SEBAIK sahaja berita mengenai Festival Good Vibes 2023 dibatalkan akibat tindakan dan kenyataan kumpulan pop Inggeris, The 1975 yang biadab terhadap kerajaan dan budaya Malaysia, netizen pantas memberikan pendapat terhadap perkara tersebut.
Tidak terkecuali ahli-ahli politik yang menjadikan isu itu sebagai polemik dan dipolitikkan, antaranya Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz yang meminta peniaga-peniaga terjejas akibat pembatalan festival muzik tersebut untuk menyaman kumpulan muzik berkenaan.
Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker meminta kerajaan meneruskan festival muzik tersebut dan mengenakan denda terhadap The 1975.
Kebanyakan rakyat Malaysia bersetuju bahawa tindakan kumpulan muzik berkenaan melampau dan tidak menghormati pendirian kerajaan. Akhirnya, The 1975 dilarang masuk ke Malaysia dan konsert mereka yang seterusnya di Indonesia dibatalkan.
Keputusan dan tindakan yang diambil itu sebenarnya menghantar mesej kepada penghibur-penghibur antarabangsa yang ingin membuat persembahan di Malaysia.
Cadangan seperti mendesak peletakan jawatan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga dilihat tidak rasional.
Perikatan Nasional (PN) yang boleh dikatakan ‘penjaga akhlak’ dalam kalangan parti politik suka menggesa kerajaan membatalkan konsert.
Bermula dengan konsert Jay Chou sehingga Coldplay, sebelum tiket dijual akan ada ahli politik PN yang meminta konsert dibatalkan.
Namun, tiada ahli politik yang menyuarakan bantahan terhadap The 1975 sebelum festival muzik bermula. Carian umum di internet akan memberitahu anda bahawa penyanyi utama The 1975, Matt Healy merupakan aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta pernah melakukan aksi jelik yang sama semasa membuat persembahan di Dubai pada 2019.
Kenapa mereka tidak menyuarakan bantahan terhadap kumpulan muzik tersebut ke festival muzik terbesar di Malaysia sebelum hari konsert?
Nama-nama penghibur untuk festival muzik itu diumumkan seawal Februari tahun ini dan The 1975 antara penghibur utama yang dipromosikan.
Pihak penganjur festival muzik sememangnya harus bertanggungjawab atas insiden tersebut dan seperti dicadangkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pihak penganjur perlu menapis dengan teliti kumpulan muzik luar negara yang datang ke Malaysia agar persembahan bersesuaian dengan amalan, budaya serta sensitiviti masyarakat.
Pihak penganjur telah memberi kenyataan dan kesal dengan kejadian yang berlaku. Mereka juga mengakui kumpulan muzik berkenaan telah melanggar syarat persembahan ditetapkan.
Oleh sebab konsert tersebut telah diarah batal serta-merta, pihak penganjur turut mengalami kerugian besar kerana tidak dapat memenuhi kontrak dengan penghibur-penghibur yang tidak sempat membuat persembahan.
Malah, pihak penganjur turut bersetuju dengan Fahmi untuk memberi pampasan kepada pembeli-pembeli tiket.
Cukup-cukuplah kisah The 1975. Adakah wajar kumpulan muzik berkenaan menerima perhatian meluas? Aksi Healy di atas pentas Litar Antarabangsa Sepang itu jelas hanya mahu membuat provokasi di Malaysia dan menambah populariti kumpulannya.
Mengkritik dan melarang The 1975 untuk masuk ke Malaysia, rasanya itu sudah mencukupi.
* Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat.
Klik di sini untuk terus membaca