KELICIKAN pengedar dadah menukar taktik untuk mengaut keuntungan sememangnya diketahui umum. Pengedar dadah memiliki segenap cara untuk menjual bahan larangan tersebut tanpa mengira kesannya kepada manusia.
Terbaharu, BBC News melaporkan taktik terkini pengedar dadah yang menjual bahan larangan tersebut menerusi aplikasi Snapchat.
Laporan BBC News menyebut seorang ibu yang baru mendaftar sebagai pengguna aplikasi Snapchat berpura-pura menjadi seorang gadis berusia 15 tahun untuk membeli kokain dengan beberapa klik sahaja.
Ibu terbabit menyamar menggunakan nama Mia sebagai gadis bawah umur untuk membeli dadah. Beliau terkejut apabila mendapati halaman Snapchat menyiarkan halaman iklan penjualan dadah termasuk kokain dan ketamin.
Namun, pada masa yang sama, Snapchat mengingatkan pengguna platformnya bahawa aktiviti membeli atau menjual dadah ialah haram.
Penulis terkesima apabila membaca laporan Charanpreet Khaira yang disiar BBC Wales Investigates. Penulis membaca laporan berkenaan lebih 15 kali kerana ingin mengetahui isi kandungannya dengan sejelas-jelasnya.
Antaranya satu persoalan yang sangat sukar dijawab iaitu adakah media sosial kini menjadi antara platform pengedar dadah untuk mengaut keuntungan jutaan ringgit?
Disebut juga Anna (bukan nama sebenar) berusia 20-an dieksploitasi dan dikawal oleh kumpulan dadah Eropah Timur di selatan Wales ketika remaja. Anna terjebak dalam dunia gelap itu selepas menerusi ‘permintaan rakan’ menerusi Snapchat. Pemuda tersebut sebenarnya berpura-pura meminati Anna untuk dijadikan kekasih sejati. Bagaimanapun, beliau sebenarnya hanya berniat mengeksploitasi Anna bagi dijadikan ejen pengedar dadah.
Persoalannya sekarang, kenapa kegiatan menjijikkan ini boleh berlaku di Snapchat. Adakah remaja mudah untuk membeli dadah menerusi aplikasi Snapchat? Atau adakah pengedar dadah dibenarkan untuk meluaskan ‘empayar hitam’ mereka menerusi aplikasi media sosial.
Jika inilah yang berlaku, tidak hairan gejala dadah masih belum boleh diselesaikan oleh kerajaan. Laporan statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyebut majoriti penagih dadah di Malaysia berusia antara 15 dan 30 tahun. Jenis dadah yang biasa diambil ialah methamphetamine, heroin dan ganja.
Penulis pernah membaca buku yang ditulis saintis kecerdasan buatan (AI), Eliezer Yudkowsky bertajuk How To Actually Change Your Mind (Rationality: From AI to Zombies). Sebagai Pengasas Bersama OpenAI dan Institut Penyelidikan Perisikan Mesin atau Machine Intelligence Research Institute (MIRI) berpangkalan di San Francisco USA, Yudkowsky menyatakan kecerdasan manusia (human intelligence) ialah senjata hebat (superweapon) berkapasiti luar biasa yang meletakkan manusia dalam kedudukan dominan.
Ia sejajar dengan saranan ALLAH SWT dalam Surah Al-A’raf ayat 7:179-183 dan Surah Al-Isra’ ayat 17:36.
Aplikasi Snapchat telah berkembang daripada asalnya hanya memberi tumpuan kepada perkongsian ‘foto orang ke orang’. Ia berkembang kepada menampilkan ‘Story’ pengguna selama 24 jam diikuti ‘Discover’. Pengguna boleh menyimpan gambar pada kawasan dilindungi kata laluan yang digelar ‘My Eyes Only’.
Sehingga Julai 2021, Snapchat memiliki 293 juta pengguna aktif setiap hari iaitu pertumbuhan 23 peratus setahun. Secara purata lebih empat bilion Snap dihantar setiap hari. Snapchat popular di kalangan generasi muda terutamanya bawah 16 tahun menyebabkan ramai ibu bapa bimbang dengan trend tersebut.
Penulis percaya trend yang sama boleh berlaku di Malaysia. Remaja di negara ini boleh membeli apa sahaja menerusi aplikasi Snapchat termasuk dadah. Bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan seumpama itu disiarkan di negara ini.
Kesimpulannya, media sosial dan aplikasi teknologi maklumat (IT) seharusnya menjadi medan untuk melahirkan generasi cemerlang. Malang, sekiranya teknologi IT dan media sosial menjadi medan untuk menghasilkan generasi layu!
* Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca