BACHOK - Meskipun pelbagai fesyen kontemporari muncul dalam masyarakat namun keistimewaan dan keunikan busana tradisional tetap berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Lebih membanggakan persalinan tradisional Melayu kini makin diminati generasi muda yang lebih terbuka dan berani menggayakan pemakaian warisan dalam pelbagai acara.
Bagi dua sahabat jurutera, Zat Asyraff Takiyuddin, 37, dan Nik Ismail Nik Rashiddin, 30, yang berpendapat penerimaan positif itu perlu disemarakkan dan telah mendorong mereka menjadikan aktiviti membuat tanjak dan menjahit busana Melayu sebagai kerjaya kedua.
Zat Asyraff yang memulakan kerjaya sambilan sebagai pembuat tanjak pada 2019 berkata, usaha mengekalkan busana tradisional itu adalah lebih kepada tanggungjawab sosialnya dalam memartabatkan warisan Melayu berbanding meraih pendapatan.
"Penting bagi kita mengekalkan warisan tradisional ini kerana khuatir ia akan pupus ditelan masa dan mungkin generasi akan datang tidak lagi kenal akar budayanya sendiri," katanya kepada Bernama.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, pada awalnya dia hanya membuat tanjak di rumahnya di Kota Bharu sebelum membuka premis pameran dan jualan pada tahun 2020 bersama Nik Ismail berikutan sambutan yang meningkat dari masa ke masa.
Katanya, kebanyakan hasil kerja tangannya itu ditempah untuk acara tertentu termasuk majlis penganugerahan di istana dan ia dijual dengan harga bermula RM200 hingga ribuan ringgit bergantung kepada material tekstil dan jenis tanjak yang dikehendaki pelanggan.
Minat terhadap busana Melayu itu turut mendorong Zatt Asyraf mendalami ilmu berkaitan tanjak termasuk asal-usul dan sejarah pembuatan selain cara pemakaian mengikut adat orang Melayu.
"Persalinan yang dikenakan pada badan seseorang dalam alam Melayu adalah medium komunikasi bukan lisan pengenalan diri mereka.
"Sebab itu menjadi misi saya bukan sekadar untuk mengangkat martabat seni warisan tetapi lebih kepada mengajak masyarakat mengenali dan membudayakan cara pemakaian busana Melayu yang betul," jelasnya.
TERUS 'BERKARYA'
Sementara itu, Nik Ismail yang juga siswazah Kejuruteraan Reka Bentuk dan Pembuatan dari German-Malaysian Institute (GMI) berkata, keputusan untuk berkolaborasi dengan Zat Asyraff diambil kerana dia lebih berminat bekerja sendiri selain berhasrat mengetengahkan bakat menjahitnya.
Nik Ismail mendalami bidang fabrikasi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak untuk meningkatkan kemahiran jahitannya dalam menghasilkan pelbagai jenis baju Melayu tradisional.
Antaranya termasuk baju sikap pesak serong, baju sikap butang satu, baju pendek Kelantan, seluar potongan Aceh dan Cina, baju Melayu cekak musang dan teluk belanga yang dijual pada harga RM300 hingga ribuan ringgit.
Ujarnya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, pakaian tradisional Melayu semakin mendapat sambutan khususnya pada musim perayaan dan majlis tertentu.
"Sebagai anak muda, saya bangga dengan penerimaan ini dan menyuntik semangat saya untuk terus 'berkarya'.
"Kalau boleh pakaian tradisional ini tidak hanya digayakan untuk majlis tertentu sahaja tetapi tidak canggung dikenakan sebagai pakaian harian sepertimana kot dan topi," katanya yang juga pemilik kedai jahitan pakaian lelaki di Kampung Kandis, Bachok.
Mengorak langkah dalam mempromosikan busana Melayu, dua anak muda ini turut mengadakan pelbagai bengkel dan kursus kepada mereka yang berminat selain dijemput berkongsi maklumat seni persalinan Melayu di luar negara. - Bernama
Klik di sini untuk terus membaca