SHAH ALAM - Kemampuan rakyat mempunyai simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya RM240,000 untuk bersara pada usia 55 tahun bergantung kepada nilai pendapatan yang diperoleh ketika ini.
Menurut Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim, faktor perbelanjaan isi rumah turut mempengaruhi keupayaan mereka untuk menyimpan.
"Bagi mereka yang mempunyai isi rumah yang ramai dan juga terdiri daripada golongan B40 dan M40, agak mustahil untuk mampu buat simpanan persaraan sehingga RM240,000 kerana jumlah perbelanjaan agak tinggi khususnya barang makanan harian, bil elektrik, bil telefon, takaful, yuran pendidikan dan sebagainya.
"Mungkin bagi mereka yang bekerja dalam sektor kerajaan atau badan berkanun lebih stabil dan kurang terkesan dengan jumlah simpanan persaraan ini kerana mempunyai pendapatan tetap setiap bulan.
"Bagi sektor swasta, mereka mampu mempunyai simpanan sejumlah itu jika membuat perancangan kewangan yang berhemah,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Isnin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, rakyat di negara ini perlu mempunyai simpanan caruman KWSP sekurang-kurangnya RM240,000 untuk bersara pada usia 55 tahun secara 'bermaruah'.
Katanya, anggaran simpanan caruman berkenaan membolehkan seseorang menampung kehidupan bagi tempoh 20 tahun selepas bersara dengan kadar perbelanjaan RM1,000 sebulan.
Ahmad dalam masa sama berkata, antara cadangan yang diketengahkan kepada rakyat untuk menambahkan simpanan mereka ialah dengan melakukan caruman sukarela menerusi skim i-Saraan KWSP.
Sementara itu, ditanya mengenai syor supaya rakyat melakukan caruman sukarela melalui skim i-Saraan, Mohd Faisol berkata, ia langkah terbaik untuk membantu meningkatkan nilai simpanan.
Justeru katanya, rakyat perlu berdisiplin dalam membuat caruman tersebut mengikut kemampuan.
"i- Saraan ini akan dilaburkan oleh KWSP dalam pelaburan yang berdaya maju dan mampu memberi keuntungan tinggi kepada penyimpan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca