PEMERGIAN ikon Inisiatif Rahmah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah pada Ahad sememangnya meninggalkan kesan sangat mendalam kepada rakyat Malaysia. Pada saat rakyat bergelut dengan isu... Klik di sini untuk terus membaca

PEMERGIAN ikon Inisiatif Rahmah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah pada Ahad sememangnya meninggalkan kesan sangat mendalam kepada rakyat Malaysia.

Pada saat rakyat bergelut dengan isu peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia pasca konflik Rusia-Ukraine, Allahyarham yang diberikan amanah mengepalai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menggerakkan Inisiatif Rahmah yang memberi kesan positif kepada negara.

Sangat komited menggalas tanggungjawab sebagai menteri serta wakil rakyat Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Johor, keperibadian Timbalan Presiden Amanah itu yang amat disenangi kawan dan lawan pasti amat sukar dicari ganti.

Menurut sumber Amanah, terdapat sekurang-kurangnya lima nama pemimpin parti itu yang mungkin dipertimbangkan bagi jawatan Menteri KPDN.

"Berdasarkan amalan pengagihan jawatan menteri di peringkat Kerajaan Perpaduan, Amanah diberikan kuota dua jawatan menteri iaitu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui Presiden sendiri, Datuk Seri Mohamad Sabu dan KPDN digalas Allahyarham.

"Jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan untuk memilih calon pengganti berasaskan kuota parti, terdapat lima pemimpin utama Amanah yang boleh dipertimbangkan.

"Lima pemimpin itu ialah dua Naib Presiden, Adly Zahari (kini Timbalan Menteri Pertahanan) dan Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. Calon lain ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan,” ujar sumber itu kepada Sinar Premium pada Selasa.

Jika calon pengganti Salahuddin dipilih berasaskan hierarki parti dan pengalaman, sumber Amanah itu menjelaskan Adly, Mujahid (bekas Menteri Agama) dan Dr Dzulkefly (bekas Menteri Kesihatan) adalah calon terbaik.

Jelas sumber itu, Adly merupakan satu-satunya Naib Presiden Amanah yang berjaya memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain berpengalaman selaku Ketua Menteri Melaka.

"Walaupun beliau sudah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, Adly dilihat memiliki perwatakan paling hampir dengan Allahyarham selain terbukti menjalankan tanggungjawab Ketua Menteri Melaka dengan baik sebelum ini.

"Bagi Dr Dzulkefly pula, rekod perkhidmatan cemerlang beliau sewaktu menjadi Menteri Kesihatan menyebabkan beliau dianggap calon berkelayakan. Begitu juga dengan Mujahid yang berpengalaman sebagai Menteri Agama selain baru dilantik sebagai senator baru-baru ini,” dedah sumber Amanah itu.

Jika Perdana Menteri mahu memilih calon-calon baharu Amanah dalam kalangan ahli Parlimen parti itu yang lebih segar dan lantang, sumber Amanah itu berpandangan nama-nama pemimpin seperti Mohd Sany dan Aminolhuda yang kini Pengerusi Amanah Johor, juga boleh dipertimbangkan.

SUHAIZAN KAIAT DI PULAI?

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar menjangkakan proses pelantikan jawatan menteri KPDN oleh Perdana Menteri bakal dibuat selepas pilihan raya negeri (PRN).

Ujarnya, pelantikan jawatan itu perlu disegerakan kerana portfolio KPDN boleh dianggap sebagai kementerian kritikal dan menjadi tumpuan rakyat sepanjang masa.

Ditanya jika terdapat kemungkinan calon pengganti Salahuddin bakal dipilih dalam kalangan pemimpin parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan, Hisommudin berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku.

Beliau turut mengunjurkan nama-nama seperti Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik daripada PKR mungkin menjadi alternatif kepada Perdana Menteri.

Bagi kerusi Parlimen Pulai, Hisommudin menjangkakan bekas Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat adalah calon terbaik bagi mempertahankan kerusi Parlimen disandang Salahuddin sejak dua penggal lalu.

Ujarnya, hal ini kerana Suhaizan ketika ini merupakan setiausaha politik kepada Allahyarham dan telah diamanahkan untuk menjaga sepenuhnya kawasan Parlimen Pulai pasca PRU15.

"Saya fikir tiada masalah untuk Suhaizan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada PRK akan datang kerana pengaruh Salahuddin amat kuat di kawasan itu selain kerusi Pulai boleh dianggap kerusi campuran yang sinonim dengan penguasaan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Untuk kerusi DUN Simpang Jeram, Hisomuddin berpandangan terdapat dua calon sesuai dipertaruhkan Amanah iaitu Setiausaha PH dan Amanah Johor, Faizul Salleh dan bekas ADUN Pulai Sebatang, Muhammad Taqiuddin Cheman.

"Soal sama ada kerusi DUN Simpang Jeram mungkin ditandingi oleh ahli keluarga Allahyarham termasuk enam anaknya sebagai penyambung legasi politik beliau, saya tidak melihat perkara itu akan menjadi realiti.

"Saya tidak nampak anak-anaknya bakal mengikut jejak langkah politik Allahyarham. Kalau yang berpotensi pun adalah anak sulungnya, Fatihah Salahuddin, namun dia masih muda,” katanya lagi.

Keputusan PRN Johor (12 Mac 2022) DUN Jeram:

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Amanah) 8,749

Zarul Salleh (PN) 6,350

Lokman Md Don (BN) 6,062Keputusan PRU15 (19 November 2022)

Parlimen Pulai:

Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Amanah) 64,900

Datuk Nur Jazlan Mohamed (BN) 31,726

Loh Kah Yong (PN) 20,677

Klik di sini untuk terus membaca