MENDAPATKAN alat ganti kenderaan tiruan daripada ejen-ejen haram sebelum menjualnya dengan harga tinggi semata-mata mahu kaut keuntungan berganda. Itu antara alasan yang diberikan pengusaha-pengusaha bengkel kenderaan selepas premis... Klik di sini untuk terus membaca

MENDAPATKAN alat ganti kenderaan tiruan daripada ejen-ejen haram sebelum menjualnya dengan harga tinggi semata-mata mahu kaut keuntungan berganda.

Itu antara alasan yang diberikan pengusaha-pengusaha bengkel kenderaan selepas premis mereka diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Siasatan juga mendapati, ada alat ganti ini dibawa masuk dari negara luar selain turut dikesan dihasilkan di dalam negara.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, sebanyak tujuh premis bengkel diserbu pihaknya dengan kerjasama pemilik cap dagang pada tahun lalu hingga Mei tahun ini membabitkan rampasan 5,000 alat ganti tiruan bernilai RM321,000.

KPDN merampas alat ganti disyaki tiruan menerusi pelbagai siri pemeriksaan dan serbuan di sekitar ibu negara.

Menurutnya, antara yang dirampas ialah palam pencucuh (spark plug), minyak pelincir, penapis minyak (oil filter), penapis angin (air filter), pulse coil dan pad brek.

"Kita perlukan komitmen pemilik cap dagang dalam menyalurkan maklumat dan aduan hingga siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

"Dalam operasi melibatkan alat ganti tiruan, kita perlukan kerjasama kerana barangan automatif bersifat teknikal dan kita perlu tenaga mahir daripada wakil cap dagang atau syarikat produk terbabit.

"Kepakaran mereka amat diperlukan untuk mengesan sama ada barang yang dirampas itu tiruan atau tidak kerana di mata kasar ia sukar untuk dibezakan," katanya eksklusif kepada Sinar Harian.

Nurul Syarina berkata, pihaknya turut melihat prospek pada masa akan datang untuk bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Tambah beliau, berdasarkan rekod serbuan dan operasi yang dijalankan, peniaga atau pengusaha bengkel itu akan mendapatkan bekalan selepas menilai dari segi aspek harga dan kemudahan mendapatkan barangan.

Jelas beliau, sekiranya mahu untung lebih, mereka akan menjual alat ganti tiruan atas faktor barang itu diperoleh dengan harga yang rendah berbanding barang tulen.

KPDN merampas alat ganti disyaki tiruan menerusi pelbagai siri pemeriksaan dan serbuan di sekitar ibu negara.

"Berdasarkan siasatan, barangan seperti 'oil filter' dan pad brek dihasilkan di negara luar dan diimport ke negara ini sebelum dibungkus dengan jenama terkenal dan dijual kepada kedai-kedai alat ganti.

"Minyak pelincir pula dihasil serta diproses di kilang-kilang haram yang kemudiannya dibungkus serta dilekatkan dengan jenama terkenal. Dari segi harga jualan pula, tiada perbezaan ketara dengan barangan asli dan perkara ini yang menyebabkan orang ramai boleh tertipu dengan produk-produk berkenaan di pasaran.

"Difahamkan juga kegiatan ini turut mempunyai peranan ejen bagi mencari pembeli di kalangan syarikat atau premis bengkel.

"Ejen ini akan datang secara 'walk-in door to door' dan akan menawarkan produk tiruan dengan harga murah. Mungkin ada peniaga yang menolaknya dan mungkin ada yang menerimanya," ujarnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan alat ganti tiruan memerlukan tenaga pakar daripada pihak cap dagang kerana mereka yang tahu ciri-ciri produk terbabit.

Dalam pada itu, kata beliau, berdasarkan maklumat, tiada penglibatan orang berpengaruh dalam kegiatan ini.

"Hanya melibatkan pihak yang ingin mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan hasil daripada titik peluh orang lain (pemilik cap dagangan)," jelasnya.

ISU KESELAMATAN

Antara alatan ganti disyaki tiruan yang pernah dirampas KPDN sebelum ini.

Menurut Nurul Syarina, ada banyak kesan negatif penggunaan alat ganti tiruan.

"Berdasarkan hasil analisa, jangka hayat enjin serta ketahanan akan berkurangan jika menggunakan minyak pelincir tiruan dan akan memberikan kesan jangka panjang kepada enjin kenderaan.

"Dari segi alat ganti, ia akan membahayakan pemilik kenderaan contohnya kerana prestasi barangan tiruan tidak akan sama dengan yang asli.

"Jangka hayat ketahanan brek juga akan berkurangan dan kualiti brek tidak akan sama dan seterusnya akan membahayakan pemandu kenderaan itu sendiri," katanya.

Tambahnya, sebagai pengguna, kebiasaannya akan terlalu bergantung kepada pengusaha dalam urusan servis atau pembaikan kenderaan.

"Kenderaan hari ini adalah suatu keperluan dan senario ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menawarkan alat ganti tiruan.

"Jika berbalik kepada isu kos yang lebih murah dan untung, pengusaha bengkel mungkin akan mengabaikan sama ada barang itu tiruan atau tidak," ujarnya.

Ujar beliau, pemilik cap dagang mengeluarkan kos sangat tinggi untuk menghasilkan produk dan apabila ramai mendapatkan barang tiruan ia akan mendatangkan kerugian besar kepada jenama mereka.

"KPDN percaya ada bengkel kenderaan yang beritahu alat ganti itu original walhal tiruan.

"Kita pandang serius isu ini dan akan buat siasatan termasuklah menjejak ejen yang menjual dan sebagainya selain menggunakan kuasa geledah untuk kesan barang kes," katanya.

Jelas beliau, di bawah KPDN ada peraturan pelindungan pengguna.

"Masyarakat tidak terdedah dengan peraturan ini. Dalam hal seperti ini, apabila kita dapat perkhidmatan sebagai pengguna perlu memastikan dibekalkan maklumat oleh bengkel mengenai apa alat ganti yang rosak, harga dan sebagainya.

"Maklumat awal sebegini dapat memastikan kita untuk membuat pilihan dan tidak terpedaya dengan tawaran yang dibuat selain pihak bengkal yang melaksanakan dengan bertanggungjawab," ujarnya.

SALUR MAKLUMAT KEPADA KPDN

Ada alat ganti kenderaan dibawa masuk dari negara luar selain dihasilkan di dalam negara turut dikesan.

MENURUT Nurul Syarina Md Anuar, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan berkala di kedai-kedai yang menjual alat ganti di sekitar Kuala Lumpur.

"Tetapi KPDN juga memerlukan kerjasama yang erat dengan pemilik cap dagang kerana pihak mereka yang boleh membuat pengesahan sama ada barangan tersebut tiruan atau tidak.

"Pihak KPDN amat menggalakkan wakil pemilik cap dagangan untuk membuat aduan jika terdapat penjualan alat ganti tiruan yang dapat dikenal pasti mereka. Usaha berterusan antara KPDN dan wakil pemilik cap dagangan akan memberikan impak positif kepada industri penjualan alat ganti kenderaan," jelasnya.

Mengulas lanjut, kegiatan ini masih berlaku disebabkan pelaku mempunyai ruang dan peluang untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda selain permintaan yang tinggi daripada pihak pengguna walau tiada perbezaan ketara dari segi harga jualan.

"Pengguna juga kurang mempunyai pengetahuan untuk membezakan alat ganti tiruan dan situasi ini menyebabkan alat ganti ini dapat dijual dengan meluas di pasaran.

"Aduan daripada wakil cap dagangan berkaitan juga masih kurang diterima oleh pihak KPDN Kuala Lumpur dan mengikut statistik pada tahun lalu sehingga Mei ini, kami hanya menerima empat pengaduan sahaja berkaitan alat ganti tiruan," katanya.

Tambahnya, aduan dari wakil pemilik cap dagang sangat penting kerana pihak mereka mempunyai kepakaran untuk mengenal pasti sesuatu produk itu tiruan atau asli.

Justeru, orang awam juga digalakkan untuk membuat aduan kepada pihak KPDN jika mempunyai maklumat berkaitan penghasilan atau penjualan alat-alat ganti tiruan kenderaan.

INFO GRAFIK

(A) Saluran aduan

i. Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdn.gov.my)

ii. Call Centre: 1 800 886 800

iii.E-mail: e-aduan@kpdn.gov.my

iv. Ez ADU KPDN (aplikasi telefon pintar)

v. Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre 03-88826088 / 6245)

vi. WhatsApp 019-279 431

(B) Tindakan undang-undang

Akta Cap Dagangan 2019.

i. Perbadanan

- Jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu

- Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu.

ii. Bukan perbadanan

- Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

- Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Klik di sini untuk terus membaca