BEBERAPA pengumuman oleh Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak baru-baru ini mengejutkan. Rakyat khususnya 1.3 juta penjawat awam begitu gembira apabila beliau memaklumkan kerajaannya akan menaikkan gaji mereka sebanyak lima hingga tujuh peratus bagi menampung kos sara hidup yang begitu tinggi.
Kenaikan itu akan melibatkan lebih satu bilion pound tambahan peruntukan daripada kerajaan. Nampaknya desakan penjawat awam ke atas kerajaan yang konsisten telah membuahkan hasil.
Namun, lebih mengejutkan rupa-rupanya kata Sunak, kenaikan gaji penjawat awam itu bukanlah ditampung sepenuhnya oleh dana kerajaan sedia ada.
Sebaliknya, kerajaan pimpinan beliau mahu ‘mengorek’ sumber tambahan bagi membayar gaji penjawat awam melalui imigran yang bakal masuk atau sudah menetap di UK sama ada untuk bekerja atau belajar.
Kos visa untuk masuk ke UK antara yang termahal dalam kalangan negara Eropah. Ia akan dinaikkan lagi sehingga 20 peratus. Surcaj kesihatan imigrasi yang sebelum ini juga dua kali ganda lebih mahal bakal naik lagi sehingga 415 peratus, berbanding lima tahun lalu. Ia langsung tak dijangka sesiapa.
Jika dasar itu berkuat kuasa, kos bagi empat sekeluarga yang mahu mendapatkan visa menetap di UK sama ada untuk bekerja atau belajar boleh mencecah 33,000 pound. Bagi keluarga sama, jika mereka mahu kekal berada di UK selama 10 tahun, perlu bayar 55,000 pound lagi.
Golongan imigran tentulah tak berpuas hati dan marah dengan dasar tersebut. Apatah lagi ia akan memberi kesan kepada 10.4 juta imigran (18 peratus daripada jumlah pekerja di UK), jauh lebih ramai daripada penjawat awamnya.
Sedangkan ketika ini mereka telah dikenakan surcaj kesihatan dua kali ganda lebih tinggi. Mereka juga tidak culas membayar cukai kepada kerajaan UK setiap bulan sama seperti penduduk lain yang bekerja.
Petisyen untuk mendesak Sunak menarik balik dasar tersebut giat dibuat. Dasar itu membuatkan mereka berasa langsung tidak dialu-alukan ke UK, malah ada melihat seolah-olah kerajaan Sunak ‘anti-imigran’ dan mahu menghalau mereka keluar dari UK.
Mungkin ada benarnya. Kerajaan UK sejak dahulu melihat isu imigran yang begitu ramai masuk ke UK sebagai masalah besar perlu ditangani. Ia juga menjadi antara faktor pendorong mereka memilih keluar daripada Kesatuan Eropah pada 2020.
Statistik kebangsaan UK memaklumkan sehingga akhir Jun 2022 ada 1.2 juta imigran masuk ke UK tetapi kurang separuh sahaja (557,000) yang meninggalkan UK dalam tempoh sama.
Namun, sebenarnya bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Kerajaan UK sejak sekian lama memang mahu menarik tenaga kerja asing berkemahiran tinggi ke negaranya. Jumlah bekalan pekerja asing ketika ini juga masih belum mampu menampung kekurangan pekerja dalam pelbagai sektor termasuklah industri dan kesihatan awam di UK.
Kajian The Migration Observatory, University of Oxford juga mendapati permintaan majikan terhadap bekalan tenaga kerja dari luar UK terus tinggi. Malah, majikan di sini juga lebih suka mengambil imigran bekerja dengan mereka berbanding penduduk asal UK. Itu bermaksud, jika tiada dasar tersebut, jumlah pengambilan pekerja asing masuk ke UK akan terus meningkat.
Dengan kos visa dan surcaj kesihatan yang tinggi, majikan mungkin mula berkira-kira untuk menaja visa pekerja kepada orang asing lagi. Jika itu berlaku, sasaran kerajaan UK untuk menarik masuk pekerja berkemahiran tinggi pula mungkin terjejas.
Tidaklah dapat dipastikan sama ada langkah kerajaan Sunak membawa lebih banyak baik atau buruk kepada UK. Mungkin beliau terlupa bukan semua imigran itu berstatus ekspatriat.
Hanya 66 peratus daripada mereka adalah pekerja berkemahiran yang bergaji tinggi. Kenaikan kos visa dan surcaj kesihatan begitu tinggi mungkin menimbulkan lebih banyak masalah sosial kelak terutama bagi imigran berpendapatan rendah.
Tak kisahlah apa sebab atau natijah dasar itu, ramai melihat UK sebenarnya dalam keadaan terdesak ketika ini. Kerajaan perlu berbuat sesuatu bagi membantu rakyatnya menghadapi tekanan kos sara hidup tinggi. Tak hairanlah banyak dasar luar jangka diumumkan.
Yang pasti, menangani kos sara hidup yang tinggi bukanlah semudah menaikkan gaji pekerja semata-mata. Banyak implikasi luar jangka yang harus diteliti bagi memastikan manfaat menyeluruh kepada semua pihak.
Dalam keadaan terdesak, tentulah mana-mana kerajaan pun akan mengutamakan kebajikan rakyatnya dahulu berbanding orang asing. Orang asing sebenarnya bukanlah begitu dialu-alukan, tak kiralah berapa besar pun jasa mereka kepada pembangunan sesebuah negara.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca