SEKIRANYA keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijadikan ukuran, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini secara atas kertas sememangnya bakal menjadi milik mutlak gabungan Pakatan Harapan (PH) dan... Klik di sini untuk terus membaca

SEKIRANYA keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijadikan ukuran, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini secara atas kertas sememangnya bakal menjadi milik mutlak gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pertimbangan itu dibuat berasaskan status PH yang menyandang 20 kerusi DUN pasca PRU14, manakala lebihan 16 kerusi lagi dimiliki BN.

Walaupun PRU15 menyaksikan berlakunya fenomena gelombang peralihan sokongan pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) di Semenanjung Malaysia, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang tidak menerima sebarang kesan.

Pada saat BN mengalami prestasi terburuk dalam sejarah pada PRU15 dan hilang banyak kerusi Parlimen di negeri-negeri lain, koalisi itu sebaliknya kembali menjadi dominan di Negeri Sembilan apabila berjaya merampas dua kerusi Parlimen dan mempertahankan tiga kerusi yang dimenangi pada PRU14.

Muka depan sisipan khas Sinar Premium sempena kehangatan PRN enam negeri yang diterbitkan di dalam akhbar Sinar Harian pada Khamis.

Bagaimanapun setelah dinamik perubahan landskap politik negara berlaku selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan PH-BN yang kini sudah menjadi rakan kerjasama, adakah senario itu bakal mengukuhkan lagi peluang PH-BN untuk kekal mendominasi Negeri Sembilan?

Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Negeri Sembilan mencatatkan bilangan pengundi berdaftar paling sedikit berbanding lima negeri lain yang turut terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu sebanyak 864,425 orang, dengan komposisi 58 peratus pengundi Melayu, pengundi Cina (27 peratus), pengundi India (15 peratus) dan lain-lain satu peratus.

Berikutan itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan, koalisi PH-BN secara teorinya tiada masalah untuk mengekalkan penguasaan pada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, kecuali DUN Lenggeng yang diketahui menjadi pertikaian di antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO.

Beliau juga mengunjurkan koalisi PH-BN mampu kekal memenangi sekurang-kurangnya 21 kerusi campuran dan majoriti bukan Melayu, dengan syarat proses pemindahan undi penyokong BN terhadap calon PH atau sebaliknya berlaku dengan lancar.

"Cuma masalah besar yang dihadapi oleh PH-BN mungkin berlaku pada keseluruhan 15 kerusi majoriti Melayu yang dikuasai UMNO sebelum ini.

"Hal ini kerana kepimpinan PH-BN masih belum dapat menjamin status marriage of convenience itu benar-benar diterima sepenuhnya oleh penyokong masing-masing, sekali gus dapat menambah undi pada PRN kelak.

"Hakikatnya kekuatan akar umbi dan jentera PN di negeri itu tidak kuat, namun sekiranya terdapat undi protes, penyokong UMNO boleh berpindah kepada mereka, PN ada peluang menang kesemua 15 kerusi majoriti Melayu,” ujarnya kepada Sinar Premium.

Statistik pengundi bagi PRN Negeri Sembilan.

Mujibu menegaskan, terdapat beberapa faktor menjurus kepada kemungkinan berlaku undi protes penyokong UMNO terhadap calon PH-BN, seperti rasa tidak puas hati mereka terhadap prestasi institusi Presiden UMNO yang dilihat gagal dan lemah pasca PRU15.

Beliau turut menggariskan faktor UMNO Negeri Sembilan yang tidak begitu kuat ditambah wujud pertembungan dua kem yang tidak sehaluan, meskipun bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Mohamad Hasan kini merupakan Timbalan Presiden UMNO.

"Apabila timbul spekulasi seorang lagi bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Samad dikatakan menjadi pencatur di belakang Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam menentukan soal calon dengan kelompok ini tidak sehaluan dengan kem Tok Mat, isu-isu sebegini menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong UMNO.

"Pada masa sama, wujud pula desas-desus kemungkinan penyokong MIC dan MCA tidak akan menyokong calon PH-BN kerana kecewa tiada calon mereka diberikan ruang bertanding PRN, meskipun MIC sebelum ini menyandang kerusi DUN Jeram Padang.

"Saya juga tidak boleh menafikan keputusan PH-BN mengekalkan nama Datuk Seri Aminuddin Harun adalah paling strategik untuk menyatukan kembali penyokong PH-BN memandangkan majoriti rakyat Negeri Sembilan agak menyukai gaya kepimpinan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu,” jelasnya.

CABARAN PN

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan Pengurusan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah mendedahkan agak sukar untuk PN menggugat penguasaan PH-BN di Negeri Sembilan, meskipun parti itu optimis gelombang hijau mampu menembusi negeri itu pada PRN kali ini.

Mujibu (kiri), Mohd Azmir

Jelasnya, hal ini kerana faktor kepimpinan PN sehingga kini dilihat masih gagal menampilkan çalon poster boy yang mempunyai karisma dan pengaruh untuk menggugat kepimpinan Aminuddin.

"Kegagalan PN Negeri Sembilan untuk menarik bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengetuai mereka juga sedikit sebanyak merencatkan momentum koalisi itu dalam menambat hati pengundi muda dan atas pagar,” katanya.

Lebih menarik, Mohd Azmir turut menjangkakan kehadiran lebih 300,000 pengundi atas pagar di Negeri Sembilan pada PRN kali ini mampu mengubah demografi politik sesuatu kawasan DUN, sekali gus menjadi penentu kemenangan terhadap mana-mana parti.

"Golongan ini tidak terikat sentimen kepartian. Mereka lebih cakna menjaga kelangsungan hidup disebabkan mereka tiada keberhutangan dan kebergantungan terhadap mana-mana parti.

"Sebab itu PN perlu mencipta naratif lebih praktikal untuk menarik sokongan kelompok ini melalui medium media sosial.

"Ini kerana faktor utama perubahan hayunan bandul sokongan mereka pada PRU15 terhadap koalisi itu disebabkan mereka memainkan sentimen yang dekat dengan hati pengundi atas pagar seperti isu rasuah, kelemahan tadbir urus negara dan ekonomi,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca