ENTAH apa luar istimewanya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tiba-tiba namanya disebut semua orang. Hendak dikata luar biasa sangat, beliau hanya biasa-biasa.
Bukan juga anak mana-mana elit politik. Beliau hanya bercakap dalam bahasa Kedah mengikut loghat Sik atau Baling. Kebanyakan orang Kedah mungkin tak memahaminya juga. Tetapi semua orang menyukainya.
Dalam hierarki politik, namanya tidaklah sebesar Tan Sri Lim Kit Siang, Tan Sri Abdul Hadi Awang atau Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau hanyalah orang baharu, yang tiba-tiba menonjol sebagai antara ahli politik yang begitu popular. Namanya disebut di sana sini.
Kini semua orang bercakap tentang ‘fenomena Sanusi’. Tak siapa wajar menidakkannya. Ia realiti walaupun ada orang yang tidak menyukai cara pembawaannya.
Sekitar penghujung 90-an, nama Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi sebutan anak muda sebaik sahaja beliau dipecat daripada kerajaan. Demontrasi demi demontrasi menghiasai kota raya setiap kali tibanya hujung minggu. Gambar mata lebam dan tangan kanannya yang dijulang ada di mana-mana. Ia lambang perjuangan menentang penindasan.
Tetapi dalam konteks Sanusi, sepertinya tidaklah ada isu penindasan seperti era 90-an. Jika ada pun yang boleh dikatakan penindasan, ia mungkin sekadar isu politik yang remeh sahaja, seperti isu peruntukan untuk pembangkang dan sebagainya.
Di era 80-an dan 90-an, Akta Keselamatan Dalam Negeri atau yang selalu disebut ISA itu masih ditakuti. Akhbar-akhbar tempatan dan juga televisyen juga banyaknya dikuasai pemerintah menyebabkan ruang mengkritik kerajaan sangat terbatas.
Yang ada hanyalah beberapa laman web anti Dr Mahathir dan akhbar Harakah. Itu pun tertera di muka depan Harakah ‘untuk ahli sahaja’. Ia tetap juga dikawal. Waktu itu tema utamanya menentang korupsi, kronisme dan nepotisme.
Kini, di musim media sosial lebih popular daripada medium propemerintah, kemunculan Sanusi sebagai wira baru agak mengejutkan juga. Ia muncul pada saat Anwar, bekas pemimpin reformasi menjadi Perdana Menteri ke-10.
Banyak tokoh politik yang dulunya berjuang di jalanan juga kini telah menjadi menteri. Tapi itulah hakikat kepimpinan. Ada orang bersunguh-sungguh ingin menjadi pemimpin, memberi pidato berapi-api, tetapi tiap kali bertanding pilihan raya rakyat tak memilih mereka juga.
Ada pula yang cuba menjadi pemimpin dengan berdemo di sana sini, tetapi sepertinya demontrasi yang cuba mereka bawa dilihat sebagai lakonan yang memalukan sahaja.
Dalam teori kepimpinan, ada disebut bahawa pemimpin itu dilahirkan. Pemimpin dikatakan memiliki karektor unik yang tak dimiliki orang lain.
Barack Obama, mungkin kerana berbangsa kulit hitam tiba-tiba menonjol dan terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44. Di negara kita, Tok Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap disanjung sebagai ahli politik berpengaruh walaupun dengan imejnya berserban yang terus kekal memberi kuliah agama.
Jikalah orang lain cuba meniru atau membawa watak seperti ini, ia mungkin tidak menjadi juga. Sepertinya sifat yang dibawa itu perlu pula sesuai dengan jiwa individu tadi, atau tak dibuat-buat. Pemimpin tadi ada ciri unik yang sukar untuk dijelaskan.
Sanusi juga sepertinya ada sifat unik tadi. Sama ada orang menyukainya, atau membencinya, itulah dirinya. Ketika didakwa di mahkamah baru-baru ini, beliau juga telah menjulang tangan kanannya. Ia mungkin memberi isyarat, beliau akan terus berjuang. Atau beliau menyindir seseorang.
Apa pun, sepertinya kehadiran Sanusi bukan sekadar menghangatkan politik tanah air, tetapi mungkin hero baharu yang boleh menggugat Kerajaan Perpaduan. Sanusi kini sepertinya ialah idola baru perjuangan anak muda.
Mungkinkah di masa hadapan beliau ialah Perdana Menteri untuk negara kita. Masa akan menentukannya.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca