HARI ini 244 pusat penamaan calon akan membuka gelanggang bagi enam pilihan raya negeri (PRN) dengan satu daripadanya ialah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Selepas lapan bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir, PRN menjadi tumpuan bagi menguji beberapa hipotesis politik pilihan raya yang ketara berubah.
Menjelang 12 Ogos, PRN diramal bakal membentuk landskap politik negara dan mungkin mempunyai implikasi penting untuk trajektori masa depan dengan menyelidik kemungkinan keputusan serta maknanya untuk politik Malaysia.
Untuk memberikan konteks awal, PRN menjadi titik terpenting bagi kelangsungan parti-parti politik dalam konteks pakatan dalam gabungan. Keputusan PRN bukan sahaja menentukan komposisi kerajaan di enam negeri, malah landskap sosioekonomi, demografi dan dinamika politik negara yang mencorakkan sentimen pe-ngundian semasa.
Secara umum mana-mana pilihan raya, sentimen dan pola pengundian lazimnya difahami dengan melihat beberapa faktor. Pertama, prestasi kerajaan – pengundi akan menilai pencapaian pengendalian pentadbiran dan pencapaian kerajaan terutama yang terkait dengan persoalan ekonomi menyentuh tentang pekerjaan, kos sara hidup, kemakmuran serta kesejahteraan secara keseluruhan.
Kedua, faktor tadbir urus dan akauntabiliti. Hal itu banyak menyentuh tentang persepsi tadbir urus, kecekapan dan ketelusan kerajaan dalam aspek good governans.
Ketiga dan paling penting, pertimbangan etnik serta agama. Aspek politik identiti dan agama menjadi teras utama yang sebahagian besarnya dibentuk menerusi parti politik berasaskan kaum, di samping keseimbangan komposisi kaum yang sering menajamkan aspek perbezaan berbanding per-samaan dalam konteks persaingan.
Tiga faktor itu sangat penting dalam mencorakkan strategi setiap parti bertanding dan menentukan sama ada keputusan pilihan raya nanti berpihak kepada mereka atau sebaliknya, kalau pun tidak menghasilkan keputusan bercampur.
Justeru, pembaca secara mudah boleh mengandaikan keputusan PRN dengan melihat tiga faktor tersebut dan mengaitkannya dengan parti politik yang bertanding.
Bagi membantu pemahaman, faktor pertama dan kedua kalau dilakukan dengan baik akan memberi kelebihan kepada penyandang (kerajaan) jika mereka berjaya menangani permintaan pengundi serta menunaikan janji. Pencapaian manifesto dan penghasilan dasar yang berkesan akan meningkatkan lagi peluang untuk menang.
Sebaliknya, faktor ketiga lebih memihak pembangkang disebabkan faktor sentimen dan emosi. Dalam konteks demokrasi matang, peranan pembangkang yang berkesan melalui proses semak dan imbang secara profesional serta konstruktif memerlukan mereka membentangkan visi dan alternatif tadbir urus atau penyelesaian berkesan, dan bukan sebaliknya seperti diperhatikan sekarang.
Namun, masih awal untuk meramalkan keputusan PRN. Dalam tempoh dua minggu ke hadapan, macam-macam boleh berlaku. Bagaimanapun, sekiranya keputusan 12 Ogos adalah status quo – kemungkinan kedua-dua parti, pemerintah dan pembangkang boleh memperoleh kemenangan di negeri berbeza, maka beberapa kemungkinan berikut mungkin akan berlaku.
Pertama, impak kepada politik di peringkat nasional. Walaupun PRN hanya melibatkan enam negeri, keputusannya akan mempengaruhi pola, sentimen dan pergerakan politik (political maneuvering) parti-parti politik pada PRU16.
Kedua, dinamika hubungan antara parti sebagai sebuah pakatan itu sendiri. Keputusan PRN mungkin mengubah dinamika dalam kalangan parti politik yang membawa kepada penjajaran semula, gabungan atau peralihan dalam strategi parti masing-masing berdepan PRU16.
Seperti mana di permulaan, masih awal meramalkan keputusan dan kemungkinan bakal berlaku. Walaupun keputusan tepat tidak dapat dipastikan, keputusan PRN akan memberi kesan besar terhadap tadbir urus, hala tuju dasar dan landskap politik negara untuk tahun-tahun mendatang.
Penting untuk semua memantau dengan teliti perkembangan sepanjang PRN bagi mendapatkan gambaran lebih mendalam tentang iklim politik negara yang semakin berkembang ke tahap lebih progresif dan terbuka, bukannya regresif serta sempit.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Klik di sini untuk terus membaca