PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengumumkan lebih banyak lagi butiran dan dasar yang akan dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi Madani.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, naratif yang dilancarkan akan menjadi panduan untuk membangunkan ekonomi negara dan pelaksanaan dasar ekonomi di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
"Apa yang diumumkan hari ini, sebenarnya kerangka sahaja. Akan ada banyak lagi butiran yang akan diumumkan dan dilaksanakan selepas ini,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, dalam kerangka tersebut, terdapat tujuh penanda aras ditetapkan sebagai sasaran jangka sederhana yang perlu dicapai sebelum 10 tahun termasuklah menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar dunia.
"Ia menjadi panduan kepada (pentadbiran kerajaan Persekutuan) untuk mencapai visi sebagai sebuah negara yang berkedudukan integriti lebih baik dari segi indeks rasuah, lebih berdaya saing, penglibatan ramai wanita di dalam sektor pekerjaan dan sebagainya,” ujar beliau.
Selain itu, katanya, satu kajian semula Rancangan Malaysia Ke-12 akan turut dilaksanakan.
"Akan ada dasar perindustrian baharu yang akan diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak lama lagi.
"Ini semua menjurus kepada menyokong kerangka Ekonomi Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Anthony turut menjelaskan, pemberian kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa di negara ini yang berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah bukan ‘gula-gula’ daripada kerajaan menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Katanya, ia merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu dan menggalakkan ke arah ekonomi digital iaitu melakukan pembayaran tanpa tunai.
"Untuk 10 juta rakyat yang dapat kredit itu, ia lebih kepada satu proses untuk kita ke arah ekonomi digital. Mengapa kita buat ini? Sebab nak membiasakan rakyat Malaysia dengan penggunaan e-dompet.
"Kalau nak bangunkan ekonomi digital, rakyat mesti sambut. Rakyat mesti gunakan pembayaran tanpa tunai ini."Ia antara inisiatif yang bantu ke arah pendigitalan ekonomi ataupun ke arah ekonomi digital,” ujarnya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat sebagai kerangka ekonomi baharu Malaysia bagi mengangkat semula darjat dan martabat negara.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerangka itu akan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.
Sementara itu, menurut Anthony, peluncuran Ekonomi Madani yang diumumkan itu merupakan satu kerangka dasar ekonomi bagi memastikan visi yang disasarkan tercapai.
"Ini bukan gula-gula, ini kerangka dasar. Visi kita jelas, kita nak jadi ekonomi 30 teratas di dunia, nak pendapatan meningkat, mahu sebuah masyarakat yang berinklusif dan mempunyai ekonomi berdaya saing.
"Visi ini mesti diterjemahkan melalui program-program dan juga peruntukan kerajaan.
"Ia akan dilaksana secara berperingkat melalui belanjawan tahunan dan sebagainya,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca