PADA 18 Julai lalu, ketika Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2023 di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapannya berkata, latihan bermatlamat untuk membangunkan tentera Malaysia menjadi sebuah angkatan yang mempunyai kesediaan optimum, memastikan kemantapan organisasi dan keupayaan untuk memanfaatkan rangkaian penuh kuasa tempur mempertahankan negara.
Apabila menyentuh berkaitan ‘memanfaatkan rangkaian penuh’ dalam memberi sokongan di medan tempur kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tentunya paling utama adalah rangkaian kelengkapan dan peralatan logistik.
Ia antara faktor kritikal kerana tiada angkatan tentera dalam mana-mana peperangan sepanjang sejarah mampu mencapai kemenangan apabila bekalan logistiknya terputus ketika perang, sama ada akibat tindakan pihak lawan atau kelemahan rangkaian itu sendiri yang tidak mampu menyokong kehendak pasukan di garis hadapan.
Salah satu elemen utama dalam memastikan rangkaian logistik ini bakal sentiasa berada dalam keadaan mapan adalah keperluan mewujudkan sinergi antara pihak industri pertahanan tempatan dan ATM.
Pihak industri walaupun tidak secara langsung terlibat dalam pertempuran di garis hadapan, boleh dianggap sebagai salah satu penyumbang utama dalam usaha membekal, membaiki kerosakan serta mengekalkan keupayaan operasi kelengkapan, daripada sebutir peluru sehinggalah sebuah kereta kebal yang diperlukan bagi mencapai kemenangan.
Usaha menggubal dasar baru agar industri dapat melaksana tanggungjawab menyokong kehendak ATM telahpun bermula semenjak tahun 2020 dan diberi nama Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN).
Pada Januari 2021, Bahagian Industri Pertahanan (BIP) Kementerian Pertahanan telah memulakan langkah mendapatkan input daripada pengguna dalam usaha merealisasikan dasar baru itu.
Pada bulan April tahun sama, satu persidangan dengan kepimpinan ATM dipanggil Chiefs’ Circle Talk (CCT) membawakan tema ‘Pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara’ telah diadakan melibatkan BIP serta konsultan daripada Malaysian Industry Government Group for High Technology (MiGHT) dalam usaha membangunkan DIPKN pertama negara.
Pada penghujung tahun itu juga, Perdana Menteri yang ketika itu berada Bandung, Indonesia, mengumumkan DIPKN dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua bulan.
Tambah beliau lagi, DIPKN akan menyediakan hala tuju menyeluruh dalam mengurangkan kebergantungan terhadap aset dan peralatan dari luar negara serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malangnya tahun 2021 berlalu pergi dan DIPKN gagal menjelma seperti diumumkan.
Pada Julai 2022, kerdipan dasar ini muncul kembali dengan pelaksanaan Bengkel Pemurnian dan Penyeragaman DIPKN selama empat hari di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.
Dua bulan selepas bengkel diadakan, Menteri Kanan Pertahanan ketika itu mengumumkan Kementerian Pertahanan bakal memperkenalkan DIPKN dalam masa terdekat. Beliau optimis, dasar baharu itu akan memberi tumpuan untuk merancakkan sektor perindustrian pertahanan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.
Kerdipan cahaya DIPKN terus tinggal kerdipan apabila tahun 2022 berlalu pergi. Pada Mac tahun ini sekali lagi kerdipan DIPKN dilihat mungkin akhirnya bakal menghasilkan cahaya lebih terang apabila Menteri Pertahanan dalam ucapannya pada sesi ramah mesra bersama 60 orang wakil pemain industri pertahanan tempatan menyatakan bahawa dengan pelaksanaan DIPKN, industri pertahanan negara akan melalui transformasi yang radikal.
Pada bulan April beliau mengumumkan DIPKN akan dilancarkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA '23) yang berlangsung pada 23 hingga 27 Mei lalu.
Ketika LIMA '23, tiada sebarang maklumat berkaitan DIPKN diumumkan dan alasan diberi adalah kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara itu dan mahu mendapatkan pandangan lebih lanjut daripada pihak berkepentingan.
Pasca LIMA '23, Timbalan Menteri Pertahanan, seperti sebuah piring hitam lama yang diputarkan berulang kali menyatakan pelancaran DIPKN akan dilakukan dalam masa terdekat sebagai usaha memajukan industri berkenaan pada masa akan datang.
Setelah perjumpaan demi perjumpaan, persidangan, pemurnian, ramah mesra, bengkel serta karipap dan kopi-O selama lebih dua tahun, si pungguk masih merindukan bulan.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca