MUSIM pilihan raya adalah musim hampa untuk ramai ahli politik yang gagal menjadi calon. Yang hampa sering juga termasuk parti dan pengundi. Bagaimana kita boleh kurangkan tiga jenis kehampaan? Mengapa penambahbaikan proses ini penting?... Klik di sini untuk terus membaca

MUSIM pilihan raya adalah musim hampa untuk ramai ahli politik yang gagal menjadi calon. Yang hampa sering juga termasuk parti dan pengundi.

Bagaimana kita boleh kurangkan tiga jenis kehampaan? Mengapa penambahbaikan proses ini penting? Apakah penyelesaiannya?

Dalam kehampaan jenis pertama, kadangkala yang dinafikan penamaan itu ialah calon yang mempunyai aspirasi dan bercita-cita tinggi, termasuk penyandang yang popular.

Apakah sebab parti tidak menamakan calon yang paling popular atau berpeluang untuk menang? Kalau untuk penyandang, alasan yang selalu diberikan ialah memberi peluang kepada pelapis yakni orang lama harus beri laluan kepada orang baharu.

Kalau alasan ini benar, ia bukan cerita yang sepenuhnya. Penggantian calon selalu berlaku kerana perebutan jawatan antara puak-puak dalam parti. Daripada memilih calon aspirasi, bos puak-puak tertentu mungkin lebih sukakan pengikut setianya.

Kadangkala, penggantian generasi pula semata-mata bermaksud pewarisan daripada ibu ayah kepada anak atau menantu. Hampir setiap parti utama di semenanjung ada sekurang-kurangnya satu keluarga dinasti.

Terdapat dua sebab sebenar parti-parti selalu tidak memilih calon aspirasi terkuat.

Pertama, proses pemilihan itu tidak berasaskan kayu ukur yang objektif, sebaliknya mungkin keputusan mungkin dibuat oleh seorang atau segelintir kecil pemimpin tertinggi.

Kedua, parti percaya jenamanya begitu kuat sampai pengikutnya akan mengundi sesiapa yang dicalonkan parti.

Sudah tentu, ketaatan calon aspirasi atau pengundi itu tidak semestinya berlaku. Calon yang ditolak mungkin bertanding di bawah panji parti lawan atau sabotaj secara tersembunyi. Pengundi juga mungkin menolak calon parti kerana sayangkan penyandang atau tokoh lain.

Parti mungkin juga sudah pecah belah jauh lebih awal sebelum pilihan raya umum atau negeri, apabila puak-puak dalam parti berebut takhta pemimpin dan kuasa pencalonannya.

Ini kehampaan pada parti, sama ada kalah dalam pilihan raya ataupun berpecah sebelumnya.

Penawarnya ialah proses pemilihan calon yang objektif, adil dan telus supaya siapa jua yang akhirnya terpilih, pesaing dan pengikut mereka menerima keputusan itu.

Salah satu caranya ialah menggunakan tinjauan pendapat awam ataupun pemilihan awal oleh ahli-ahli parti dalam kawasan pilihan raya itu.

Kedua-dua pendekatan ini digunakan oleh parti-parti di banyak negara demokrasi.

Akan tetapi, ia menjadi cabaran di Malaysia kerana wujudnya gabungan parti.

Apabila parti-parti bergabung, mereka tidak dapat bertanding di semua kawasan.

Ini memberikan peranan besar untuk pemimpin parti berunding dengan parti rakan tentang pembahagian kawasan dan seterusnya menentukan calon mana bertanding di kawasan mana.

Kehampaan jenis ketiga berlaku apabila pengundi tidak berpeluang untuk menyokong parti yang disukainya kerana rakan gabungan parti itu yang bertanding.

Ini dinamakan masalah transferability (kebolehpindahan) undi.

Sentimen ini senang diatasi untuk ‘gabungan tetap’ seperti BN dan PH masing-masing, tetapi boleh jadi cabaran besar untuk ‘gabungan pasca-pilihan raya’ seperti pasukan beregu PH-BN sekarang.

Kalau belum dapat ditutup bab lama, pengundi yang hampa mungkin tak keluar mengundi. Kalau pemimpin dua parti dapat berpakat selepas pilihan raya, kita boleh mempertimbangkan sistem pilihan raya campuran.

Seperti di Thailand, pengundi diberi dua kertas undi, satu untuk wakil kawasan dan satu untuk parti kesukaan, yang masing-masing menghasilkan wakil rakyat yang berasingan.

Kalau pengundi berpeluang mengundi parti sendiri, tak takutlah mereka tidak keluar undi.

Pergi bercuti di Janda Baik,

Jumpa buah dimakan kelawar,

Lama tidak semestinya baik,

Ada masalah ada penawar.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca