SHAH ALAM - Ekonomi Madani dilihat sebagai pelan yang realistik dan logik kerana kerajaan menyediakan hala tuju yang lebih jelas mengenai petunjuk prestasi utama melibatkan kerjasama rapat antara semua pihak berkepentingan. Penganalisis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ekonomi Madani dilihat sebagai pelan yang realistik dan logik kerana kerajaan menyediakan hala tuju yang lebih jelas mengenai petunjuk prestasi utama melibatkan kerjasama rapat antara semua pihak berkepentingan.

Penganalisis Ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bagi merealisasikan sasaran antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun, Malaysia perlu lebih menumpukan perhatian untuk membangunkan ekonomi domestik yang lebih rancak.

Selain itu katanya, negara tidak boleh terlalu bergantung kepada eksport yang sangat dipengaruhi oleh keadaan global.

"Visi ini memang mencabar memandangkan keadaan ekonomi global yang sangat dipengaruhi oleh krisis geopolitik di seluruh dunia, selain ancaman virus dan bakteria yang serupa dengan Covid-19 sentiasa berlaku.

"Di samping itu, sebarang perkembangan melibatkan dua ekonomi terbesar di Amerika Syarikat dan China pastinya akan memberi implikasi langsung kepada pasaran kewangan global.

"Kesemua faktor ini mesti diambil kira secara serius untuk memacu negara ke arah objektif yang dihasratkan dalam tempoh 10 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis menyatakan, Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan ekonominya menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun.

Laporan Sinar Harian pada Jumaat

Tumpuan utama adalah untuk menstruktur semula ekonomi bagi menjadikan negara sebagai peneraju ekonomi Asia.

Menurut Aimi Zulhazmi, nisbah perdagangan antarabangsa berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 140 peratus patut dipandang serius kerana ia menunjukkan kebergantungan yang masih tinggi kepada ekonomi global.

Ujar beliau, ia jelas menunjukkan sebagai ekonomi yang terbuka, pasti Malaysia akan terjejas dengan sebarang peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.

"Kekuatan ekonomi domestik juga dengan kuasa beli yang tinggi terutamanya golongan berpendapatan pertengahan mampu menarik pelbagai pelaburan antarabangsa ke Malaysia.

"Populasi kita yang kecil berbanding negara-negara serantau selain dari Singapura dan Brunei menjadikan syarikat-syarikat asing lebih tertarik kepada Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang menyediakan pasaran tempatan yang besar,” jelasnya.

TERBAIK

Laporan Sinar Harian pada Jumaat

Sementara itu, Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mustazar Mansur menyifatkan kerangka Ekonomi Madani adalah terbaik dan boleh diterima.

Jelasnya, melihatkan daripada segi kerangkanya, ia memberi tumpuan untuk meletakkan ekonomi Malaysia di tahap yang tinggi terutamanya di kalangan Asia.

"Sasaran itu bagus kerana daripada segi kekuatan ekonomi, ia dapat dijelmakan dalam bentuk KDNK atau pendapatan negara meningkat.

"Bila ia berlaku, bermaksud rakyat akan mendapat manfaat yang banyak dan kesan daripada itu, meletakkan Malaysia pada satu tahap taraf hidup yang lebih tinggi pada masa akan datang.

"Kerangkanya juga memfokuskan kepada hidup rakyat iaitu menggalakkan peningkatan ekonomi tanpa melupakan apa yang ada di sekitarnya seperti rakyat,” ujar beliau.

Secara tidak langsung katanya, ia bukan sahaja membantu daripada segi aliran tunai rakyat, tapi turut menggalakkan syarikat besar untuk ‘mengagihkan’ semula kepada rakyat dengan harga yang rendah.

Klik di sini untuk terus membaca