LONDON - Hubungan sulit yang akhirnya memakan diri ini merupakan salah satu daripada skandal politik terbesar pada abad ke-20. Skandal seks Profumo menggemparkan sejarah Britain dan dunia risikan pada awal 1960-an yang telah membawa kepada... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Hubungan sulit yang akhirnya memakan diri ini merupakan salah satu daripada skandal politik terbesar pada abad ke-20.

Skandal seks Profumo menggemparkan sejarah Britain dan dunia risikan pada awal 1960-an yang telah membawa kepada kejatuhan kerajaan Parti Konservatif pimpinan Perdana Menteri, Harold Macmillan dan kekalahan parti pemerintah itu kepada Parti Buruh dipimpin Harold Wilson pada Pilihan Raya Umum 1964.

Pendedahan memalukan mengenai hubungan intim itu telah menghancurkan karier John Profumo sebagai Setiausaha Perang pada era tersebut.

Filem berjudul Scandal berkisarkan kisah skandal seks itu diterbitkan pada 1989.
Filem berjudul Scandal berkisarkan kisah skandal seks itu diterbitkan pada 1989.

Nama Profumo mungkin kurang dikenali generasi pada masa kini, namun skandal melibatkannya bersama pekerja seks, Christine Keeler yang turut mempunyai hubungan sulit dengan perisik Soviet, Yevgeny Ivanov juga dikenali sebagai Eugene Ivanov telah memberi impak besar kepada politik Britain memandangkan beliau adalah ‘teman rapat’ kepada Ratu Elizabeth II.

Pada mulanya, ahli politik berwajah tampan itu menafikan skandal tersebut selepas ia dibongkar Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Januari 1963 malah beliau turut berbohong kepada Parlimen dan menafikan terlibat dengan ‘rangkaian Ivanov’ yang didakwa mengancam keselamatan negara hingga memaksanya meletak jawatan pada Jun tahun sama.

Dokumen FBI itu mendakwa hubungan sulit telah dimaklumkan kepada Macmillan.

Kisah itu semakin hangat diperkatakan apabila beberapa pekerja seks mengambil kesempatan menjaja skandal Profumo kepada media.

Lebih memeranjatkan, ‘hubungan lama’ bersama seorang pelajar Jerman, Gisela Klein yang kemudiannya menyertai risikan Berlin di Paris pada 1933 turut terbongkar selepas pembongkaran skandal itu.

AHLI POLITIK GLAMOUR

John Dennis Profumo dilahirkan pada 30 Januari 1915 di London.

Beliau mendapat pendidikan di Brasenose College, University of Oxford dan menggantikan bapanya sebagai Baron Profumo Kelima dari Itali pada 1940.

Profumo pernah berkhidmat sebagai pegawai tentera ketika Perang Dunia Kedua dan menjadi ahli Parlimen (1940-1963) yang turut memainkan peranan penting untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Neville Chamberlain pada 1940.

Bermula 1952, beliau memegang beberapa jawatan Parlimen sebelum dilantik sebagai Setiausaha Perang di bawah pentadbiran MacMillan.

Beliau menjadi antara ahli politik yang sering menjadi tumpuan terutamanya kepada golongan wanita kerana memiliki wajah yang kacak selain berharta.

Profumo berkahwin dengan aktres jelita terkenal, Valerie Hobson dan dikurniakan seorang anak lelaki.

Wanita itu kekal berada di sisi suaminya hingga ke akhir hayatnya walaupun setelah skandal melibatkan Profumo terdedah hingga mencalarkan imej beliau.

Hobson kekal berada di sisi suaminya sehingga ke akhir hayatnya.
Hobson kekal berada di sisi suaminya sehingga ke akhir hayatnya.

CINTA TIGA SEGI DEDAH RAHSIA

Beberapa maklumat mendapati Profumo bertemu dengan Keeler yang berusia 19 tahun di sebuah parti di Cliveden pada Julai 1961 dan mereka kemudiannya menjalinkan hubungan terlarang selama lima bulan.

Gadis itu dikatakan cuba mendapatkan maklumat sensitif daripada Profumo berhubung pergerakan kepala peledak nuklear ke Jerman yang didakwa telah diminta rakan rapatnya, Stephen Ward yang turut dinamakan sebagai perisik Soviet.

Keeler pernah meringkuk di penjara selama enam bulan atas kesalahan sumpah palsu.
Keeler pernah meringkuk di penjara selama enam bulan atas kesalahan sumpah palsu.

Pada Disember 1962, satu lagi kejadian menggemparkan melibatkan insiden pergaduhan melibatkan dua lagi ‘kekasih’ Keeler iaitu Lucky Gordon dan John Edgecombe yang membawa kepada siasatan dilancarkan media terhadap gadis tersebut.

Kisah cinta tiga segi itu akhirnya membongkar skandal seks membabitkan Profumo dan Ivanov.

Profumo yang ‘bersara’ daripada dunia politik cuba membina semula hidupnya dengan terbabit dalam pertubuhan kebajikan di Toynbee Hall termasuk memberi bantuan kepada komuniti miskin di kota London.

Beliau kembali meraih pujian ramai kerana kerja amal yang dilakukannya dengan bersungguh-sungguh hingga beliau dilantik sebagai Komander Perintah Empayar British (CBE) pada 1975.

Beliau tidak pernah berbicara secara terbuka tentang ‘Skandal Profumo’ sehingga ke akhir hayatnya dan enggan membuka mulut tentang hal sebenar.

Kisah sensasi itu menghasilkan idea untuk pembikinan sebuah filem berjudul Scandal yang dibintangi Joanne Whalley yang memegang watak Keeler diterbitkan hasil garapan Michael Caton-Jones diterbitkan pada 1989.

Profumo meninggal dunia pada 9 Mac 2006 pada usia 91 tahun selepas diserang strok beberapa hari sebelum itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca