ISU air dan penjualan tanah kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) yang dimainkan oleh pemimpin pembangkang negeri itu dilihat belum cukup ampuh untuk menjadi senjata bagi menjatuhkan... Klik di sini untuk terus membaca

ISU air dan penjualan tanah kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) yang dimainkan oleh pemimpin pembangkang negeri itu dilihat belum cukup ampuh untuk menjadi senjata bagi menjatuhkan kerajaan negeri dipimpin Pas, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ini kerana masalah bekalan air berkenaan bukannya perkara baharu, malah diwarisi sejak Barisan Nasional (BN) memerintah Terengganu sebelum ini.

Manakala, isu penjualan tanah kepada Khairunnisa masih lagi di peringkat siasatan dan setakat ini belum ada pegawai agensi di bawah kerajaan negeri atau pemimpin Perikatan Nasional (PN) Terengganu yang ditahan atau didakwa oleh pihak berkuasa kerana melakukan salah guna kuasa, rasuah atau penyelewengan berkaitan kes terbabit.

Malah, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan segala transaksi dan penjualan tanah kepada Khairunnisa berkenaan dibuat mengikut peraturan dan lunas undang-undang.

Berikutan itu, Ahmad Samsuri menegaskan soal penjualan tanah kepada Khairunnisa bukanlah isu besar, sebaliknya sengaja ditimbulkan dan disensasikan pihak tertentu terutamanya ketika tarikh PRN semakin dekat.

Muka depan sisipan khas Sinar Premium sempena kehangatan PRN enam negeri yang diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian pada Khamis.

Jadi penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA), Dr Hussain Yusri Zawawi, tidak melihat isu berkenaan akan menggugat pentadbiran PN malah aura gelombang hijau sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu masih berterusan selepas koalisi parti itu menyapu bersih lapan kerusi Parlimen.

Ini termasuklah kawasan seperti Parlimen Hulu Terengganu, Besut, Setiu dan Kemaman yang dulunya adalah kubu kuat UMNO sebelum PRU15 lalu.

"Malah, dalam PRU15 lalu, calon Pas, Che Alias Hamid, berjaya menewaskan calon BN merangkap bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dalam pertembungan empat penjuru di kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.

"Begitu juga Datuk Rosol Wahid dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang berjaya meraih kemenangan bergaya di Parlimen Hulu Terengganu selepas menumbangkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat dan dua lagi calon lain dengan majoriti 15,734 dalam PRU15 lalu,” kata Hussain Yusri kepada Sinar Premium.

Statistik pengundi bagi PRN Terengganu.

Jadi mengambil kira keputusan PRU15 lalu, Hussain Yusri melihat koalisi BN-PH bakal berdepan laluan sukar dan penuh duri dalam PRN nanti di Terengganu.

Tambahan pula katanya, aura Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar juga begitu kuat dalam diri pengundi di negeri pantai timur itu.

BUKAN LALUAN MUDAH

Dalam pada itu, Hussain Yusri berkata, biarpun di atas kertas PN nampak mempunyai kelebihan untuk mempertahankan kerajaan negeri, namun koalisi BN-PH tidak akan memberi laluan mudah untuk mereka menang di Terengganu.

Hussain Yusri

Langkah BN yang meletakkan pemimpin warlord seperti Ahmad yang juga Pengerusi UMNO Negeri bagi mempertahankan DUN Kijal dan bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari bagi DUN Ajil dinilai mampu untuk menyumbang kekuatan parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merampas kembali Terengganu.

Ahmad dan Jailani antara 27 calon BN yang diumumkan oleh BN yang akan bertanding di Terengganu pada 12 Ogos depan.

"Saya mengakui Ahmad dan Jailani mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri dalam arena politik tanah air serta mampu memberi saingan sengit kepada calon PN pada PRN nanti,” kata Hussain Yusri.

Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman pula diamanahkan untuk mempertahankan DUN Seberang Takir.

Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus sebelum ini bertekad untuk merampas Terengganu daripada Pas.

Malah beliau mengingatkan Pas supaya tidak terlalu yakin meskipun mereka berjaya memenangi lapan kerusi Parlimen pada PRU15.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, tidak mustahil BN dapat menawan tiga kerusi dalam Parlimen Kuala Nerus iaitu DUN Buluh Gading, Bukit Tunggal dan Tepuh selain mengekalkan Seberang Takir.

Pada PRU14, BN hanya memperoleh 10 kerusi manakala Pas berjaya memenangi 22 kerusi DUN sekali gus berjaya mentadbir kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hussain Yusri juga meramalkan Ahmad Samsuri akan terus kekal menjadi calon poster boy Menteri Besar bagi PN kerana beliau masih mendapat 'baiah' dan restu daripada kepimpinan Pas untuk menerajui negeri berkenaan.

Manakala, BN-PH pula dijangka menamakan Ahmad sebagai poster boy jika mereka berjaya menawan Terengganu pada PRN nanti, biarpun ada cakap-cakap bahawa Pengerusi PH negeri, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad turut berminat untuk mengisi jawatan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca