SEHINGGA sekitar 1980-an, kawasan Chow Kit di Kuala Lumpur menjadi tumpuan penjual ubat.
Mereka boleh dilihat di mana-mana, sama ada di sepanjang kaki lima atau di kawasan lapang yang menjadi tumpuan orang ramai.
Peranan mereka mungkin tidak diiktiraf tetapi tiada siapa boleh menafikan pada era itu dan sebelumnya mereka antara daya penarik utama di Chow Kit. Walaupun ada juga penjual ubat yang berdiri terpacak macam batu penanda jalan, namun mereka itu minoriti.
Yang ramai adalah jenis kaedah penjualannya berasaskan kepetahan bercakap, kebolehan berinteraksi dengan penonton, keupayaan membina rasa ingin tahu khalayak, dengan kadang-kadang diselitkan pertunjukan atau persembahan - silap mata, misalnya.
Sama ada bersendirian atau berkumpulan, kehadiran mereka lazimnya dialu-alukan, kecuali oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Tak sedikit warga Kuala Lumpur dan sekitarnya menjadikan mereka sebagai sumber hiburan ringan, sama sebagaimana orang sekarang memperoleh hiburan daripada penghibur jalanan. Tetapi saya melihat mereka lebih daripada itu.
"Kalau awak hendak bersyarah atau berceramah, awak belajarlah daripada penjual ubat. Mereka tahu bagaimana hendak membuat penonton terpukau dan terpaku. Mereka tahu apa yang penonton mereka hendak dengar dan bagaimana cara yang betul untuk menyampaikannya." Itulah kata-kata yang mengubah persepsi saya terhadap penjual ubat.
Kata-kata itu datang daripada seorang senior semasa kami terselit-selit di celah orang ramai menyaksikan seorang penjual minyak angin serba guna berkempen mempromosi produknya di kaki lima tidak jauh dari Batu Road Supermarket (sekarang telah tiada) kira-kira 35 tahun yang silam.
Waktu itu kami juga ternanti-nanti pertunjukan silap mata yang dijanjikan oleh penjual ubat tersebut. Tetapi sehingga tamat sesi 'kempennya', tidak ada pun silap mata yang dijanjikan. Tidak pasti sama ada dia tidak sempat, terlupa atau pura-pura tidak ingat.
Mungkin kerana daripada bayi lagi saya memang berminat dengan pengucapan awam, jadi saya mengambil serius kata-kata kawan saya itu. Sejak itu setiap kali menyaksikan penjual ubat, saya akan meneliti cara mereka.
Ternyata kebanyakannya mempunyai seni tersendiri. Selain mempunyai keyakinan diri tinggi, lontaran suara yang jelas, antonasi terkawal, mereka juga bijak menyusun tutur, memilih keutamaan subjek dan paling penting menyelit elemen humor, suspen dan sebagainya.
Daripada mereka saya banyak belajar. Ilmu yang dipinjam daripada merekalah yang menjadi pendukung dan pengukuh ilmu pengucapan awam yang saya pelajari secara formal.
Sebab itulah sampai sekarang, jika ada bertanya ucapan atau ceramah bagaimanakah yang boleh menarik minat penonton, saya akan menjawab, belajarlah daripada penjual ubat.
Masalahnya apabila ditanya di mana ada penjual ubat sekarang ini, saya tidak tahu bagaimana hendak jawab sebab penjual ubat di kaki lima boleh dikatakan semuanya telah pupus.
Di media sosial memanglah ramai tapi mereka umumnya bukan penjual ubat tetapi penjual muka dan 'penjual perangai'.
Bersyarah, berceramah atau apa juga seumpamanya bukanlah mudah. Secara umumnya tidak ada siapa suka mendengar orang lain bercakap.
Usahkan orang lain, anak sendiri pun kerap kali tidak suka mendengar cakap ibu bapanya. Di sekolah, murid tidak suka mendengar cakap gurunya, di pejabat pekerja tidak suka mendengar cakap ketuanya dan di rumah suami tidak suka mendengar cakap isterinya.
Itu bagi yang ada kena-mengena. Kalau tiada kena mengena tentulah bertambah-tambah tidak suka. Inilah perkara mesti difahami setiap penceramah.
Tiada siapa sanggup menganga mendengar ceramah anda kalau kandungannya tidak mempunyai kaitan dengan mereka. Jika ada kaitan pun, belum tentu mereka sudi mendengar jika penyampaiannya macam budak darjah dua baca surat cinta kakaknya yang dia jumpa bawah bantal.
Jadi memilih kandungan ceramah dan kemudian mewarnakan penyampaiannya adalah langkah penting. Dalam ucapan atau ceramah, kena ada elemen-elemen dramatik. Kena ada keberanian. Kena ada ketegasan.
Lagi ‘bagus’ kalau ada unsur-unsur mengutuk dan mengata kerana ia boleh menyebabkan orang yang sedang berdengkur pun terkejut jaga untuk mendengarnya.
Tidak mengapa jika penyampaiannya sedikit loqlaq tetapi jangan pula sampai lalok. Lain jadinya kalau pada tengah malam tiba-tiba kedengaran pintu rumah diketuk.
Apa pun suka saya tegaskan sekali lagi bahawa semua yang bersyarah dan berceramah boleh menjadi hebat jika dapat mempraktikkan sedikit sebanyak ilmu penjual ubat. Kenyataan ini akan menjadi seribu kali lebih benar jika anda berucap atau berceramah tentang politik.
Jangan silap, saya tidak bermaksud menyama tarafkan ahli politik dengan penjual ubat. Tidak, kerana pada hemat saya, taraf kedua-duanya tidak sama. Kedudukan penjual ubat lazimnya lebih tinggi kerana mereka jarang menjual janji....#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca