MISI penting menawan kembali hati pengundi di Kepala Batas antara cabaran besar yang perlu diselesaikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos depan.
Beliau yang pernah tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, sekali lagi dipertaruhkan sebagai calon oleh Barisan Nasional (BN) untuk merampas kerusi DUN Bertam yang sebelum ini dimenangi oleh calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14 lalu.
Walaupun majoriti undi diperoleh bekas penyandang kerusi berkenaan, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq hanya 217 undi sahaja namun ia tidak bermakna parti itu dapat dicabar dengan mudah oleh calon heavyweight yang ditampilkan BN.
Meskipun BN kini mempunyai jentera tambahan dan penyokong baharu yang datang daripada parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan namun ia juga tidak memberi jaminan untuk parti itu menang dengan selesa pada hari pengundian nanti.
Selain faktor calon, BN juga tidak boleh memandang rendah kekuatan parti lawan yang pastinya juga mempunyai strategi untuk mempertahankan kerusi tersebut.
Perlu diingatkan juga peralihan undi (vote swing) yang berlaku pada PRN15 lalu mengakibatkan kubu kuat BN di Kepala Batas berjaya diruntuhkan lawan.
Reezal yang pernah menyandang kerusi Parlimen itu selama dua penggal sebelum ini terpaksa akur selepas tewas dengan calon Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 2,867 undi.
Siapa sangka, Reezal yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan tewas kepada Siti Mastura Muhammad dari Pas yang sebelum ini pernah dikalahkannya pada PRU14.
Dengan kempen BN begitu hebat, jentera yang ramai serta tawaran aku janji menarik dipersembahkan oleh Reezal ketika itu masih tidak dapat memenangi hati pengundi termasuk mereka yang pernah menyokong BN sebelum ini.
Jadi ramai yang tertanya sama ada gelombang biru yang cuba dibawa oleh BN untuk menumpaskan dan menyekat kemaraan gelombang hijau oleh Pas dan PN.
PRN kali ini dilihat menjadi medan terbaik untuk Reezal menebus kembali kekalahan beliau pada PRU15 lalu, sekali gus dapat menabur bakti kepada masyarakat Kepala Batas khususnya di DUN Bertam.
Sama ada Reezal masih diperlukan atau kembali mendapat sokongan rakyat, semuanya akan diterjemahkan di atas kertas undi nanti pada 12 Ogos depan.
Jika beliau menang sudah pasti pengalaman luasnya sebagai menteri dan timbalan menteri di beberapa kementerian sebelum ini tidak akan disia-siakan untuk pembangunan Pulau Pinang.
Untuk rekod, selain Bertam terdapat dua lagi kerusi DUN dalam Parlimen Kepala Batas iaitu Pinang Tunggal dan Penaga.
Pada PRU14 lalu, DUN Pinang Tunggal dimenangi oleh PKR manakala kerusi Penaga pula dimenangi oleh Pas.
Klik di sini untuk terus membaca