SELEPAS melancarkan perang pencerobohan pada tahun lalu ke atas Ukraine, Rusia telah memutuskan untuk meluaskannya ke seluruh dunia dengan menggantung secara unilateral pada 17 Julai penyertaannya dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam (Black Sea Grain Initiative).
Ia sekali gus mewujudkan ancaman yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk keterjaminan makanan di seluruh dunia. Sehingga kini, Inisiatif Bijirin Laut Hitam telah menjamin eksport lebih 32 juta tan ke 45 buah negara.
Dua pertiga daripada gandum dan separuh daripada bijirin untuk tujuan makanan manusia telah dieksport ke negara membangun. Ia telah membantu mengurangkan harga makanan sebanyak 23 peratus berbanding kemuncak pada Mac 2022.
Eksport di bawah inisiatif tersebut termasuk operasi kemanusiaan – bijirin yang didermakan oleh Ukraine atau dibeli sebagai sebahagian inisiatif kemanusiaan ‘Grain From Ukraine’ yang dilancarkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk negara-negara di benua Afrika dan Asia serta penghantaran dibiayai oleh negara-negara EU.
Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya mengutuk secara tegas keputusan Rusia yang bertanggungjawab sepenuhnya atas penyekatan per-kapalan di kawasan maritim tersebut dan mengenakan sekatan haram ke atas pelabuhan Ukraine. Ia mesti menghentikan peras ugut terhadap keterjaminan makanan global dan menarik balik keputusannya.
Krisis keterjaminan makanan dunia telah disebabkan oleh perang pencerobohan Rusia terhadap Ukraine, sama seperti ia telah membawa kepada krisis tenaga. Dengan menggantung penyertaannya dalam inisiatif tersebut, Rusia terus menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.
Ia menunjukkan sinis dan kurangnya keprihatinan terhadap nasib penduduk yang telah terjejas. Tidak mengejutkan kerana pada 1930-an, Rusia telah menyebabkan Ukraine menjadi kebuluran dan membunuh lebih empat juta orang, dalam apa yang kemudian dikenali sebagai Holodomor.
Lebih dekat dengan kita, halangannya terhadap pembaharuan mekanisme rentas sempadan untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Syria adalah sama sinisnya, menjadikan manusia sebagai tebusan.
Ketidakbaharuan inisiatif itu menjejaskan keterjaminan makanan dan pemakanan global, penurunan dalam jumlah bahan makanan serta baja yang dieksport terutamanya memberi kesan kepada negara paling terdedah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sangat jelas terhadap perkara itu: "Beratus-ratus juta manusia menghadapi kelaparan dan pengguna yang menghadapi krisis kos sara hidup global akan membayar harganya.”
KOMITMEN
Ketua-ketua negara dan kerajaan Afrika ke Moscow pada Jun lalu juga dengan jelas memberitahu Presiden Rusia, Vladimir Putin tentang komitmen mereka terhadap inisiatif yang merupakan suar harapan bagi negara paling terdedah.
Kesatuan Afrika telah mengecam keputusan Rusia menggantung penyertaannya dalam Inisiatif Bijirin Laut Hitam. Sebilangan besar negara Amerika Latin dan Caribbean juga mengesahkan sokongan mereka terhadap inisiatif tersebut serta usaha Setiausaha Agung PBB untuk memastikan pelanjutannya. Ia susulan Sidang Kemuncak antara Kesatuan Eropah dan negara-negara Amerika Latin serta Caribbean baru-baru ini.
Negara-negara Asia yang turut bergantung kepada eksport bijirin dari Ukraine harus bersama-sama bersuara dan mengecam keputusan keji serta mementingkan diri sendiri itu.
Keputusan itu adalah tamparan kepada satu daripada 10 penduduk di bumi yang menghadapi kelaparan terutama pada masa kritikal ini, dengan PBB baru-baru ini telah meletakkan negara seperti Somalia, Yemen, Afghanistan, Haiti, Burkina Faso, Mali, Sudan Selatan, Sudan dan Nigeria ke tahap berjaga-jaga yang paling tinggi dalam ketidakjaminan makanan. Di beberapa bahagian di dunia, kesan El Niño yang mendatang akan mengancam dan memburukkan lagi keadaan.
Keputusan itu juga adalah tamparan kepada Program Makanan Sedunia.
Ukraine kekal sebagai pembekal utama gandum pada 2022 kerana penggantungan tersebut akan meningkatkan kos operasi dan mengganggu rantaian bekalan. Ia memberi kesan kepada semua penduduk di dunia termasuk di Malaysia kerana lebih banyak lagi perlu dibayar untuk ‘bakul’ yang sama.
Di dalam poket manakah wang itu akan pergi? Kebanyakannya akan ke dalam poket imperialis Rusia kerana keputusan tersebut mengukuhkannya sebagai penetap harga pasaran bijirin di seluruh dunia tatkala Rusia adalah salah satu negara pengeksport bijirin utama.
Malah pada 2022, Rusia mengeksport jumlah rekod sebanyak 45 juta tan bijirin. Satu lagi rekod boleh dipecahkan pada 2023 dengan 47.5 juta tan. Perlu diingatkan eksport bijirin Rusia tidak terjejas oleh sekatan EU, berbeza daripada apa yang cuba disebarkan secara palsu oleh Rusia.
Memandangkan makanan tidak sepatutnya digunakan sebagai senjata perang, EU komited untuk mengelak langkah-langkah sekatannya daripada memberi kesan kepada keterjaminan makanan di seluruh dunia dalam apa juga cara. Sekatan EU tidak menyasarkan perdagangan dalam produk pertanian dan makanan termasuk bijirin dan baja antara Rusia serta negara ketiga.
Sejak permulaan peperangan, bersama dengan Ukraine dan rakan-rakan kongsi kami, EU serta negara anggotanya akan memberikan respons berdasarkan perpaduan kepada mereka paling terjejas melalui Lorong Solidariti EU – yang memainkan peranan penting dan telah membolehkan 38 juta tan bijirin dibawa keluar dari Ukraine sejak Mac 2022.
Melalui bantuan makanan antarabangsa (EU telah memperuntukkan 8 bilion euro antara 2020 dan 2024 bagi tujuan keterjaminan makanan dunia) termasuk dengan mengangkut baja ke negara-negara paling memerlukan.
Sokongan global diperlukan untuk menekan rejim Putin menghentikan perang pencerobohan kerana kita semua membayar harganya.
Oleh itu, kami berharap semua negara di dunia termasuk Malaysia akan bangkit dan mengecam keputusan sinis Rusia.
* Ditandatangani oleh Duta Kesatuan Eropah dan Duta-duta Eropah berada di Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca