PERTEMPURAN sengit masih berlaku di beberapa bahagian di Sudan ketika konflik bersenjata di negara itu yang berpotensi menjadi perang saudara sudah memasuki hari ke-100 pada Ahad.
Selepas lebih tiga bulan, usaha perdamaian oleh kuasa serantau dan antarabangsa gagal untuk mencari jalan penyelesaian bagi meredakan krisis tersebut.
Ketegangan tercetus pada 15 April lalu selepas insiden perebutan kuasa antara dua jeneral tentera kerajaan dan Pasukan Tindakan Pantas (RSF) yang menyebabkan lebih 2.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal termasuk lebih 700,000 yang terpaksa melarikan diri ke negara-negara jiran.
Data terbaharu Armed Conflict Location & Event Data Project (ACLED) menunjukkan konflik itu telah meragut sekurang-kurangnya 3,900 nyawa walaupun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.
Baik tentera mahupun RSF tidak dapat mengisytiharkan kemenangan masing-masing berikutan pasukan separa tentera pimpinan Mohamed Hamdan Dagalo kekal menguasai ibu kota dan menangkis serangan udara serta artileri dilancarkan musuh yang diketuai Jeneral Abdel Fattah al-Burhan.
Konflik berterusan itu telah mengakibatkan situasi di Khartoum semakin meruncing yang turut menyaksikan pertempuran merebak ke bahagian barat khususnya di wilayah Darfur selain di kawasan selatan di mana Gerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N) cuba menguasai wilayah berkenaan.
Pada akhir minggu lalu, RSF telah mara ke perkampungan di negeri Gezira yang terletak di selatan ibu kota.
Pertempuran juga dilaporkan berlarutan sejak Khamis di kawasan penempatan penduduk di Nyala yang merupakan salah sebuah bandar terbesar dan ibu kota Darfur Selatan, "Hujan peluru belum berhenti. Kami sangat takut dan tiada siapa melindungi kami,” kata penduduk, Salah Abdallah, 35.
Difahamkan, konflik yang semakin meningkat itu telah memberi peluang kepada serangan menyasarkan etnik yang dilancarkan militia Arab dan RSF di Darfur Barat hingga menyebabkan ratusan ribu terpaksa melarikan diri ke Chad.
Walaupun kedua-dua pihak bertelagah menunjukkan sikap keterbukaan terhadap usaha damai, ia masih gagal untuk melaksanakan gencatan senjata kekal.
Kesepakatan gagal dicapai atas alasan proses rundingan tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.
Susulan itu, Pasukan Kebebasan dan Perubahan (FFC) menawarkan diri untuk menjadi perantara konflik tersebut setelah rancangan untuk peralihan kuasa kepada demokrasi sejak penggulingan bekas Presiden Omar al-Bashir masih gagal direalisasikan sehingga kini.
PENDUDUK KELAPARAN
Abbas Mohammed Babiker yang tinggal di daerah terjejas di ibu kota mendakwa dia bersama keluarganya hanya dapat menikmati makanan sekali sehari.
"Kami hanya mempunyai bekalan makanan untuk tempoh dua hari lagi,” katanya.
Ribuan penduduk terutamanya di Khartoum Utara dilaporkan terperangkap di rumah masing-masing tanpa bekalan air sejak peperangan itu bermula.
Di seluruh negara, kira-kira satu pertiga daripada 45.66 juta populasi sudah berdepan krisis kelaparan sejak sebelum konflik bersenjata itu tercetus.
"Pasar tidak dapat dibuka dan kami tiada wang untuk membeli makanan kerana pertempuran tersebut,” ujar seorang lagi penduduk, Essam Abbas.
Bagi membantu penduduk, sebuah kumpulan kejiranan prodemokrasi bertindak mengeluarkan rayuan kecemasan.
"Kami perlu menyokong antara satu sama lain dengan mengedarkan makanan dan menyalurkan wang kepada mereka yang memerlukan,” jelas 'jawatankuasa penentangan' itu menerusi Facebook.
Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) mengesahkan mereka telah menyalurkan bekalan makanan kecemasan kepada lebih 1.4 juta penduduk terjejas walaupun berdepan cabaran keselamatan.
Di Omdurman, seorang pemain biola terkenal, Khaled Senhouri dilaporkan mati kelaparan pada minggu lalu.
Menurut rakannya, Khaled tidak dapat keluar dari rumahnya kerana bedilan bertalu-talu dan terpaksa bertahan untuk meneruskan hidup dengan bekalan sedia ada. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca