SHAH ALAM - Calon-calon heavyweight yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini mempunyai misi berat, bukan sahaja dalam memastikan kemenangan tetapi mengimbangi impak jika kalah di kawasan ditandingi.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, strategi parti meletakkan mereka di kawasan panas membawa isyarat jelas bahawa bukan mudah untuk memberi ruang kepada parti lawan, khususnya menguasai negeri seperti Selangor.
Menurutnya, tokoh-tokoh itu juga akan menjadi lambang sama ada kemenangan atau sebaliknya buat parti yang diwakili.
"Kalau kita lihat dalam konteks Selangor misalnya, bukan sahaja Perikatan Nasional (PN) tapi Pakatan Harapan (PH) juga mengemukakan tokoh-tokoh politik mereka untuk memastikan calon-calon ini mendapat sokongan atau ada pengaruh tersendiri.
"Bekas Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Datuk Dr Ab Halim Tamuri yang menjadi calon Pas di Paya Jaras misalnya, bukan sahaja berlatar belakang pendidikan tinggi, tetapi turut berpengaruh dalam masyarakat.
"Dalam konteks DUN Hulu Kelang, Gombak Setia dan Sungai Tua, tokoh-tokoh heavyweight diturunkan kedua-dua blok. Ini membuatkan saingan lebih hebat dengan taruhan yang sangat tinggi,” katanya kepada Sinar Ahad.
Beliau berkata, penampilan tokoh di negeri-negeri yang ditandingi juga pelbagai, bergantung kepada corak dinamik politik di negeri terlibat seperti selebriti bola sepak dan profesor di Kedah.
Katanya, ia memerlukan pendekatan atau sentuhan politik yang mampu untuk menarik sokongan daripada penduduk setempat.
"Pada waktu yang sama, kesan langsung daripada keputusan pilihan raya ini akan menjadi kunci kepada pergerakan kerjasama politik baharu selepas ini.
"Jika sesuatu berlaku kepada Selangor, misalnya perubahan atau peralihan kerajaan negeri, saya lihat ia sebenarnya akan mempengaruhi corak politik kerjasama yang akan muncul, bukan sahaja di peringkat negeri tapi peringkat Persekutuan,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, melihatkan senarai calon, PN dan PH-BN menggunakan strategi menampilkan calon muda serta mengekalkan penyandang asal kerusi DUN, sesuai dengan sokongan pengundi setempat.
Kebanyakan DUN juga katanya, menunjukkan calon satu lawan satu dengan beberapa kawasan sahaja yang ada tiga atau empat penjuru kerana adanya calon parti Muda atau Bebas.
"Jika kita melihat kepada proses penamaan calon hari ini (Sabtu), 573 kertas pencalonan bagi PRN di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu diterima tanpa ada isu penamaan batal atau calon menarik diri, hanya satu kertas pencalonan ditolak.
"Proses penamaan di 173 pusat penamaan calon juga berjalan dengan lancar tanpa ada konflik, menggambarkan kita sebenarnya ke arah politik yang matang,” katanya.