DI SEBALIK keheningan pagi Sabtu yang lalu, tiba-tiba turunnya hujan renyai yang membasahi kawasan perumahan penulis. Lantas penulis mendongak ke langit.
Teringat penulis dengan kata-kata guru kesayangan penulis hampir 30 tahun yang lalu semasa penulis berada di hari-hari terakhir di sekolah rendah iaitu di Sekolah Kebangsaan Horley Methodist, Teluk Intan, Perak.
Kata Cikgu Khairuddin, "Sentiasa ingat pesan cikgu, hidup ini umpama roda. Ada masa di atas dan ada masanya di bawah. Hidup ini penuh dengan pelbagai liku yang perlu dilalui dan anggaplah ia sebagai ujian dan cabaran yang perlu dilalui dan langit tidak selalu cerah”.
Cikgu Khairuddin yang juga pantangnya tidak gemar mana-mana muridnya mengangkat tangan kiri semasa bertanya atau cuba menjawab sesuatu, menutup dengan kata-kata yang penulis masih ingat hingga hari ini, katanya disebabkan kita tahu langit tidak selalu cerah, maka kita perlu buat persiapan dan perancangan sebaiknya untuk menghadapi cabaran yang pasti tiba.
Sekiranya kita gagal merancang maka kita sebenarnya sedang merancang untuk gagal. Sebenarnya sama ada kita suka atau tidak suka, kita sebenarnya perlu menerima hakikat bahawa situasi semasa pada ketika ini terutamanya kenaikan kos sara hidup dan juga kenaikan barang barangan sememangnya membelenggu pelbagai pihak.
Jika ditanya mereka yang gemar memakan burger di gerai tepi jalan pada ketika ini ada antaranya menjual burger ayam biasa dengan harga menghampiri RM5.
Namun, hakikat sebenarnya peniaga burger juga tidak mempunyai pilihan kecuali meletakkan harga sedemikian disebabkan oleh kenaikan kos bahan mentah makanan yang berlaku.
Terbaharu, sebagaimana yang dilaporkan oleh media, wang saku sekolah anak pada ketika ini ada antaranya boleh mencecah sehingga RM10 ke RM15 sehari tanpa mengambil kira wang saku anak-anak yang menghadiri sekolah agama ataupun kelas tambahan setiap hari.
Hal ini juga berkaitan rapat dengan kenaikan kos bahan mentah makanan yang menyebabkan pihak kantin terutamanya di kawasan bandar tidak mempunyai pilihan kecuali menaikkan harga makanan di kantin.
Dengan membuat congakan mudah berdasarkan sebuah keluarga yang mempunyai empat anak yang masih bersekolah, sebagai contoh, wang saku sekolah anak secara purata katakanlah RM10 seorang iaitu bersamaan RM40 sehari untuk empat orang anak yang bersekolah. Sebulan secara purata katakan 20 hari bersekolah.
Ini bermakna ibu bapa perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM800 sebulan untuk wang saku anak. Satu lagi kos yang terlibat adalah bayaran kenderaan anak ke sekolah.
Sebagai contoh, secara purata seorang anak untuk perjalanan pergi dan pulang dari rumah ke sekolah dan kembali ke rumah katakan RM200 seorang anak. Jika empat orang anak sudah mencecah RM800 sebulan.
Ini bermakna kos makanan dan pengangkutan anak ke sekolah sahaja sudah boleh mencecah RM1,600 sebulan.
Ini belum ambil kira kos-kos lain yang terlibat antara pembelian buku, pembelian peralatan tertentu untuk pelaksanaan aktiviti kelas dan keperluan lain yang berkaitan.
Bayangkan mereka yang berpendapatan isi rumah sebagai contoh RM4,000 yang mempunyai empat anak yang bersekolah, sekurang-kurangnya 40 peratus pendapatan akan dibelanjakan untuk persekolahan anak-anak.
Disebabkan itu, ada pelajar yang terpaksa menggunakan kelengkapan sekolah sebagai contoh pakaian atau kasut sekolah yang dibeli awal persekolahan sehingga akhir sesi persekolahan tanpa bertukar walaupun sudah lusuh.
Oleh yang demikian, antara bantuan yang boleh diberikan dalam situasi di atas adalah dengan memberikan bantuan atau insentif khas bayaran kenderaan anak ke sekolah oleh kerajaan Pusat atau kerajaan negeri.
Selain itu, program makanan di sekolah perlu diperluaskan dengan berkemungkinan lebih ramai anak-anak yang boleh ditawarkan makanan percuma di sekolah terutamanya mereka yang berhadapan dengan tekanan kewangan.
* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca