MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mempunyai pasukan sukarelawan yang ditubuhkan sejak tahun 2000 dan diselaraskan sepenuhnya oleh Bahagian Khidmat Bakti, Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita Yadim.... Klik di sini untuk terus membaca

MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mempunyai pasukan sukarelawan yang ditubuhkan sejak tahun 2000 dan diselaraskan sepenuhnya oleh Bahagian Khidmat Bakti, Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita Yadim. Pejabat Yadim negeri bertindak sebagai sekretariat untuk negeri masing-masing.

Sejak penubuhannya sehingga 2018, pasukan ini dinamakan Sukarelawan Al-Falah (SAF). Ia kemudian dijenamakan semula sebagai pasukan Sukarelawan Al-Rahmah (SAR) untuk tahun 2018 hingga 2019. Terbaharu, sejak 2020, pasukan ini dikenali sebagai Sukarelawan Yadim (SAY).

Penubuhan SAY ini bertujuan memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan pada masa yang sama memberi kesedaran kepada masyarakat tentang konsep kebajikan melalui pendekatan rahmah, sesuai dengan seruan Malaysia Madani yang ditekankan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Namun, adakah makna rahmah ini difahami dan dihayati oleh masyarakat? Apakah maksud rahmah dalam pendekatan yang digunakan oleh kerajaan sekarang?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), rahmah (dalam bahasa Arab) atau rahmat bermaksud belas kasihan, kurnia, berkat, bahagia, kelebihan, hikmah, faedah dan kegunaan.

Dalam kitab suci al-Quran, perkataan ini diulang sebanyak 64 kali manakala kata-kata terbitannya diulang sebanyak 327 kali, menurut artikel "Kajian Semantik Kata Rahmah Dalam al-Quran” oleh Muhammad Faqih Ihsan pada tahun 2021.

Rahmah mempunyai makna yang lebih luas dalam al-Quran. Ia dikaitkan dengan tidak kurang daripada 14 makna; antaranya, agama Islam, syurga, hujan, kenabian, kenikmatan, rezeki, pertolongan dan kemenangan, kesihatan, kasih sayang, keimanan, petunjuk, Nabi Isa AS, Rasulullah SAW dan al-Quran itu sendiri.

Pendekatan rahmah ini mencakupi segala bentuk kebaikan dan kebajikan yang diingini dan diperlukan oleh semua manusia, baik pada peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara mahupun antarabangsa.

Justeru, penubuhan SAY adalah bagi melahirkan sukarelawan yang sentiasa sedia berkhidmat kepada semua melalui platform Yadim menerusi aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.

Kini, terdapat seramai 10,000 anggota SAY di seluruh negara dengan 107 pasukan berdaftar yang aktif dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

Kebanyakan anggota SAY turut menerima latihan asas CDERT (Civil Defense Emergency Response Team) yang memberi pendedahan berkaitan aspek bantuan kepada masyarakat ketika bencana.

Para sukarelawan yang terlatih ini kelak akan digerakkan ke kawasan yang dilanda bencana, serta membantu pihak berwajib.

Antara misi kemanusiaan yang dijalankan ialah misi bantuan banjir serta misi mencuci pasca banjir (Yadim Peduli), gotong-royong membersihkan kawasan serta inisiatif hijau (Yadim Lestari), juga misi ziarah dan sumbangan (Yadim Prihatin).

Banyak lagi khidmat masyarakat yang diusahakan oleh Yadim. Mereka yang dibantu juga terdiri daripada pelbagai kaum mahupun agama. Khidmat bakti ini secara tidak langsung menonjolkan keindahan Islam itu sendiri.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang SAY atau berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan SAY ini, bolehlah layari laman web dan Facebook rasmi Yadim.

Pendaftaran keahlian SAY adalah secara dalam talian dan setelah disahkan keahlian, pemohon akan diserapkan dalam mana-mana pasukan yang berdekatan dengannya.

Semoga lebih ramai yang akan turut menyertai SAY bagi menyuburkan lagi kebaikan melalui platform Yadim serta menyokong konsep Malaysia Madani.

* Dr. Johari Yap ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim dan Pensyarah Kanan Universiti Sains Malaysia (USM)

Klik di sini untuk terus membaca