PADA Sabtu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sejumlah 572 pencalonan diterima daripada pelbagai parti politik untuk bertanding di keseluruhan 245 kerusi Dewan Undangan Negeri dan satu kerusi Parlimen sempena pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Terengganu.
PRN yang dijalankan serentak di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos hadapan hakikatnya bakal menjadi referendum rakyat terhadap prestasi Kerajaan Perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sejak lapan bulan lalu.
Pada masa sama, ramai pemerhati politik turut melihat keputusan PRN enam negeri menjadi penentu sama ada fenomena gelombang hijau yang melanda negara dan memihak kepada Pas serta Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), akan terus kekal atau semakin pudar.
Bagi Pengurus Kanan Penyelidikan, Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir, penilaian PRN enam negeri kali ini adalah agak unik kerana terdapat kewujudan bayangan undi asas bagi setiap DUN, melalui keputusan PRU15 tahun lalu.
Menilai kedudukan tiga negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, beliau melihat peratusan undi popular bagi ketiga-tiga parti itu pada keputusan PRU15 dikuasai oleh koalisi PH-BN dan kemudiannya diikuti PN.
"Sekiranya dipecahkan peratusan undi popular tiga negeri itu, PH menguasai Selangor dan Pulau Pinang, BN menguasai Negeri Sembilan, manakala tiga lagi negeri terlibat PRN kali ini iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan dikuasai PN.
"Oleh itu, boleh dikatakan blok PH-BN masuk dalam gelanggang PRN Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor dengan sedikit kelebihan, berdasarkan kekuatan gabungan yang kini bersama selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya kepada Sinar Premium.
Walaupun senario PRN enam negeri seolah-olah memberi gambaran berlaku pertembungan tiga blok termasuk Ikatan Demokratik Muda (Muda), Khairul Ariffin masih menganggap suasana pertandingan tertumpu kepada pertembungan dua blok parti utama iaitu PH-BN dan PN.
"Berdasarkan kepada keputusan PRU15 di peringkat Parlimen, PN mempunyai kekuatan di DUN-DUN majoriti Melayu.
"Namun berdasarkan keputusan atas kertas mata skor undi PRU15 tersebut, sekiranya gabungan undi PH-BN dapat dikekalkan dengan kadar peratus keluar mengundi lebih kurang sama, sekurang-kurangnya tiga negeri kekal dalam genggaman gabungan Kerajaan Perpaduan itu,” katanya.
Berdasarkan situasi itu, Khairul Ariffin merumuskan pola pengundian PRN enam negeri bakal memihak kepada parti mana, akan ditentukan oleh faktor kadar peratusan keluar pengundi, isu perpindahan sokongan undi daripada penyokong PH-BN di setiap negeri dan sokongan pengundi muda khususnya Undi18.
"Sekiranya kadar peratusan pengundi bukan Melayu kekal sebagaimana PRU15 dengan peratusan pengundi Melayu keluar mengundi sedikit merosot, kelebihan akan berpihak kepada PH-BN.
"Bagaimanapun, keadaan itu masih bergantung kepada sejauh mana kelompok pengundi Melayu masih terpesona dengan fenomena gelombang hijau, lebih-lebih kelompok pengundi muda sudah dapat melihat banyak pendekatan positif yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ulasnya.
Perpindahan penyokong
Pandangan sama turut dipersetujui penganalisis politik veteran, Dr Ahmad Atory Hussain yang melihat isu perpindahan sokongan undi penyokong BN-PH sangat kritikal dalam menentukan kemenangan koalisi itu pada PRN enam negeri.
Dengan PN berkeyakinan tinggi mampu mengekalkan penguasaan koalisi itu di Kelantan, Terengganu dan Kedah, Ahmad Atory menjangkakan koalisi didominasi Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu mencuri undi penyokong BN lebih 30 peratus bagi membolehkan mereka mencipta kejutan merampas Selangor dan Negeri Sembilan.
Hal ini berasaskan kesukaran PN untuk meraih sokongan pengundi bukan Melayu, lebih-lebih lagi strategi koalisi itu dilihat cenderung memainkan sentimen 3R (raja, agama dan kaum) kurang diterima baik segmen tersebut.
Berdasarkan sentimen akar umbi, Ahmad Atory mengunjurkan proses perpindahan sokongan pengundi BN kepada calon PH atau sebaliknya dijangkakan masih sukar berlaku dengan lancar.
"Bahkan terdapat kebimbangan sebilangan pengundi UMNO yang menolak kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta penyokong MIC dan MCA yang kecewa parti itu tidak diberikan sebarang kerusi pada PRN kali ini, bakal melakukan swing vote sebagai tanda protes.
"Begitu juga dengan penyokong DAP yang masih tidak menerima kerjasama PH dengan UMNO yang dianggapnya penuh ‘kleptokrasi’. Keadaan ini pastinya akan menyukarkan usaha BN untuk membendung penguasaan PN di kerusi majoriti Melayu jika penyokong PH memboikot undi terhadap mereka,” kata beliau.
Tambahnya, PRU15 dilihat memihak kepada PN disebabkan kejutan sokongan pengundi muda terutama golongan Undi18 terhadap koalisi itu, susulan keberkesanan kempen media sosial melalui TikTok dimainkan jentera media sosial PN.
"Bagaimanapun, tinjauan IDE mendapati 29 peratus golongan ini masih belum membuat keputusan, meskipun mereka mungkin sudah mengundi parti tertentu pada PRU15. Faktor calon, manifesto, isu dan pengaruh maklumat bakal menjadi asas mereka membuat keputusan.
"Oleh itu, kejayaan mana-mana koalisi untuk memenangi perang persepsi di media sosial bakal menjadi penentu sama ada sokongan pengundi muda, atas pagar dan Undi18 akan memihak kepada mereka atau sebaliknya,” katanya.