SHAH ALAM - Menceburi bidang kerjaya didominasi kaum lelaki tidak menghalang kepada anak bongsu daripada lima beradik, M Utayadarrshini, 26, membuktikan keupayaan bergelar pelaut dengan tanggungjawab sebagai pegawai ketiga navigasi di sebuah syarikat perkapalan yang menyediakan perkhidmatan penghantaran kontena.
Menurut Utayadarrshini, minat terhadap kerjaya itu sejak di sekolah menengah telah mendorong dia menyertai Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Melaka pada 2015 selepas tamat Sijil Pendidikan Malaysia (SPM).
"ALAM bukan sama seperti kolej biasa tetapi lebih kepada ketenteraan. Kita ada pelbagai latihan dan saya bermula sebagai kadet selama dua tahun di sini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut anak kelahiran Pedas, Negeri Sembilan itu, sebagai kadet, dia akan didedahkan dengan pelajaran asas sebagai pelaut sebelum menjalani latihan praktikal berada di kapal bersama kru lain selama tiga tahun.
Kini selepas lapan tahun menceburi kerjaya itu, dia memikul tugas sebagai pegawai ketiga navigasi yang membantu kapten mengemudi kapal memasuki pelabuhan.
"Ada pelbagai tugas lain seperti menyelenggara peralatan menyelamatkan nyawa dan peralatan memadam kebakaran.
"Selain itu melibatkan operasi tambatan dan unmooring, membantu dalam operasi kargo, mengekalkan kestabilan dengan menjalankan operasi pemberat dan penyahbalas serta menyediakan jadual latihan dan latih tubi di bawah bimbingan ketua pegawai.
"Secara ringkasnya tugas saya adalah membantu kapten dari segi penyelenggaraan peralatan, navigasi kapal dan operasi kargo,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca