TIRAI pilihan raya negeri (PRN) melibatkan enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu telah dibuka dengan sekurang-kurangnya 22 ‘kerusi panas’ daripada keseluruhan 244 Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah dikenal pasti berlaku pertembungan sengit.
Dengan PRN enam negeri ini dijangka banyak pihak menjadi referendum terhadap pencapaian Kerajaan Perpaduan, semestinya kesemua kerusi panas itu bakal menjadi penentu sama ada calon ‘heavyweight’ yang dipertaruhkan memenuhi jangkaan kemenangan atau ditumbangkan calon ‘penyembelih naga’.
Sinar Premium menyenaraikan antara 22 kerusi panas yang dikenal pasti menjadi rebutan koalisi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahu pun calon-calon lain.
SELANGOR
Negeri Selangor sememangnya dianggap medan pertempuran politik paling sengit dengan ramai pemerhati politik melihat negeri terkaya Malaysia itu berisiko jatuh ke tangan PN sekiranya koalisi PH-BN tersilap strategi.
Hakikatnya lebih 30 kerusi DUN negeri itu boleh dianggap 'panas', bagaimanapun Sinar Premium menyenaraikan empat kerusi yang menjadi tumpuan rakyat seluruh negara iaitu DUN Sungai Tua, DUN Hulu Kelang, DUN Gombak Setia dan DUN Batu Tiga.
Di DUN Sungai Tua, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka berdepan cabaran sengit calon PN daripada Pas iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin.
Tekad mempertahankan kerusi DUN itu sekiranya jumlah undi berdasarkan data PRU15 Parlimen Gombak diambil kira, gabungan undi PH-BN sahaja sudah cukup membantu Amirudin kekal di kerusi tersebut dengan majoriti selesa lebih 13,000 undi.
Bahkan jika berlaku boikot undi penyokong BN terhadap beliau sekali pun, Naib Presiden PKR itu masih mampu menang dengan jangkaan majoriti lebih 6,700 undi.
Tumpuan paling utama pastinya terarah kepada DUN Hulu Kelang yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada PN yang bakal menerima cabaran getir bekas anak muridnya, Juwairiya Zukifli daripada PKR.
Dengan kedua-dua pemimpin itu bertukar kerusi DUN, Mohamed Azmin pastinya tidak mahu episod kekalahan beliau kepada Amirudin yang juga anak buahnya di Parlimen Gombak pada PRU15 akan berulang kembali pada PRN Selangor.
Tekanan pastinya amat dirasai Mohamed Azmin kerana impak keputusan di DUN ditandingi beliau bakal menjadi penentu sama ada fenomena gelombang hijau benar-benar meresapi rakyat Selangor atau sebaliknya pada PRN negeri itu.
Di DUN Gombak Setia, satu lagi pertembungan menarik berlangsung antara penyandang kerusi itu daripada PN, Muhammad Hilman Idham dengan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
Sekiranya keputusan PRU15 dijadikan ukuran, gabungan undi penyokong BN-PH mampu memberi kelebihan kepada Megat Zulkarnain mencipta kejutan ke atas Muhammad Hilman, sekali gus membuka ruang kepada Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri itu dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor jika PH-BN menang.
Keupayaan Muhammad Hilman di samping fenomena kemungkinan berlakunya peralihan pengundi Melayu di Selangor kepada PN tidak boleh dipandang rendah.
Kejutan paling besar pastinya berlaku di DUN Batu Tiga apabila Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Harun yang tewas di kerusi Parlimen Sepang pada PRU15 diberi ruang bertanding sekali lagi pada PRN Selangor.
DUN Batu Tiga menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dengan calon Amanah, Danial Al Rashid dan Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen (Muda).
Atas kertas, kerusi sebelum ini disandang Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail (PKR) dijangka kekal status quo kepada PH jika undi gabungan PH-BN diambil kira di Parlimen Shah Alam pada PRU15.
NEGERI SEMBILAN
Sekurang-kurangnya empat kerusi DUN di Negeri Sembilan yang dikenal pasti ‘panas’ dan menjadi rebutan ialah DUN Sikamat, DUN Rantau, DUN Chennah dan DUN Juasseh.
DUN Sikamat yang disandang Menteri Besar Negeri Sembilan dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun sejak empat penggal lalu sudah pasti menjadi tumpuan.
Ia susulan ura-ura mengatakan beliau mungkin tidak disenaraikan kembali sebagai calon menteri besar sekiranya gabungan PH-BN kekal menguasai Negeri Sembilan, meskipun Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian mengumumkan Aminuddin sebagai calon ‘poster boy’.
Di DUN Rantau pula, Timbalan Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka tidak bermasalah mengekalkan kerusi DUN itu dan mampu memperoleh majoriti selesa melebihi 19,000 undi sekiranya undi BN-PH pada PRU15 diambil kira.
Satu lagi kerusi DUN menarik untuk dinilai ialah DUN Chennah yang menyaksikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bakal bertembung seorang calon yang pernah digelarnya sebagai 'hero' iaitu Ketua Kampung Chennah, Rosmadi Arif (Bersatu).
Kerusi panas terakhir dikenal pasti di negeri ini ialah DUN Juasseh, di mana bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Eddin Syazlee Shith bakal bertembung dengan Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.
PULAU PINANG
Terdapat empat kerusi DUN ‘panas’ yang bakal menjadi perebutan di Pulau Pinang iaitu DUN Padang Kota, DUN Bertam, DUN Air Putih dan dan DUN Bayan Lepas.
Diselubungi spekulasi Pulau Pinang bakal menerima calon ketua menteri baharu jika Ahli Parlimen Tanjong, Chow Kon Yeow digugurkan, Pengerusi DAP negeri itu bagaimanapun dikekalkan bertanding di DUN Padang Kota.
Bakal ditentang Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, H'ng Khoon Leng yang pernah ditewaskannya di kerusi DUN sama pada PRU14, Kon Yeow turut dijangkakan tidak bermasalah memenangi DUN Padang Kota.
Di DUN Bertam, kerusi DUN itu amat menarik untuk diperhatikan kerana kemampuan penyandangnya, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq memenanginya pada PRU14 hakikatnya masih bersandarkan kepada sokongan pengundi PH ketika itu.
Namun, dengan calon ‘heavyweight’ BN, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sendiri tewas kepada calon Pas, Dr Siti Mastura Muhammad di Parlimen Kepala Batas pada PRU15, timbul persoalan sama ada strategi meletakkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu adalah tepat bagi merampas kembali kerusi yang ‘dilarikan’ daripada PH.
DUN Air Putih pula menyaksikan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, bakal mempertahankan kerusi DUN itu untuk penggal kelima berturut-turut.
Di DUN Bayan Lepas. Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin terpaksa mengesahkan pencalonan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau pada saat akhir susulan terdapat dakwaan mengatakan Dominic cuba untuk melobi bertanding di salah satu kerusi DUN majoriti Melayu di Tasek Gelugor.
KEDAH
Di Kedah, tumpuan utama pastinya terarah kepada DUN Jeneri yang disandang Menteri Besar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor apabila beliau bakal bertembung dengan Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.
Dengan populariti Muhammad Sanusi kini berada di puncak susulan prestasi cemerlang selaku menteri besar selain kes kontroversi penahanan beliau di bawah Akta Hasutan 1948 di Selangor baru-baru ini, ramai pemerhati politik menjangkakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah itu tidak bermasalah untuk mengekalkan kerusi DUN ini.
Ditambah calon pencabar beliau yang baru pertama kali bertanding pilihan raya dan kurang dikenali ramai, Muhammad Sanusi diunjurkan masih mampu menang selesa dengan majoriti lebih 9,000 undi, walaupun undi PH-BN pada PRU15 digabungkan.
Kerusi ‘panas’ seterusnya di Kedah sudah pasti DUN Pedu apabila Pengerusi BN negeri itu dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bakal berentap dengan penyandang kerusi DUN itu dari PN, Mohd Radzi Amin (Pas).
Langkah Mahdzir kembali bertanding di DUN Pedu yang pernah disandangnya selama tiga penggal, juga merupakan strategi berisiko yang berupaya menamatkan karier politik beliau sekiranya bekas Menteri Besar Kedah itu tewas. Hal ini susulan beliau turut kalah bertanding di Parlimen Padang Terap pada PRU15.
Berdasarkan undi PRU15, gabungan undi BN-PH sebanyak 10,492 pun masih belum mampu menyaingi jumlah undi calon PN sebanyak 12,213 di DUN itu. Namun, sekiranya Mahdzir berjaya mencipta kejutan dan BN-PH kembali menawan Kedah, beliau ada peluang besar untuk kembali menjadi menteri besar kali kedua.
Kerusi DUN terakhir di Kedah yang tidak kurang ‘panas’ adalah DUN ALOR Mengkudu di mana legenda bola sepak negeri itu, Radhi Mat Din yang mewakili PN-Pas sekali lagi bertembung dengan Pengerusi PH negeri, Datuk Mahfuz Omar pada PRN Kedah.
Secara permukaan, Mahfuz yang tewas di Parlimen Pokok Sena pada PRU15 berpeluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi bekas pemimpin utama Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi pada PRU14.
Namun, dengan fenomena gelombang hijau menyaksikan PN hampir menyapu bersih semua kerusi Parlimen Kedah pada PRU15, ramai pemerhati politik menjangkakan senario sama akan kekal berlaku pada PRN negeri, termasuk DUN Alor Mengkudu.
TERENGGANU
PRN Terengganu menyaksikan sekurang-kurangnya tiga kerusi DUN yang bakal menjadi perebutan sengit di antara koalisi BN-PH dan PN iaitu DUN Rhu Rendang, DUN Kijal dan DUN Seberang Takir.
PRN negeri ini turut menjadi saksi penglibatan dua bekas Menteri Besar Terengganu daripada BN cuba mempertahankan kerusi DUN disandang, manakala Pas dan Bersatu berusaha untuk mengulangi pencapaian cemerlang menyapu bersih kesemua kerusi Parlimen pada PRU15.
