SHAH ALAM - Kerjaya pelaut dengan tanggungjawab sebagai pengemudi kapal berisiko dengan pelbagai bahaya dan ancaman di laut.
Kapten kapal, Nurhakimi Abdul, 45, akui pernah berdepan detik cemas apabila kapal yang dikemudi menjadi sasaran dan diekori lanun-lanun laut.
Ujar bapa kepada enam anak itu, lanun-lanun tersebut menaiki empat atau lima perahu kecil dan cuba mendekati kapal Nurhakimi.
Menurutnya, usaha lanun tersebut yang cuba mengepung kapal berkenaan gagal susulan kawalan ketat yang dilakukan oleh tentera laut yang mengiringi kapal pada ketika itu.
"Masa itu, navy (tentera laut) sedang escort kapal kami. Mulanya kami perhatikan ada ‘skiff’ (perahu kecil lanun) dan mereka sedang bergerak ke kapal.
"Kita ada pengiring (tentera laut), pada masa yang sama kita ada Pasukan Khas Laut (Paskal) di kapal. Jadi kita tidak takut sangat sebab kita tahu mereka telah dilatih,” katanya kepada Sinar Harian.
Nurhakimi yang berasal dari Kangar, Perlis itu berkata, tugas kapten kapal memainkan peranan penting dalam memastikan seluruh keadaan kapal terkawal.
Katanya, kerjaya sebagai pelaut turut memerlukan komitmen pengorbanan yang tinggi memandangkan perlu berjauhan dengan ahli keluarga.
Menurut Nurhakimi, dia pernah berjauhan dengan keluarga dan berada di laut lebih daripada lapan bulan sehinggakan anak sulungnya sendiri tidak mengenalinya.
"Masa itu, kontrak kami dalam enam bulan dan kadang-kala boleh pergi kepada lapan bulan di laut.
"Jadi tempoh masa itu agak lama dan (ketika itu) tidak ada internet. Sekarang ini lebih baik kerana kita ada internet, boleh ‘video call’ dan sebagainya,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca