KHAMIS lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak rakyat jelata bercita-cita besar menjadikan Malaysia antara 30 ekonomi terbesar di dunia.
Katanya, ini adalah salah satu daripada tujuh penanda aras jangka sederhana ekonomi Madani untuk 10 tahun akan datang.
Buat masa ini, kata beliau, Malaysia berada di tahap ke-35. Matlamat itu mungkin nampak tinggi tetapi tidak mustahil kalau dasar, undang-undang dan prasyarat berkaitan dengannya dilaksanakan tanpa gangguan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian ketika melancarkan Ekonomi Madani. Serentak itu, beliau mengumumkan peruntukan awal lebih RM5 bilion bagi memesatkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing.
Kita kena ingat, pertumbuhan ekonomi kita, khususnya yang berpunca daripada perindustrian, tercetus daripada dasar, perancangan dan pelaksanaan yang cukup lama.
Ia bermula dengan Rancangan Malaya Pertama 1956-1960 di bawah Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dan kemudiannya Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.
Sebelum merdeka, boleh dikatakan semua kekayaan Tanah Melayu dibolot oleh penjajah Inggeris dan syarikat-syarikat mereka untuk dibawa balik ke United Kingdom.
Apa yang dibelanjakan di Tanah Melayu adalah untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka, khususnya memerangi pemberontakan Parti Komunis Malaya. Penanda-penanda aras lain yang disebutkan oleh Perdana Menteri adalah:
Menaikkan Indeks Daya Saing Global ke tangga ke-12 berbanding 27 sekarang.
Peratusan pendapatan buruh mencapai 45 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan. Matlamat yang digariskan Rancangan Malaysia ke-12 adalah 40 peratus menjelang 2025.
Kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh mencapai 60 peratus berbanding 55.1 peratus pada 2021.
Indeks Pembangunan Manusia di aras 25 teratas di dunia berbanding 62 sekarang. Manakala Indeks Persepsi Rasuah di paras 25 teratas berbanding 61 sekarang. Kemapanan fiskal dengan defisit fiskal mencapai tiga peratus atau lebih rendah. Defisit tahun ini diunjurkan pada kadar lima peratus.
Saya yakin tidak siapa pun menentang atau tidak bersetuju dengan idea dan idealisme Perdana Menteri itu.
Yang mungkin menjadi pertikaian adalah percanggahan dalam dasar dan tindakan kerajaan sendiri sejak ditubuhkan lapan bulan lalu.
Misalnya, matlamat memperbaiki indeks persepsi rasuah. Rakyat jelata sendiri curiga apabila ahli politik yang terpalit dengan rasuah dilantik ke dalam kerajaan dan diberikan jawatan tinggi.
Di pihak yang lain pula, nampak seolah-olah musuh politik dan orang yang tidak ada kaitan dengan kerajaan menjadi sasaran agensi-agensi penguat kuasa atas alasan memerangi rasuah.
Majoriti rakyat jelata sokong perang terhadap rasuah tetapi penguatkuasaan yang compang-camping dan berbau balas dendam politik mencetuskan persepsi serong.
Indeks Pembangunan Manusia dan matlamat sosial yang lain boleh dicapai melalui pertumbuhan ekonomi.
Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (Amcham) misalnya, percaya kejayaan naratif Ekonomi Madani bergantung kepada faktor-faktor seperti komunikasi yang berkesan, tadbir urus yang cermat, kesinambungan dan mudah.
Seperti telah beberapa kali saya sebutkan, reaksi daripada penanda aras ekonomi seperti pasaran saham dan mata wang terhadap Kerajaan Perpaduan tidaklah menggalakkan.
Hanya baru dalam masa sebulan ini Bursa Malaysia mula menampakkan keyakinan dan kegiatan jual beli yang lebih baik. Indeks komposit KLCI naik daripada 1,376.68 pada 30 Jun kepada 1450.35 pada 28 Julai, namun masih rendah berbanding permulaan tahun.
Begitu juga dengan ringgit. Walaupun ada sedikit tanda pengukuhan dalam masa dua minggu lalu, namun kadar tukarannya berbanding dolar Amerika jauh lebih rendah daripada awal tahun.
Boleh jadi pasaran belum cukup yakin yang Perdana Menteri memberi cukup perhatian kepada hal-hal berkaitan ekonomi dan berkomunikasi secara langsung dengan stakeholders seperti masyarakat perniagaan.
Atau beliau masih terlalu terbelenggu dengan hal-hal berkaitan politik.
*Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca