LONDON - Sinead O’Connor akan dikenang selama-lamanya sebagai penyanyi Ireland pernah menjadikan lagu Nothing Compare 2 U berjaya menembusi carta utama dunia sehingga dinobatkan sebagai single nombor satu dunia oleh Billboard Music Awards.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 56 tahun yang terkenal berimej rambut dicukur botak suatu masa dahulu sebelum memeluk agama Islam, meninggal dunia pada Rabu lalu di sebuah apartmen di London. Punca kematiannya belum diketahui setakat ini.
Pemergian O’Connor mendapat liputan luas media massa di seluruh dunia apabila pemimpin politik dan pemuzik seperti Bryan Adam serta Cat Steven atau Yusof Islam turut memberi penghormatan kepada beliau.
Perjalanan anak seni kontroversi
Dilahirkan di County Dublin, Ireland, pemenang Anugerah Grammy itu pernah menghasilkan 10 album sepanjang menjadi anak seni, antaranya I Do Not Want What I Haven't Got dan I'm not Bossy, I'm the Boss.
Namun, di sebalik puncak kejayaannya itu, O’Connor sering menimbulkan kontroversi yang menjangkau beberapa dekad termasuk bersuara lantang menentang gereja Katolik.
Bermula sebagai pemuzik jalanan di ibu negara Ireland dan mengadakan persembahan di pub, O’Connor berjaya merakamkan album pertamanya, The Lion and The Cobra, lagu genre punk klasik yang dikeluarkan pada tahun 1987 di London.
Ia diikuti tiga tahun kemudian dengan penghasilan album keduanya, I Do Not Want What I Haven't Got yang menjadi titik permulaan kejayaannya itu.
Anak ketiga daripada lima adik-beradik itu pernah menceritakan kisah gelapnya bahawa dia pernah didera ibunya ketika kanak-kanak.
Pada 1992, semasa melancarkan kempen membantah penderaan kanak-kanak oleh Gereja Katolik, O’Connor pernah mengoyakkan gambar Pope John Paul II semasa membuat persembahan dalam program televisyen Amerika Syarikat (AS) 'Saturday Night Live' dengan mendakwa pusat agama itu mendera kanak-kanak.
Penderaan terhadap kanak-kanak oleh paderi Katolik di Ireland yang meluas menyebabkan O'Connor sering mencetuskan kritikan terhadap golongan tersebut.
O'Connor pernah mengakui secara terbuka mengenai kesihatan mentalnya dengan memberitahu Oprah Winfrey pada 2007 bahawa dia bergelut dengan pemikiran untuk membunuh diri dan telah didiagnosis mengalami gangguan bipolar.
Pada Januari lalu, O’Connor menggemparkan dunia hiburan antarabangsa dengan berita kematian anak lelakinya, Shane, berumur 17 yang ditemukan menggantung dirinya sendiri.
"Cahaya mata saya, Nevi’im Nesta Ali Shane O’Connor, sinar kehidupan saya memutuskan untuk mengakhiri pergelutannya di dunia.
"Anakku, saya sayang kamu. Damailah di sana,” katanya.
Memeluk Islam
Pada 2018, O'Connor yang pernah berkahwin sebanyak empat kali dan mempunyai empat anak telah memutuskan untuk meninggalkan agama Kristian. Beliau memeluk Islam dan menukar namanya kepada Shuhada Sadaqat.
Dalam satu wawancara bersama YouTuber terkenal, Eddie Redzovic, penyanyi tersebut menyifatkan keputusannya itu sebagai pilihan peribadi dan tidak perlu diperbesarkan oleh mana-mana pihak.
"Saya berasakan tidak perlu dikongsi kerana ia adalah pilihan peribadi. Perkara itu tidak perlu dibuktikan kepada orang lain.
"Saya tidak perlu menjelaskan mengapa memeluk Islam. Saya sangat berminat dengan agama ini dan ingin mempertahankannya daripada stigma.
"Kembali ke jalan benar. Itu gambaran tepat tentang pilihan ini. Saya sejak lahir adalah seorang Islam, namun saya tidak menyedarinya” katanya.
Disoal sama ada dia akan mengajak orang lain kepada Islam, O'Connor memaklumkan dia tidak merancang berbuat demikian.
"ALLAH akan pilih siapa yang Dia kehendaki,” katanya - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca