SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan enam negeri kali ini bakal menjadi penentu jangka hayat politik enam penyandang jawatan menteri besar termasuk seorang ketua menteri.
Dalam masa sama, enam bekas menteri besar termasuk seorang bekas ketua menteri turut berusaha untuk memenangi hati rakyat dalam usaha memastikan mereka kekal relevan dalam kancah politik negara.
Kawasan paling mencuri tumpuan pada PRN kali ini sudah pastinya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua yang menyaksi pertembungan tiga penjuru antara penyandang merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang mewakili koalisi Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) menentang calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Hanif Jamaluddin dan Suman Gopal (Bebas).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Amirudin yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 11,374 undi biarpun menghadapi saingan sengit empat penjuru berdepan wakil BN, Datuk N Rawisandran, Mohamad Ibrahim dari Pas dan Badrul Acong (Bebas).
Biarpun di atas kertas Amirudin tampak selesa mendahului dua pencabarnya pada PRN kali ini, susulan kejayaannya menang kerusi Parlimen Gombak selepas menewaskan 'sifunya' dalam politik iaitu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti 12,729 undi, namun, itu tidak bermakna beliau akan menang mudah.
Dalam pada itu, selepas kalah kepada Amirudin dalam PRU15, namun ia bukan penamat kepada kerjaya politik Mohamed Azmin yang kini membuat 'come back' dengan memilih untuk berhijrah dari DUN Bukit Antarabangsa ke DUN Hulu Kelang pada PRN ini.
Bagaimanapun, usaha Mohamed Azmin membuat 'come back' dalam usaha untuk menjawat kembali jawatan Menteri Besar Selangor kali kedua jika PN merampas Selangor dari PH sedikit sukar apabila bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menghadapi cabaran, juga daripada bekas anak didiknya merangkap mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.
Di Negeri Sembilan pula, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pula berhadapan dengan saingan sengit empat penjuru bersama tiga calon lain iaitu Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN) serta dua wakil Bebas iaitu Mohammed Hafiz Baharudin dan Bujang Abu bagi mempertahankan kerusi DUN Sikamat, pada PRN kali ini.
Pada PRU14 lalu, Aminuddin menang kerusi sama dengan majoriti 3,413 undi selepas persaingan empat penjuru menewaskan Syamsul Debat dari BN, Rahim Yusof (Pas) dan Bujang Abu (Bebas).
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menghadapi saingan dua penjuru menentang Timbalan Ketua Pas Rembau, Rozmal Malakan bagi mempertahankan kerusi DUN Rantau yang dimenanginya tanpa bertanding, dalam PRU14 lalu.
Di atas kertas, Menteri Pertahanan itu dijangka tidak bermasalah mengekalkan kerusi DUN Rantau dan mampu memperoleh majoriti selesa melebihi 19,000 undi sekiranya undi BN-PH pada PRU15 diambil kira.
Menteri Besar Kedah, merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pula bakal berentap dengan calon BN, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim bagi mempertahankan kerusi DUN Jeniri yang dimenanginya pada PRU14 lalu.
Untuk rekod, Sanusi menang kerusi DUN Jeniri pada PRU14 selepas memperoleh majoriti 2,455 undi dan menewaskan penyandang dari BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon PH, Mohd Nazri Abu Hassan.
Bekas Menteri Besar, merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula bakal dicabar oleh wakil PN, Mohd Radzi Md Amin bagi merampas semula kerusi DUN Pedu yang pernah disandangnya kira-kira 15 tahun lalu.
Pada PRU15 lalu, Mahdzir tewas mengejut kepada wakil Pas, Nurul Amin Hamid dengan majoriti 10,959 undi yang turut menewaskan dua lagi calon lain termasuk wakil PH, Muaz Abdullah dan Razali Salleh (Parti Pejuang Tanah Air).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pula berhadapan saingan dua penjuru dengan calon PH, Mohamad Zamakh Sari Ibrahim bagi mempertahankan kerusi DUN Pasir Pekan, pada PRN nanti.
Ahmad bertanding atas tiket Pas menang kerusi DUN Pasir Pekan pada PRU14, dengan majoriti 8,352 undi menewaskan calon BN dan PKR.
Di Terengganu pula, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berdepan satu lawan satu dengan wakil PH, Suhaimi Sulaiman bagi mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang.
Sebelum ini, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Ru Rendang selepas memperoleh 13,851 undi (majoriti 6,028 undi) menewaskan calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon PKR, Sarawi Sulong (729 undi).
Dua bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said dan Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abd Rahman, pula menghadapi saingan sengit, satu lawan satu dengan bekas rakan seperjuangan mereka dalam UMNO iaitu Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris dan bekas ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat, masing-masing di DUN Kijal dan Seberang Takir, pada PRN kali ini.
Di Pulau Pinang pula, Ketua Menteri, merangkap Timbalan Pengerusi DAP, Chow Kon Yeaw, pula menghadapi saingan dua penjuru menentang calon PN, H'ng Khoon Leng dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) untuk mempertahankan kerusi DUN Padang Kota yang disandangnya, sejak PRU 2008.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula dicabar oleh wakil PN, Kong Cheng Ann (Gerakan) bagi mempertahankan kerusi Air Putih disandangnya juga sejak PRU 2008.