TIMBULSLOKO - Sulkan membelek album gambar untuk mengimbau semula detik sewaktu kanak-kanak tadika saling berkejaran ketika kawasan perkampungan Jawa Tengah itu masih belum dinaiki air. Kini, desa Timbulsloko di kabupaten Demak semakin... Klik di sini untuk terus membaca

TIMBULSLOKO - Sulkan membelek album gambar untuk mengimbau semula detik sewaktu kanak-kanak tadika saling berkejaran ketika kawasan perkampungan Jawa Tengah itu masih belum dinaiki air.

Kini, desa Timbulsloko di kabupaten Demak semakin ditenggelami air pasang dan memaksa penduduk sekitar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ‘hidup di atas air’.

Lebih 200 penduduk menetap di salah sebuah kawasan paling cepat tenggelam di Indonesia yang turut mengubah landskap sawah padi terbentang luas kepada laluan sampan.

Ia jelas menunjukkan impak perubahan iklim terhadap komuniti pesisir pantai dan berdataran rendah di seluruh dunia.

"Segala-galanya tinggal kenangan sekarang. Kawasan ini telah tenggelam,” kata guru tadika berusia 49 tahun itu.

Menurut Sulkan, dia juga terpaksa memindahkan tadika miliknya dari bangunan kayu lama kepada struktur lain di kawasan lebih tinggi.

Penduduk Timbulsloko berdepan perubahan kehidupan yang drastik dek kenaikan paras laut, hakisan pantai dan pengekstrakan air bawah tanah secara berlebihan hingga menyebabkan mendapan tanah.

Beberapa murid terpaksa melalui jalan yang digenangi air untuk ke sekolah.
Beberapa murid terpaksa melalui jalan yang digenangi air untuk ke sekolah.
Beberapa murid terpaksa melalui jalan yang digenangi air untuk ke sekolah.

Pinggir pantai tersebut terdedah kepada ancaman banjir setelah penduduk setempat menebang pokok bakau untuk membuka kolam memancing pada 1990-an.

Profesor Denny Nugroho Sugianto dari Universiti Diponegoro berkata, paras air telah menjangkau sehingga lima kilometer.

"Ia adalah satu bentuk ‘bencana perlahan’. Data menunjukkan beberapa kawasan sekitar Timbulsloko tenggelam sehingga 20 sentimeter (sm) setiap tahun, meningkat dua kali ganda berbanding kadar direkodkan pada 2010.

"Keadaan ini menyaksikan penurunan kadar tanah terbesar yang pernah dicatatkan,” jelasnya.

Kebanyakan penduduk juga terpaksa meninggikan lantai rumah masing-masing dengan menambak tanah dan memasang geladak kayu.

Ruang yang semakin sempit memaksa mereka membongkok apabila mahu bergerak bagi mengelak kepala terhantuk.

Sularso, 54, berkata, dia menaikkan lantai rumahnya sebanyak tiga kali sejak 2018 setinggi 1.5 meter yang menelan kos berjumlah kira-kira 22 juta rupiah (RM6,696).

"Tiada masa depan untuk kami. Desa ini akan lenyap dalam tempoh kurang lima tahun. Kami tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya dalam nada sedih.

Menurutnya, ruang lantai rumahnya boleh tenggelam ketika fenomena air pasang.

"Saya paling bimbang jika ombak tinggi berlaku. Rumah saya berpotensi runtuh,” ujarnya.

Bagi suri rumah, Khoiriyah, 42, dia mengalami kesukaran untuk membeli barangan runcit atau menghantar tiga anaknya ke sekolah kerana jalan raya dinaiki air.

"Hidup saya semakin sukar. Air melimpah masuk ke dalam rumah.

"Saya sentiasa berharap dapat berpindah ke tempat lain,” jelasnya dengan sebak.

Selain penempatan penduduk kampung, kawasan tanah perkuburan turut dinaikkan bagi mengelakkan ia tenggelam.

Kawasan perkuburan telah dinaikkan bagi mengelak ia tenggelam disebabkan kenaikan paras air laut.
Kawasan perkuburan telah dinaikkan bagi mengelak ia tenggelam disebabkan kenaikan paras air laut.

Pelbagai cara dilakukan komuniti setempat termasuk mendirikan pagar kayu, memasang pukat dan tayar sebagai usaha menghalang limpahan air.

Generasi muda di Timbulsloko paling terkesan ancaman banjir itu.

"Hidup di sini amat membosankan. Kebanyakan orang muda tidak betah duduk di rumah,” kata Choirul Tamimi, 24.

Jelasnya, dia perlu meredah banjir untuk ke tempat kerja sebelum bot dijadikan sebagai pengangkutan utama.

"Ia sangat menjengkelkan apabila saya pulang dari tempat kerja. Saya bukan hanya penat, malah pakaian saya juga basah,” ujarnya.

Bagi mengelak hakisan semakin serius, Denny menyarankan pemerintah untuk memperluaskan akses air paip kepada penduduk bagi mengurangkan penggunaan air bawah tanah.

"Tanpa memulihkan pantai asal, kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini secara mampan,” katanya.

Namun, masih ada segelintir penduduk mahu kekal berada di Timbulsloko yang menunggu masa untuk tenggelam sepenuhnya.

Sulkan menegaskan, dia akan tetap menetap di situ untuk memastikan tadikanya terus beroperasi.

"Selagi masih ada rumah dan jiran-jiran, saya akan terus tinggal di sini,” jelasnya lagi. - AFP

Info

- Panel Antarakerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) memaklumkan peningkatan suhu purata global kepada dua darjah Celsius berbanding zaman praindustri berpotensi meningkatkan paras laut kepada 43 sentimeter menjelang abad akan datang.

- Sebahagian besar ibu kota Jakarta dijangka tenggelam menjelang 2050 atas sebab yang sama.

- Penduduk di perkampungan sepanjang pantai Jawa berada di dalam senarai utama paling berisiko.

Klik di sini untuk terus membaca