SHAH ALAM - Kerjaya sebagai pelaut yang melibatkan skop tugas pengemudi kapal, jurutera, kru kapal dan kadet menawarkan gaji lumayan antara RM20,000 hingga ratusan ribu ringgit sebulan.
Namun demikian, jumlah anak muda tempatan yang menceburi profesion itu masih rendah kerana beberapa faktor termasuk tidak fasih berbahasa Inggeris dan kurang pengetahuan mengenai bidang tersebut.
Pakar maritim daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Madya Dr Jagan Jeevan berkata, penguasaan bahasa Inggeris amat penting memandangkan pelaut akan merantau ke luar negara dan melibatkan interaksi dengan individu luar.
Beliau berkata, segelintir pelajar di sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi tidak mengutamakan kepentingan penguasaan bahasa menyebabkan mereka tidak memenuhi kriteria kelayakan sebagai pelaut.
"Orang kita terpaksa bersaing rapat dengan pelayar asing terutamanya dari Filipina.
"Anak muda juga kurang diberikan pendedahan yang menyebabkan mereka tidak jelas mengenai mengenai skop kerjaya sebagai pelaut.
"Di sekolah dan universiti, kita lebih memberi keutamaan kepada kerjaya lain seperti pemasaran, pengurusan, perakaunan, perubatan serta perundangan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Jagan, kerjaya pelaut memerlukan penguasaan subjek aliran sains dengan sihat tubuh badan dan tidak rabun warna.
"Pelaut kebiasaannya tidak menggunakan bahasa Inggeris macam biasa, ia ada istilah spesifik yang perlu digunakan di laut tetapi untuk menguasai istilah itu, asas bahasa Inggeris itu perlu kuat,” jelas beliau.
KURANG PENDEDAHAN
Sementara itu, Ketua Jurutera syarikat perkapalan Eaglestar, T Suriya, 44, berkata, industri pelaut dalam negara ini masih tidak mendapat sambutan dalam kalangan orang ramai berikutan kurangnya pendedahan berhubung kerjaya tersebut terutamanya kepada generasi muda.
"Orang kita ini masih tidak mendapat pendedahan yang meluas pasal bidang ini. Saya pun terlibat dengan proses temu duga pelajar-pelajar untuk kemasukan kadet baharu.
"Jadi kebanyakan kadet yang masuk pun, sama macam saya 25 tahun lepas, tidak tahu apa-apa mengenai kerjaya pelaut,” katanya yang berpengalaman selama 22 tahun dalam bidang tersebut.
Menurut Suriya yang berasal dari Arau, Perlis, kerjaya sebagai pelaut tidak terkenal di mata masyarakat seperti polis atau doktor meskipun bidang itu menawarkan pendapatan yang tinggi serta berpotensi untuk berkembang maju ke luar negara.
"Kalau macam kapten atau ketua jurutera untuk kapal pengangkut jenis Gas Asli Cecair (LNG) itu, lebih daripada 100,000 dolar Amerika Syarikat (AS) (RM452,716.57) setahun.
"Gajinya dah okay tetapi orang ramai masih tidak tahu pasal pekerjaan ini,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca