SEWAKTU siaran langsung Townhall Rakyat Sinar Harian Bersama Datuk Seri Salahuddin Ayub pada malam 29 Mei 2023, Allahyarham menyebut nama saya pada minit yang ke-43. Beliau memberitahu hadirin bahawa saya guru media beliau. Banyaklah yang kemudiannya bertanya apakah benar saya guru media beliau?
Saya mengenal beliau sejak lebih 20 tahun. Sewaktu saya mengendalikan sebuah program bual bicara di Radio Televisyen Malaysia (RTM), saya telah mengundang beliau untuk menjadi tetamu saya.
Sewaktu Kadir Syeikh Fadzir (sekarang Tan Sri) menjadi Menteri Penerangan, RTM telah membuka pintu untuk anggota pembangkang muncul di TV1. Hal ini tidak pernah berlaku sebelum itu.
Pada ketika itu, banyaklah anggota pembangkang yang kini memegang jawatan penting dalam parti dan juga kerajaan muncul dalam program Debat Perdana.
Seingat saya, beliau muncul pertama kali pada tahun 2006. Pada masa itu beliau bersama Pas dan mewakili pimpinan pelapis yang dinamis dan progresif dalam parti itu.
Mulai saat itu saya mula mengikuti perkembangan dalam dunia politik. Saya sentiasa menjadi 'abang' kepada beliau.
Saya mungkin tidak sefaham dengan aliran politiknya tetapi saya tetap menghormati beliau kerana perawakan, kejujuran dan kesederhanaannya
Sejak beliau menjadi menteri sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang pertama lagi, saya selalu diajak berbual tentang pelbagai hal yang membabitkan kementeriannya.
Pada masa itu beliau menerajui Kementerian Pertanian dan Asas Tani. Di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menjadi menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beliau banyak mengajak saya berbual tentang persepsi dan sambutan rakyat terhadap apa yang dilakukannya dan prestasi kementeriannya. Saya akan memberikan pandangan sejujur-jujurnya.
Selalunya juga mereka tidak dapat menyampaikan gagasan atau dasar itu secara berkesan kepada rakyat. Saya juga mengingatkan beliau tentang distrust (ketidakpercayaan) rakyat terhadap apa pun yang mahu dilakukan oleh kerajaan.
Maka itu, bagi saya komunikasi adalah segala-galanya. Setiap menteri adalah 'jurujual' kementerian dan produk kementeriannya. Sekiranya gagal dijual dan dipromosikan dengan baik, program sebaik mana pun tidak akan dilihat berkesan, bermanfaat dan menguntungkan mereka yang disasarkan.
Dalam era teknologi maklumat ini 'jualan' itu harus dibuat bukan sahaja melalui saluran rasmi tetapi juga menggunakan platform media sosial yang sedemikian berpengaruh.
Apabila beliau bercadang untuk melancarkan konsep Menu Rahmah, beliau meminta pandangan saya apakah implikasi program itu. Saya menganggap itu program yang sangat baik. Bagi saya ia merupakan cetusan idea yang luar biasa.
Apa sahaja program yang mengambil kira kepentingan rakyat, terutamanya rakyat bawahan, sudah tentu akan diterima dengan baik. Namun demikian saya mengingatkan beliau tentang beberapa perkara yang perlu diambil kira.
Pertama, tentang kelestarian program itu. Jangan sampai ia bersifat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Yang kedua, kekhuatiran bahawa tawaran harga murah Menu Rahmah boleh dilihat akan menjejaskan peniaga lain. Backlash daripada peniaga makanan yang bergantung hidup pada jualan cara biasa harus juga diambil kira.
Yang ketiga, saya mengingatkan tentang kualiti menu yang disajikan. Ini ada kaitannya dengan aspek keselamatan makanan dan kandungan makanan itu sendiri. Saya menarik perhatian beliau pada apa dikenal sebagai nasi kucing di Indonesia.
Menu jenis ini popular di kota-kota di mana terdapat banyak universiti. Para pelajar akan membeli nasi kucing dengan harga yang sangat murah. Biasanya bungkusan nasi kucing ini terdiri daripada nasi dengan sambal, sedikit tempe goreng atau ikan kering. Harganya kira-kira Rp1,500 atau lebih kurang 40 sen.
Beliau melancarkan program Menu Rahmah pada 31 Januari 2023 di Pasar Raya Mydin Subang Jaya. Apa yang penting adalah program itu mendapat sokongan awal pelbagai pihak terutamanya para peniaga sendiri.
Menu Rahmah adalah sebahagian usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Menu Rahmah mengambil bentuk makanan tengah hari atau malam yang seimbang merangkumi nasi serta pilihan protein seperti ayam atau ikan dan sayuran yang ditawarkan pada harga RM5 sepinggan atau kurang.
Saya percaya beliau sendiri tidak menyangka bahawa program ini mempunyai momentum dan nyawanya yang tersendiri. Ia merupakan program yang mendapat sambutan luar biasa dan merebak secara natural. Malah program ini mendefinisikan beliau dan menjadi salah satu mercu tanda kejayaannya sebagai menteri.
Beliau meninggal dunia dengan cara mengejut, dalam usia yang relatif muda. Namun demikian beliau meninggalkan legasi yang tidak mungkin terhakis. Pemergiannya pada Ahad lepas membangkitkan rasa kesedihan luar biasa bagi rakyat Malaysia. Beliau merupakan bintang cemerlang di persada politik negara.
Allahyarham sudah biasa jatuh bangun dalam dunia politik. Dunia politik di negara kita selalunya sentiasa sengit dan menggelegak. Tidak mudah untuk menjadi gentleman dalam suasana sedemikian.
Dalam negara yang dicorakkan oleh politik kelainan akibat bangsa, agama dan kepentingan, seseorang tidak mudah untuk diterima oleh semua. Beliau telah membuktikan bahawa perbezaan pendapat tidak salah, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju malah berbalah asalkan dengan adab dan mengekalkan decorum serta rasa hormat menghormati.
Beliau keras dalam lembut, tegas dalam prinsip dan komited untuk memberikan yang terbaik. Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melalui hantaran di platform media sosial mewakili pandangan banyak orang tentang sosok manusia bernama Salahuddin ini.
Hakikat bahawa beliau memberitahu timbalannya, Sim Tze Tzin bahawa beliau berasa tenang setiap malam oleh sebab memaafkan semua musuh dan mereka yang menyakiti hatinya adalah cerminan peribadinya yang sebenar.
Beliau juga selalu memperingatkan dirinya sendiri bahawa kuasa, kedudukan dan pangkat tidak kekal. Terlalu banyak yang boleh dilakukannya lagi, tetapi beliau telah pergi meninggalkan kita.
Negara kehilangan seorang pemimpin politik yang berjasa, saya kehilangan seorang adik yang berhemah tinggi. al-Fatihah untuk Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
* Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara.
Klik di sini untuk terus membaca