RIBUAN kanak-kanak kaum India di negara ini telah ditakdirkan dengan nasib untuk menjalani survival kehidupan tanpa hak kewarganegaraan sekali gus menggugat jaminan masa depan mereka. Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan meskipun... Klik di sini untuk terus membaca

RIBUAN kanak-kanak kaum India di negara ini telah ditakdirkan dengan nasib untuk menjalani survival kehidupan tanpa hak kewarganegaraan sekali gus menggugat jaminan masa depan mereka.

Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan meskipun kanak-kanak tersebut lahir di bumi bertuah ini, namun mereka tidak dapat menikmati keistimewaan asas serta hak sebagai rakyat Malaysia.

Badan bukan kerajaan, DHRRA Malaysia baru-baru ini telah berkongsi statistik dengan Makkal Osai yang memaparkan sejak tahun 2016 hingga Jun 2023 didapati sejumlah 16,000 orang kaum India khususnya dari Semenanjung Malaysia hidup tanpa hak kewarganegaraan.

Menurut Makkal Osai, koleksi rekod DHRRA Malaysia telah menyatakan sebanyak 16,392 orang kaum India tidak mempunyai hak kewarganegaraan, bagaimanapun daripada jumlah itu kira-kira 7,000 orang sudah pun memperoleh taraf kerakyatan.

Sebaliknya 9,392 orang pula masih berstatus bukan warganegara.

Kajian rekod DHRRA Malaysia itu turut menegaskan bahawa golongan kanak-kanak kaum India yang belum memiliki hak kewarganegaraan mewakili bahagian cukup besar daripada jumlah keseluruhan itu.

Jelas Makkal Osai lagi, senario kanak-kanak kaum India masih belum memiliki hak kewarganegaraan telah wujud disebabkan kelekaan para ibu bapa yang tidak mendaftar perkahwinan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Masalah pasangan suami isteri tidak mendaftar perkahwinan merupakan antara isu sensitif dalam kalangan masyarakat India.

Kealpaan itu telah menyebabkan mereka tidak dapat memperoleh dokumen-dokumen sah yang penting untuk anak-anak.

Ketiadaan dokumen sah mengundang kepada isu lebih kronik sehingga kanak-kanak kecil menjadi mangsa untuk hidup tanpa kerakyatan dan sukar untuk menikmati masa depan yang cerah.

Selain itu, pasangan yang melahirkan anak luar nikah dan mengambil anak angkat turut menjadi antara faktor wujudnya isu berkenaan.

Secara tidak langsung kesilapan para ibu bapa berkenaan telah membuatkan segala kebaikan yang patut diterima dan dinikmati anak-anak kecil mereka tidak dapat dilaksanakan.

Justeru pihak JPN telah memberi Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) kepada kanak-kanak yang dihimpit masalah seumpama itu.

MyKAS adalah dokumen pengenalan diri dikeluarkan kepada individu lahir di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraan mereka tidak dapat ditentukan.

Pemegang MyKAS pula bertaraf bukan warganegara dan individu itu perlu memperbaharui kad pengenalan berkenaan setiap lima tahun.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia juga memberi keistimewaan kepada pemegang MyKAS untuk bebas menjalani kehidupan biasa dan bekerja untuk menampung kelangsungan hidup serta mendapat bantuan di jabatan-jabatan kerajaan.

Sementara itu, ujar Makkal Osai, isu kanak-kanak kaum India yang belum memiliki hak kewarganegaraan amat memerlukan solusi daripada pelbagai pihak terutama golongan pasangan suami isteri, JPN dan kerajaan perpaduan.

Makkal Osai turut mengesyorkan pihak JPN meneliti semula ribuan permohonan untuk memperoleh status hak kerakyatan daripada kaum India dan meluluskan permohonan yang dalam proses sejak sekian lama di jabatan berkenaan.

Survival dan masa depan kanak-kanak kaum India yang menjadi pemegang MyKAS wajar diberi perhatian serius oleh tampuk kepimpinan parti politik masyarakat itu dan kerajaan perpaduan supaya mereka dapat menikmati segala kemajuan pembangunan dari segi politik, ekonomi serta sosial sebagai rakyat Malaysia.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas dari Johor.

Klik di sini untuk terus membaca