SHAH ALAM - DAP menggugurkan nama Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, 74, sebagai calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai tiada kaitan dengan keceloparan dan sikapnya suka mencetuskan kontroversi, bahkan ia bukan suatu perkara luar biasa.
Sebaliknya pengguguran nama pemimpin yang digelar ‘pembunuh naga’ kerana berjaya menewaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon di Parlimen Batu Kawan dalam Pilihan Raya Umum pada 2008 itu lebih kepada pertukaran kepimpinan dan proses meremajakan parti berkenaan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian melihat pengguguran nama Ramasamy adalah kerana beliau sudah berusia lebih 70 tahun dan tiga penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai.
Menurut beliau, pengguguran Ramasamy juga membolehkan muka baharu seperti Datuk Seri S Sundarajoo diangkat sebagai calon DAP di DUN Perai pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.
"Ini kerana beliau bukan satu-satunya pemimpin DAP yang bermulut celopar dan sering menimbulkan kontroversi, malah ramai lagi,” katanya kepada Sinar Premium.
Malah, kata Sivamurugan, nasib Ramasamy dan Lim Guan Eng berbeza kerana pengaruh bekas Ketua Menteri dan Menteri Kewangan itu masih kuat dalam kerajaan negeri biarpun beliau bukan lagi berstatus menteri atau Setiausaha Agung DAP.
"Apa yang perlu dilakukan DAP sekarang adalah meredakan rasa marah dan kecewa penyokong Ramasamy supaya tidak mensabotaj PH biarpun impaknya hanya kecil.
"Ini kerana trend penyokong tegar DAP adalah menyokong parti bukan individu,” jelasnya.
Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali pula berpandangan, tindakan DAP tidak mencalonkan Ramasamy untuk mempertahankan kerusi DUN Perai adalah luar biasa kerana beliau dilihat sebagai seorang pemimpin dominan dan berpengaruh dalam kalangan penyokong PH di Pulau Pinang.
"Tindakan itu memperlihatkan DAP cuba membersihkan parti berkenaan daripada pemimpin bersifat couvenis atau bersifat perkauman seperti berlaku kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu yang kini tidak diangkat semula sebagai calon DAP di DUN Sungai Pelek, Selangor,” ujarnya.
Mazlan juga berpandangan, biarpun DAP menggugurkan Ramasamy dan beberapa nama besar lain, namun mereka tetap akan mendominasi kerusi bukan Melayu di Pulau Pinang kerana penyokongnya lebih mementingkan agenda parti berbanding individu.
Klik di sini untuk terus membaca