kesalahan. Setakat ini saya tidak mendapat apa-apa maklumat terbaharu samaada Akta Pengangkutan Jalan 1987 ini hendak dipinda.

Pindaaan boleh dilakukan selepas mengambil kira peningkatan kesalahan menyebabkan kematian oleh pemandu mabuk selepas hukuman dijatuhkan kepada mereka yang bersalah. Sekiranya berlaku peningkatan ianya menunjukkan hukuman tidak berkesan. Justeru pindaan perlu dibuat. Setakat ini tidak terdapat perangkaan mengenai peningkatan berkenaan perbuatan memandu secara mabuk yang menyebabkan kematian.

SINAR HARIAN: Baru-baru ini kerajaan Pas Terengganu telah melancarkan Kad Laporan Prestasi dan Buku Kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu 2018-2023, sejauh mana YB melihat kemampuan Pas untuk menerajui Terengganu pada masa akan datang?

ABE ZUL: Sepanjang Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Terengganu mentadbir negeri bermula 2018 sehingga 2022, pelbagai kejayaan telah dicapai dalam pelbagai bidang iaitu bidang agama, sosial, pendidikan, ekonomi, sukan dan lain-lain.

Terdapat 11 segmen kejayaan negeri Terengganu sepanjang tempoh tersebut merangkumi urus tadbir yang cekap, dakwah, modal ihsan yang cekap, kebajikan, pemulihan projek, pendidikan, belia, sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelancongan, pertanian, penternakan, perikanan, industri makanan, pekerjaan, perniagaan dan keusahawanan, infrastruktur, tanah dan perumahan.

Hasil urus tadbir yang cekap, prestasi kumpulan anak syarikat negeri (GLC) iaitu Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) mencatatkan peningkatan pendapatan di mana telah keluar daripada kerugian dan mendapat laba melebihi 1.2 billion yang sekali gus memberi pulangan lumayan kepada rakyat dan ekonomi negeri.

Selain itu, Kerajaan Terengganu juga telah berjaya menaikkan pelaburan melebihi 12.6 billion. Berdasarkan kejayaan yang memberangsangkan ini, saya percaya Pas mampu untuk menerajui negeri Terengganu dengan lebih berjaya lagi dalam semua bidang yang saya nyatakan di atas sekiranya diberi mandat dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Kemampuan menerajui negeri ini telahpun dibuktikan dengan cemerlang sepanjang pemerintahan antara 2018 hingga habis penggal kali ini malah rakyat juga dilihat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri sepanjang memerintah.

SINAR HARIAN: Apa komen YB terhadap wang royalti Terengganu yang ditukar kepada wang ihsan oleh Kerajaan Perpaduan?

ABE ZUL: Tindakan Kerajaan Pusat yang menukar status royalti kepada wang ihsan adalah bertentangan dengan semangat federalisme. Bentuk wang ihsan tidak mencerminkan semangat federalisme yang matang kerana kerajaan menafikan hak kerajaan untuk menerima royalti minyak.

Sekatan Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) membabitkan royalti petroleum ke Terengganu adalah tidak wajar kerana tindakan tersebut bukan sahaja menjejaskan setiap perancangan pembangunan di negeri itu bahkan juga melibatkan hak-hak yang berhubung dengan kepentingan rakyat.

Matlamat awal penubuhan Petronas 1974 yang terikat dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 adalah dengan membuat bayaran royalti minyak sebanyak 5 peratus setahun dibawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974. Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 jelas menunjukkan sekiranya minyak dan gas didapati 'offshore', ia bermaksud dalam konteks galian itu tidak kira berapa jarak batu yang digali.

SINAR HARIAN: Apakah pandangan YB sendiri terhadap peranan dimainkan kerajaan Madani ketika ini dalam konteks menjaga kebajikan rakyat khususnya di negeri-negeri pembangkang?

ABE ZUL: Saya berpendapat Kerajaan Pusat tidak serius dalam menjaga kebajikan rakyat khususnya di negeri-negeri pembangkang. Misalnya, peruntukan kepada Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah dinafikan sebelum ini.

Peruntukan tersebut merupakan keperluan untuk Ahli Parlimen menyampaikan, mengagihkan bantuan terus kepada rakyat secara adil dan saksama tanpa mengira parti dan ideologi politik melalui konsep ‘fiqh awlawiyyat’ sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Terengganu bermula 2018 sehingga 2023.

Kita harap Kerajaan Pusat dapat memberikan ‘layanan' sama rata terutama melibatkan negeri-negeri yang diperintah pembangkang kerana kita tidak mahu apa yang berlaku itu memberi kesan kepada rakyat.

PROFIL WAKIL RAKYAT

DATUK CHE MOHAMAD ZULKIFLY JUSOH

Asal: Kampung Raja, Besut, Terengganu

Umur: 64

Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Malaya (UM)

- Peguambela & peguamcara.

- Pengerusi Epic O & G Sdn Bhd.

Jawatan:

Ahli Parlimen Besut

Klik di sini untuk terus membaca