HUJUNG minggu lalu, saya menyaksikan Hari Rock Negara di Malakat Mall, Cyberjaya. Acara yang dianjurkan buat kali kedua itu mendapat sambutan lebih meriah daripada peminat muzik rock.
Ada tiga pentas disediakan khususnya untuk persembahan, pertandingan dan bual bicara. Suasana hingar. Selain segelintir peminat rock yang asyik headbanging mengikut irama muzik, lebih ramai lagi berdiri dan menonton dengan tenang sambil merakam acara.
Ramai juga kanak-kanak berlari-lari sambil diperhati oleh kakak-kakak mereka. Terdetik soalan di hati saya, apakah muzik rock hiburan sekeluarga?
Hairan? Sekali pandang, begitulah. Namun, bila diperhatikan dengan lebih dekat, ramai ibu bapa yang hadir sudah melewati usia 40-an. Mereka punyai anak-anak yang sudah meningkat remaja. Si bapa masih berambut panjang, dengan jaket dan jeans rugged. Si ibu berjeans, berbaju longgar dan bertudung.
Di atas pentas, bunyi muzik begitu membingitkan. Alfarabi Band sedang memainkan lagu Rijaullah. Vokalisnya, Nasaie Nawawi berjubah dan berserban menyanyi dengan suara paraunya sambil memetik gitar. Di sebelahnya, Fazrina Ghazali dengan busana labuhnya ‘menggoreng gitarnya’ dengan selamba.
Ini senario unik. Hari Rock Negara disambut dengan famili. Pemain muziknya pula menyampaikan lagu perjuangan dan ketuhanan. Di meja makan, terdapat ramai lagi peminat rock yang menjamu selera. Saya perhati perilaku mereka. Mereka tidak nampak ganas, ketawa berdekah-dekah atau terjerit. Mereka sama seperti orang biasa yang lain.
Maka, saya terfikir mereka adalah peminat rock yang sudah dewasa dan matang. Mereka meminati muzik sekadar hiburan. Ia rekreasi luaran yang bukan dijiwai. Bila di pentas, pemuziknya tampak ganas. Turun dari pentas, mereka orang biasa seperti kita.
Hati saya terusik lagi pada minggu berikutnya. Pada acara Tribute Untuk Penghibur Sudirman di Malakat Mall juga, saya lihat Yassin Senario begitu ligat bercakap dan berlawak. Bila dia di tepi pentas, dia sebenarnya orang yang suka mendengar dari bercakap.
Saya juga bertemu pempengaruh digital TikTok, Sharrel Baharom yang mempunyai lebih dua juta ‘tanda suka’ pada videonya. Dalam video, dia kelihatan bodoh-bodoh alang tetapi bila berbual dengannya, kakitangan awam Kementerian Pertahanan itu seorang yang serius.
Ramai lagi pempengaruh lain seperti Ryanbakery, Alif Syukri dan Bell Ngasri sebenarnya adalah orang yang membawa watak menjadi identiti mereka. Di bawah pentas dan di dunia nyata, mereka insan biasa. Mereka hanya membawa watak gila, sewel atau pelik di depan kamera semata-mata.
Kita sebagai penonton pula janganlah terperangkap dan terikut-ikut dengan watak-watak selebriti yang diminati hingga terbawa-bawa ke luar pentas.
Kita meniru watak ganas mereka dalam kehidupan, sedangkan mereka hanya penghibur yang mempamerkan watak pelik hanya untuk menghibur kita.
Tidak molek juga mereka yang menjadi selebriti membawa kehidupan peribadi naik ke atas pentas seperti kumpulan The 1975 yang melakukan aksi jelik yang mengakibatkan pertunjukan mereka di The Good Vibes Festival di Sepang, dihentikan serta-merta.
Pendek kata, kita perlu memisahkan kehidupan kita sebagai orang biasa dengan kehidupan kerjaya. Jika kita pelakon, tinggalkan watak yang dibawa itu sebaik sahaja melangkah keluar skrin.
Begitu juga jika kita pensyarah, peguam dan akauntan, itu adalah dunia pekerjaan. Sebaik sahaja kita di luar tempat kerja, kita perlu menjadi manusia biasa.
Begitu jugalah pesanan akhir Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada penuntut di Universiti Utara Malaysia pada 21 Julai lalu sebelum beliau dikejarkan ke hospital. Pesannya: ‘Kita kena ingat, kita pegang jawatan ini sampai bila?
Saya turun daripada kereta rasmi, ada bodyguard, ada driver dan sampai tujuh orang pegawai saya. Sampai bila? Sampai Kiamat? Kalau saya nak berlagak, oh I am a Minister, you know? Boleh macam itu? Jadi apa pun jawatan yang kita pegang pada hari ini, sedarlah ia hanya sementara."
Jelaslah walau apa dan di mana pun kedudukan kita, kita tidak boleh lupa keabdian kita sebagai hamba-Nya.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca