ATHENS - Sekurang-kurangnya 13 daripada 22 negara di rantau Mediterranean dilanda kebakaran hutan tidak terkawal dan luar biasa sejak lebih seminggu lalu yang turut menyaksikan kemusnahan harta benda dan kematian penduduk serta haiwan ternakan.
Situasi bertambah buruk akibat suhu panas dan kering serta angin kuat yang menyukarkan lagi usaha bomba memadam api yang marak.
Tunisia, Algeria, Maghribi, Portugal, Sepanyol, Perancis, Itali, Croatia, Albania, Turkiye, Sicily, Syria dan Greece masing-masing merekodkan insiden kebakaran hutan yang menyaksikan beribu-ribu anggota bomba serta sukarelawan dikerah bagi memadamkan kebakaran.
Greece menjadi negara paling teruk terjejas akibat kebakaran hutan pada musim panas kali ini dengan pihak berkuasa memindahkan hampir 30,000 orang ke kawasan selamat.
Dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 83 kebakaran baharu dilaporkan di seluruh Athens.
Di Perancis, hampir 100 anggota bomba bergelut mengawal kebakaran hutan di kawasan Cagnes-sur-Mer dan Villeneuve-Loubet, berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Nice.
Di Croatia pula angin kuat mengakibatkan pesawat bomba gagal berlepas ketika cuba melakukan operasi memadam api di negara Balkan itu.
Setakat ini lebih 40 kematian direkodkan di rantau Mediterranean dengan angka korban tertinggi dicatatkan di Algeria dengan 34 kes, termasuk 10 askar yang dikelilingi api semasa melakukan pemindahan di wilayah pantai Bejaia, timur Algiers. - Agensi Foto: AFP/EPA/AGENSI
Klik di sini untuk terus membaca