Meskipun Parlimen Marang merupakan antara salah satu kawasan Parlimen Pas yang menerima petisyen pilihan raya bagi pembatalan keputusan PRU15, namun pemerhati politik tidak melihat senario itu mampu mengikis peluang PN mengekalkan semua kerusi DUN di bawahnya, termasuklah DUN Rhu Rendang.
Justeru, tidak sukar untuk menjangkakan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas, bakal menang selesa di DUN itu, lebih-lebih lagi setelah pencabarnya, Suhaimi Sulaiman dari PKR bukanlah satu nama besar.
Di DUN KIJAL, Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga bekas menteri besar negeri itu bakal menerima cabaran sengit daripada Ketua Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Razali Idris.
Pertembungan Ahmad-Razali dijangka amat sengit memandangkan kedua-duanya boleh dianggap tokoh politik bertaraf nasional dan mempunyai kekuatan penyokong tersendiri.
Atas kertas, peluang Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN disandang sejak tahun 1990 itu agak sukar, susulan beliau turut tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid dalam pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada PRU15 dengan majoriti besar 27,179 undi.
Bagaimanapun, segala kemungkinan boleh berlaku dan sekiranya Razali tidak menerima sokongan pengundi tegar Pas sebagaimana sepatutnya, Ahmad mungkin boleh mencipta kejutan.
DUN Seberang Takir juga bakal menjadi penentu sama ada gelombang hijau pada PRU15 benar-benar berulang pada PRU15 susulan kerusi DUN merupakan kawasan kubu kuat BN sejak sekian lama.
Kerusi DUN itu bakal dipertahankan seorang lagi bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menyandangnya sejak tahun 2008.
Bagaimanapun kejutan mungkin boleh berlaku susulan PN dan Bersatu mempertaruhkan bekas Exco Kerajaan Negeri daripada BN, Khazan Che Mat yang kembali membuat kemunculan semula untuk mencabar Ahmad Razif selepas tidak bertanding selama dua penggal.
Selain itu, satu lagi kerusi ‘panas’ lain yang perlu diberi perhatian di Terengganu selain kerusi DUN negeri itu adalah kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang terpaksa diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pada PRK kali ini, Ahmad Amzad sekali lagi diberikan kepercayaan oleh Pas dan PN untuk mempertahankan kerusi Parlimen itu, dengan beliau bakal dicabar Pengerusi PH Terengganu, Azan Ismail.
KELANTAN
Di Kelantan, sekurang-kurangnya terdapat tiga DUN ‘panas’ yang mungkin menjadi tumpuan ramai iaitu DUN Pasir Pekan, DUN Ayer Lanas dan DUN Kok Lanas.
Dengan fenomena gelombang hijau memastikan Pas menyapu bersih semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu, pemerhati politik menjangkakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob atau ‘Ustaz Mad’ yang mewakili PN tidak bermasalah untuk mengekalkan kerusi DUN Pasir Pekan yang disandangnya sejak tahun 1995.
Hal ini kerana gabungan undi PH-BN pada PRU15 juga diunjurkan tidak mampu mencabar majoriti undi dijangka diperolehi calon PN itu melebihi 10,000.
Selain itu, pencabarnya Zaman Sahri Ibrahim daripada PKR bukan nama besar yang mampu mencabar pengaruh Pesuruhjaya Pas Kelantan itu.
Di DUN Kok Lanas, pertembungan antara dua calon muka baharu iaitu Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi daripada PN dan Ahmad Deraman (BN) - kedua-duanya merupakan tokoh usahawan juga menarik untuk diperhatikan.
Hal ini berikutan kerusi DUN Kok Lanas yang terletak di bawah Parlimen Ketereh itu merupakan kubu kuat BN di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa. Beliau kini menyertai Pas merangkap Pengerusi Muafakat Nasional (MN).
DUN Kok Lanas berpotensi untuk kekal disandang oleh BN setelah penyandangnya yang juga bekas Ketua Pembangkang DUN Kelantan, Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad memutuskan untuk tidak bertanding kali ini.
Bagaimanapun, pengaruh besar Annuar di Parlimen Ketereh dan DUN itu tidak boleh dipandang ringan dan berkemungkinan membantu PN mencipta kejutan merampas kerusi itu.
Satu lagi kerusi DUN tumpuan pada PRN Kelantan adalah Ayer Lanas yang menemukan penyandangnya yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor dengan calon muka baharu daripada BN iaitu Nasrul Hadi Kamaruzaman.
BN pastinya berazam untuk merampas kembali kerusi yang ‘dilarikan’ Kamarudin, setelah beliau bertindak ‘melompat’ parti itu bagi menyertai Bersatu pasca PRU14.
PRN kali ini turut menjadi ujian kertas litmus kepada Kamarudin bagi menentukan sama ada kemenangan beliau pada PRU14 adalah berasaskan faktor populariti peribadi atau bantuan pengaruh BN.
Klik di sini untuk terus membaca