SHAH ALAM - Calon pengganti Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub belum dibincangkan pucuk pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana masih bersedih atas kehilangan mengejut pemimpin itu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pucuk pimpinan menganggap belum tiba masanya untuk parti menentukan siapa calon pengganti sesuai bagi mengisi jawatan portfolio kementerian berkenaan.
"Buat masa ini, kami semua masih bersedih dengan pemergian sahabat yang sangat kami sayangi. Saya masih berada dalam keadaan terkejut dan belum mahu mengulas apa-apa berkaitan jawatan Allahyarham.
"Sejujurnya, kami tidak sempat fikir tentang calon pengganti dan akan membuat keputusan itu di kemudian hari,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai proses penentuan nama calon pengganti Allahyarham Salahuddin oleh Amanah untuk dicadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mujahid menjelaskan ia merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang layak memegang jawatan tersebut.
"Perdana Menteri mempunyai kuasa dalam menentukan pelantikan kabinet. Setakat ini, kami difahamkan Amanah diberikan dua kuota menteri.
"Biasanya pucuk pimpinan parti akan membincangkan perkara tersebut dengan Perdana Menteri, namun kami akan akur dengan keputusan akhir yang dibuat oleh beliau. Buat masa ini, kami belum membuat sebarang keputusan lagi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca