JOHOR BAHRU - Desas-desus anak kepada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Siti Fatihah bakal dicalonkan bertanding di Parlimen Pulai pada pilihan raya kecil (PRK) kelak, hanya khabar angin.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, belum ada sebarang perbincangan yang dibuat parti berhubung calon yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Pulai mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Malah jelasnya, isu calon tidak disentuh langsung pada mesyuarat pimpinan Amanah di peringkat pusat yang berlangsung di Kuala Lumpur, dua hari lalu.
"Kita sebenarnya terbuka, apabila berlaku PRK, sudah tentu ia menjadi tumpuan wartawan dan orang ramai.
"Pelbagai cadangan tentang calon akan ditimbulkan dalam media sosial dan menjadi perbualan hangat, namun dalam Amanah, calon akan ditentukan mengikut prosedur parti.
"Mengenai Siti Fatihah, saya difahamkan dia merupakan anak kelima daripada enam beradik dan merupakan seorang peguam. Siti Fatihah juga sudah terlibat dalam Wanita Muda Amanah (Warda) di peringkat nasional.
Dzulkefly menambah, Amanah Johor kini giat membantu kempen pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bagi memastikan kemenangan calon parti itu.
"Tumpuan pada masa sekarang diberikan kepada PRN di enam negeri, lagipun Sabtu ini sudah penamaan calon.
"Amanah Johor senada dengan seruan dibuat presiden parti Datuk Seri Mohamad Sabu yang meminta ahli dan kepimpinan tidak memikirkan dahulu siapa yang akan menggantikan tempat timbalan presidennya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub,” ujarnya.
Dzulkefly berkata, mengikut prosedur parti, kepimpinan negeri akan menghantar senarai nama calon untuk diputuskan kepimpinan pusat.
"Apa-apa pun, kita ada prosedur seperti yang dilakukan mana-mana parti politik. Biasanya nama-nama calon akan diangkat daripada kawasan terlebih dahulu.
"Kemudian nama calon berkenaan akan dihantar ke kepimpinan negeri. Seterusnya ke peringkat pusat yang kemudiannya akan memutuskan calon tersebut,” ujarnya.
Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 9.23 malam, Ahad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.
Sebelum itu, Salahuddin telah dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada jam 10.15 malam, Jumaat setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.
Salahuddin dipilih menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal iaitu pada 2018 dan 2022 selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 lalu.
Klik di sini untuk terus membaca