SELEPAS 36 tahun, Metropolitan Police (Met Police) United Kingdom (UK) akhirnya membayar pampasan dua juta pound bersama permohonan maaf kepada keluarga mendiang Daniel Morgan, penyiasat persendirian dan pengasas Southern Investigations yang mati dibunuh pada 10 Mac 1987.
Met Police mengakui kegagalan mereka mengendalikan kes tersebut menyebabkan pembunuh penyiasat malang itu terlepas bebas.
Pada malam kejadian, Daniel dijumpai mati dengan kapak di kepala di tempat letak kereta sebuah pub di Sydenham London selepas minum bersama rakan baiknya, juga seorang penyiasat, Jonathan Reese.
Daniel dikatakan sepatutnya memberi maklumat yang bakal membongkar kes korupsi dan pengedaran dadah didalangi ‘orang dalam’ Met Police kepada ‘seseorang’ malam itu. Kerana itu, motif utama pembunuhannya disyaki ada kaitan dengan maklumat rahsia yang dipegangnya.
Namun, siasatan lebih tiga dekad oleh Met Police berakhir dengan jalan buntu meskipun hampir 40 juta pound telah dibelanjakan dan 67 orang termasuk lapan pegawai Met Police direman untuk tujuan siasatan. Kes korupsi yang cuba dibongkar Daniel kepada ‘seseorang’ itu juga kekal misteri hingga hari ini.
Selain ahli keluarga Daniel, rakyat UK terus mengecam Met Police yang dituduh ‘menggagalkan’ siasatan dengan begitu licik dan terancang. Jika dalam filem yang kita tonton, hero selalunya menang dan penjenayah korupsi ditewaskan.
Malangnya, di alam realiti, kebanyakan hero sebegitu akan berakhir nasibnya seperti Daniel Morgan. Martinez Zogo, penyampai radio dan wartawan turut mengalami nasib yang sama apabila cuba membongkar kes korupsi dalam sistem politik negaranya, Cameroon.
Lebih menyedihkan, pada 21 Januari 2023, ada saksi mengatakan Zogo sudahpun berada di hadapan balai polis untuk mendapatkan pelindungan, namun polis enggan membantunya.
Mereka hanya membiarkan Zogo diheret empat lelaki masuk ke dalam kereta sebelum dibawa pergi dan dibunuh kejam.
Korupsi ini bukanlah masalah orang moden sahaja. Sejarah ribuan tahun menunjukkan banyak tamadun lumpuh dan musnah kerana korupsi. Tapi nampaknya, tiada siapa berminat mengambil iktibar dari sejarah ini.
Laporan Corruption Perception Index 2022 (CPI) mendapati sejak tahun 2012, kesangsian orang ramai terhadap kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam sektor awam masih tinggi termasuklah di negara maju seperti UK.
Ia sudah lama menjadi open secret dalam masyarakat di seluruh dunia. Wang, harta dan kuasa menjadi tawaran yang mengiurkan pengamalnya. Namun, jika ada yang cuba menentang atau mendedahkan kes korupsi, bukan setakat wang, harta dan kuasa boleh dilucutkan, malah nyawa juga berisiko melayang seperti nasib yang menimpa Daniel dan Zogo.
Kisah perjuangan Daniel Morgan, walaupun punya pengakhiran yang antiklimaks, kematiannya bukanlah sia-sia juga. Sekurang-kurangnya lebih ramai Daniel Morgan daripada kalangan orang awam muncul untuk membanteras korupsi dan penindasan yang dilakukan Met Police.
Met Police yang sepatutnya memikul amanah menjaga keselamatan awam sudah tidak lagi dipercayai dan dihormati. Malah ia dilihat pula sebagai organisasi yang melahir dan melindungi penjenayah daripada kalangan pegawainya sendiri.
David Carrick misalnya telah menyalah guna kuasanya untuk merogol ramai wanita sepanjang 20 tahun berkhidmat sebagai pegawai Met Police. Banyak laporan dibuat, namun sistem Met Police yang korup menyebabkan David bagaikan kebal daripada hukuman.
Beliau malah dinaikkan pangkat dan menyertai skuad bersenjata elit sebelum ditangkap atas desakan ramai mangsanya. David hanya disabitkan bersalah atas 85 pertuduhan pada Februari tahun ini.
Atas desakan orang ramai juga, Mark Rowley, Komisioner Met Police terpaksa mengakui bahawa korupsi sememangnya telah mendarah daging dalam organisasi tersebut sejak dulu lagi.
Demi membina semula keyakinan orang awam terhadap organisasi tersebut, beliau berjanji akan membawa semua kes jenayah dan penyalahgunaan kuasa pegawainya ke muka pengadilan. Janjinya itu tentulah tidak begitu mudah dipercaya. Jutaan mata sedang memerhati bagaimana Mark mahu mengotakannya.
Ada satu hal yang mungkin kita boleh belajar daripada cerita Daniel Morgan dan Met Police UK ini. Perjuangan membanteras korupsi bukanlah perjuangan seorang, sekumpulan individu atau sesebuah organisasi semata-mata.
Sebaliknya, apabila seluruh ahli masyarakat tekad untuk berganding bahu melawannya, pastilah impian Malaysia menjadi negara maju bakal terlaksana.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca